Elak berpesta musim monsun

Elak berpesta musim monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR Wroclaw, Poland akan tenggelam dan banyak rakyat yang terkorban. Tidak sesuai diadakan pilihan raya, kata ahli hidrologi. Bagaimanapun ahli politik parti kerajaan menyanggah, “Wroclaw tidak akan tenggelam dan rakyat akan selamat.”

Kesudahannya kebimbangan ahli hidrologi benar-benar berlaku – banjir besar melanda memusnahkan harta benda dan nyawa. Rakyat jugalah yang menjadi korban, padahal musibah itu boleh diusahakan supaya kesan kemusnahan menjadi lebih kecil.

Demikianlah High Water, sebuah drama bersiri politik arahan Jan Holeobek yang disiarkan di Neftlix. Berlatarkan peristiwa sebenar banjir besar di Poland pada 1997 itu, High Water memperlihatkan tahap ‘bodoh sombong’ ahli politik yang memang tidak terjangka akal yang waras.

Hal yang melibatkan hidup dan mati rakyat diperjudikan demi hayat politik. Akan tetapi kejadian itu berlaku di Poland, bukan di negara kita. Ahli politik kita tidak seperti di Poland. Sebaliknya hidup dan mati mereka demi rakyat. Tidak ada yang lain melainkan rakyat belaka.

Cuma keadaannya agak sama – berada dalam bayangan banjir besar. Beberapa kawasan sudah mulai terendam dan ada yang dipindahkan. Maknanya ketika ini bukan masanya untuk berpesta atas alasan apa sekalipun. Ini masa bersiap siaga berdepan kesan Monsun Timur Laut.

Daripada ramalan sains dan kearifan silam nenek moyang kita, sifat Monsun Timur Laut akan membawa taburan hujan luar biasa. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memberi amaran tentang hal demikian.

Ini berlaku akibat perubahan musim daripada Monsun Barat Daya pada Monsun Timur Laut. Dengan kecanggihan teknologi mengesan cuaca, ramalan yang dibuat oleh MetMalaysia mencapai 91 peratus ketepatan.

Daripada pengamatan sudut sains, negara kita kini berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak pertengahan Mei lalu. Kini dalam fasa peralihan monsun sehingga akhir November. Kesannya banyak kawasan di seluruh negara berdepan ribut petir yang biasanya membawa hujan lebat.

Taburan hujan luar biasa, ribut petir dan banjir besar adalah bencana alam yang di luar kuasa manusia untuk menahannya. Akan tetapi kita dianugerahkan akal dan berfikir untuk bersiap siaga berdepan dengan bencana berkenaan.

Pada masa sama perlu memanfaatkan isyarat yang terhasil daripada teknologi seperti ramalan cuaca dalam merancang tindakan untuk berdepan bencana. Mengambil endah amaran yang diberikan oleh pihak yang ahli dalam hal cuaca adalah satu bentuk siap siaga.

Generasi silam tidak memiliki teknologi canggih untuk meramal cuaca. Akan tetapi mereka mahir membaca petunjuk daripada alam – ribut petir, hujan dan banjir. Hal ini menunjukkan mereka tidak menyerah pada takdir tanpa usaha.

Kita yang berada pada era teknologi yang canggih termasuk keupayaan meramalkan cuaca sepatutnya tidak menyerah pada takdir sebelum habis usaha. Semua kemajuan dalam sains dan kearifan sila ini mesti dimanfaatkan untuk mengelak daripada terperangkap dalam bencana.

Kesiapsiagaan awal memungkinkan kesan kemusnahan harta benda daripada bencana banjir dapat dikurang, sekalipun tidak dapat diselamatkan sepenuhnya. Kehilangan nyawa juga dapat dikecilkan atau langsung tidak ada yang terkorban.

TELEVISYEN, RADIO

Memang benar upaya manusia tidak dapat menghalang bencana. Akan tetapi pada sudut tertentu manusia dapat berfikir mengurangkan kesan kemusnahannya.

Sebahagian besar dalam kalangan kita tentu masih ingat dengan banjir besar yang melanda negara tahun lalu. Kawasan-kawasan terutama di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kemusnahan yang amat dahsyat malah tidak tertanggung oleh mangsa.

Sekalipun kehilangan nyawa hanya 54 orang pada relatifnya kecil, akan tetapi kerosakan harta benda besar telah merencatkan kelangsungan hidup kepada mereka yang terjejas teruk. Kesan kemusnahan harta benda akibat banjir tahun lalu dianggarkan lebih RM20 bilion.

Bencana itu juga mencetuskan darurat kemanusiaan apabila waktu puncak lebih 70,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara. Bayangkan selepas banjir berlalu, sebahagian besar mangsa terpaksa memulakan hidup baharu – tanpa kediaman dan harta benda lainnya.

Iktibarnya adalah peri pentingnya mengambil endah dengan semua amaran dan ramalan pihak yang ahli seperti MetMalaysia. Tanpa berbuat demikian, kemungkinan mangsa tidak dapat menyelamatkan barang berharga dan terpaksa meninggalkan kediaman dalam keadaan sehelai sepinggang.

MetMalaysia telah memberikan maklumat mengenai kemungkinan banjir melalui media perdana – televisyen, radio dan laman sesawang. Malah keupayaan untuk mengakses ramalan cuaca juga sudah canggih, semuanya berada di telapak tangan.

Walaupun begitu disebabkan kurang endah dengan maklumat, banyak yang tidak membuat persiapan. Memang benar banyak kawasan bencana tahun lalu adalah kali pertama mengalami keadaan sedemikian. Akan tetapi tidak pernah berlaku bukan mustahil dalam konteks perubahan ilkim yang melanda dunia.

Memang benar manusia tidak berupaya mengalih atau mengurangkan taburan hujan serta memperlahankan kelajuan angin. Bagaimanapun, manusia boleh menyesuaikan kehidupan dengan aturan alam itu. Kegiatan maritim tertentu misalnya menangkap ikan perlu dielakkan apabila ketinggian ombak mencapai skala berbahaya.

Maka jangan leka untuk menjaga diri dan keluarga. Dalam keadaan di mana sesetengah ahli politik ada ‘pesta’ lain yang lebih utama, siapa lagi kalau bukan kita menjaga sesama kita. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×