MUKADIMAH
ISU ubat mahal bukan masalah baharu kerana ia diakui sendiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Julai lalu yang menyatakan terdapat kemungkinan harga meningkat lagi ekoran kenaikan kos bahan mentah dan kerajaan pula masih bertegas menjadikan mekanisme mengawal harga ubat-ubatan sebagai pilihan terakhir.
Bagi pemilik klinik swasta, DATUK DR. ABDUL HALIM SHER JUNG, kemelut itu boleh diatasi dengan baik jika kerajaan mendapat nasihat golongan profesional seperti doktor yang arif tentang isu berkenaan kerana mereka berhubung terus dengan pesakit dan mengetahui permasalahan rakyat.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Putrajaya baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) ini menegaskan, isu terbabit hanya dapat diselesaikan jika kerajaan mengurangkan dominasi syarikat-syarikat farmaseutikal kapitalis yang menaikkan harga ubat-ubatan sehingga menyebabkan klinik swasta terpaksa meningkatkan caj ubat kepada rakyat.
UTUSAN: Mengapa melibatkan diri dalam politik?
ABDUL HALIM: Ketidakstabilan dan keadaan politik hari ini sangat membimbangkan saya. Keadaan di mana pemimpin memikirkan diri mereka sendiri, merebut jawatan dan menyelamatkan poket masing-masing.
Ini membuat saya terfikir akan keadaan negara dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang, tentang nasib yang akan dilalui oleh anak cucu kita. Jika hal ini berterusan, negara kita akan hancur dan nasi bakal menjadi bubur.
Seterusnya, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan GTA yang turut membuka peluang penyertaan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan profesional, membuat saya rasa terpanggil untuk menyertainya.
Rasa tanggungjawab dan cinta akan negara membuatkan saya turut menyertai perjuangan murni ini bagi mengubah negara kita ke arah yang lebih baik. Saya yakin pengorbanan ini tidak akan disia-siakan kerana ini harapan terakhir kita menyelamatkan negara tercinta ini.
Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh Datuk?
Saya bercakap dari sudut seorang doktor perubatan di negara kita. Realitinya golongan doktor sedang dalam kemelut. Kerajaan tidak mampu menanggung para doktor muda untuk sambung belajar menjadi pakar.
Ini menjadi lebih teruk dengan isu kontrak di mana mereka tidak dapat berkhidmat (secara tetap) di hospital kerajaan.
Mereka seterusnya sama ada akan berhijrah ke luar negara atau membuka (lebih banyak) lagi klinik swasta. Hal ini akan melemahkan ekonomi para doktor swasta lain kerana persaingan yang tinggi. Klinik swasta mungkin terpaksa meningkatkan harga kos rawatan di klinik (bagi menampung jumlah pelanggan berkurangan). Akhirnya, rakyat juga yang akan terpalit dan menerima kesan.
Dalam pada itu, dominasi syarikat-syarikat farmaseutikal kapitalis di negara kita yang meningkatkan harga ubat-ubatan menyebabkan klinik swasta terpaksa juga meningkatkan caj ubat.
Di hospital kerajaan pula, kita lihat setiap tahun bajet yang dikeluarkan tinggi, tetapi peralatan dan kemudahan di situ pada hari ini tetap sama seperti 20, 30 tahun lalu. Pesakit yang memerlukan kemudahan moden terpaksa menghabiskan wang yang banyak di hospital swasta. Dengan penglibatan golongan profesional dalam GTA, kami mempunyai banyak idea untuk menyelesaikan masalah ini jika diberikan mandat oleh rakyat.
Baru-baru ini, kerajaan juga mengisytiharkan Bajet 2023 di mana sebanyak RM36.1 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun depan berbanding RM32.4 bilion, tahun ini. Tetapi kita sendiri tahu bahawa hutang negara mencecah sehingga trilion ringgit. Rakyat kita pada hari ini sudah bijak dan ramai golongan terpelajar yang boleh berfikir sendiri. Bajet ini hanyalah bersifat populis dan retorik.
Kenapa tidak diserah sahaja tugas mentadbir negara kepada ahli politik?
Doktor perubatan merupakan salah satu individu yang berhubung terus dengan rakyat. Kami dapat menjadi jambatan yang menyalurkan suara rakyat untuk dibawa ke pentas pentadbiran.
Hal ini akan dapat membantu menyelesaikan satu persatu masalah yang dihadapi oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Rakyat akan menjadi lebih senang dan ini akan memberikan kesan terus kepada produktiviti dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
Bagaimanakah peluang GTA dan cabaran yang akan ditempuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?
Peluang GTA dalam PRU15 akan datang ini adalah sangat meyakinkan. Hal ini kerana seperti kita lihat hari ini, masyarakat terutamanya yang berusia remaja sudah tidak ambil peduli mengenai politik malah tidak ada hati untuk keluar mengundi.
Saya tidak salahkan mereka kerana lihat sendiri keadaan dan ketidakstabilan politik hari ini yang membuat saya sendiri risau akan masa depan negara kita. Tetapi dengan adanya GTA di bawah pimpinan Dr. Mahathir, saya yakin rakyat akan kembali percaya dan yakin bahawa negara kita masih boleh diselamatkan lagi.
GTA masih baharu dan belum diluluskan pendaftaran lagi sehingga perlu menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk bertanding. Komen?
Dalam setiap perkara yang kita lakukan terutama bidang politik pasti ada cabarannya. Cabaran yang saya lihat bagi menghadapi PRU15 adalah dalam memberitahu masyarakat mengenai keberadaan GTA ini.
Hal ini kerana parti ini merupakan sebuah parti yang baru sahaja diperkenalkan. Ramai yang masih terpinga-pinga dan belum mengetahui tentang ideologi dan hala tuju parti ini.
Namun, saya percaya bahawa dalam masa terdekat, masalah ini dapat diatasi dengan jayanya. Ini kerana saya yakin yang parti ini merupakan parti yang diinginkan oleh rakyat dan ditunggu-tunggu selama ini.
Apakah tujuan penubuhan GTA?
Gerakan ini bergerak dengan motif dan visi untuk menyatukan mereka yang tidak berparti untuk membentuk satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan bagi memajukan Malaysia. Selain itu, dengan pengaruh Tun Mahathir yang sangat besar di dalam negara kita disertakan dengan ramai pengikut, saya yakin dan percaya bahawa masalah (kurang dikenali) ini dapat diatasi dengan mudah.
Parti kami juga telah membuat pelbagai inisiatif atas kesedaran akan masalah ini dengan membuat pelbagai program di pelbagai platform sama ada secara dalam talian atau bersemuka bagi memberi penerangan kepada masyarakat tentang keberadaan dan ideologi GTA.
Saya yakin pada PRU15 ini, kami dapat mengumpulkan seramai mungkin pencinta negara untuk membawa semangat berlawan dengan parti-parti lain yang sudah rosak dan rakyat sudah hilang kepercayaan kepadanya. – UTUSAN










