Jangan nafikan hak warga pekak

Jangan nafikan hak warga pekak

PEMANGKU Raja Pahang (kanan) berkenan mencemar duli beramah mesra dengan peserta Larian Amal MSDeaf 2022 di ibu negara, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGI kelmarin (Ahad), berlangsung Larian Amal MSDeaf 2022 di Dataran Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 1 (DBKL), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Ia dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf). Tanpa apa-apa publisiti meluas, larian amal ini mencipta kejayaan bila mana ia menarik penyertaan kira-kira 1,000 orang yang kebanyakannya warga pekak dari seluruh negara yang berlari bersama-sama sejauh lima dan tujuh kilometer.

Semua peserta teruja sekali dengan kesudian Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan program berkenaan. Lebih menggembirakan mereka bila baginda turut mencemar duli untuk berlari bersama-sama para peserta sehingga ke garisan penamat sebagai tanda sokongan kepada usaha golongan warga pekak untuk memberdayakan diri.

Ketibaan Pemangku Raja Pahang seawal pukul 6.45 pagi di pekarangan Bangunan DBKL untuk menyertai program larian amal tersebut disambut meriah oleh golongan warga pekak yang tidak putus-putus merakamkan gambar kenangan dengan baginda. Menariknya, Pemangku Raja Pahang langsung tidak menghiraukan protokol dan tidak penat-penat melayani kesemua peserta yang mendekati baginda.

Sebahagiannya turut membawa bersama mereka anak-anak daripada golongan orang kurang upaya lain.

Baginda juga berkenan mengunjungi setiap gerai pameran yang menampilkan usaha golongan warga pekak untuk memberdayakan diri mereka, bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga melalui bidang keusahawanan dan perniagaan.

Pemangku Raja Pahang menunjukkan keprihatinan baginda kepada usahawan dan peniaga dalam golongan warga pekak dengan meminta mereka terus memajukan usaha yang dijalankan selain turut membeli barangan jualan.

Golongan warga pekak ternyata amat ceria sekali dengan perhatian yang diberikan oleh Pemangku Raja Pahang kepada mereka di mana ini mengingatkan mereka dan ramai lain mengenai tradisi raja berjiwa rakyat yang dipamerkan oleh ayahanda dan nenda baginda.

Menurut Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn, beliau sungguh terharu dengan sokongan baginda kepada golongan warga pekak dengan sudi menjadi Penaung Diraja kepada MSDeaf sekali gus memayungi aktiviti persatuan.

“Program larian amal ini adalah hasil cetusan sumber ilham daripada Pemangku Raja Pahang untuk meningkatkan kesedaran dan rasa empati tentang dunia orang pekak melalui atur cara yang berkaitan warga pekak dan pendedahan kepada Bahasa Isyarat Malaysia.

“Larian amal ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang komuniti orang pekak di negara ini kerana tidak ramai yang tahu mengenai persatuan ini walaupun dianggarkan ada 45,000 warga pekak termasuk kira-kira 8,000 ahli MSDeaf.

“Sambutan Hari Orang Pekak Antarabangsa disambut setiap tahun pada minggu terakhir September juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan pekak sebagai salah satu kumpulan minoriti yang juga mempunyai hak mereka.

“Kami juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penaja yang bermurah hati memberikan sumbangan berbentuk wang dan barangan produk syarikat masing-masing bagi menjayakan program ini,” katanya.

DEAFLYMPICS

Mengikut Fasal 9b (1) Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 atau Akta A1570, MSDeaf adalah diiktiraf sebagai Persekutuan Sukan Orang Pekak Kebangsaan bagi Malaysia oleh Jawatankuasa Sukan Orang Pekak Antarabangsa. MSDeaf juga bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan Malaysia dalam Deaflympics, Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan pertandingan olahraga antarabangsa yang lain adalah mengikut kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan ditetapkan.

Di bawah kepemimpinan Ong Shin Ruenn dan naungan Pemangku Raja Pahang, banyak sekali kejayaan membanggakan yang mengharumkan nama negara telah diraih oleh atlet pekak negara dalam pelbagai kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.

Antaranya pencapaian cemerlang Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung yang merangkul pingat emas dalam acara badminton beregu wanita di Sukan Deaflympics ke-24 yang berlangsung di Caxias do Sol, Brazil, pada Mei lalu. Kejayaan cemerlang diraih gandingan di Brazil itu menamatkan penantian 21 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas di temasya Sukan Deaflympics selepas kali terakhir pingat disumbangkan oleh atlet olahraga pekak, Zana Azizul Ujang pada 2001.

Begitulah juga dengan pengurusan MSDeaf yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan sebagai salah sebuah persatuan mendapat empat bintang bagi urus tadbir persatuan sukan cemerlang dalam Majlis Penyampaian Sijil Penarafan Bintang pada 27 September lalu.

Larian amal berkenaan turut mendapat perhatian Pejabat Perdana Menteri di mana Pegawai Khas Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff turut menyertainya. Kamarul Zaman memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan keprihatinan dan sokongan kepada warga orang kurang upaya termasuk golongan orang pekak di mana sejumlah dana akan disalurkan kepada MSDeaf.

Turut akan diusahakan ialah pemberian ganjaran atas kejayaan atlet pekak seperti atlet normal dan para melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) selain membuka jalan kepada sokongan selanjutnya untuk atlet pekak.

Jelas Kamarul Zaman, Perdana Menteri telah beberapa kali menyebut bahawa melalui konsep Keluarga Malaysia, semua pihak tidak akan terpinggir, peluang kehidupan akan diagih secara adil, saksama dan inklusif kepada semua, termasuk kepada orang pekak. – UTUSAN

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Pemberdayaan Ummah (Berdaya) yang turut menyertai Larian Amal MSDeaf 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×