MUKADIMAH
Walaupun Barisan Nasional (BN) belum lagi memuktamadkan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun terdapat nama-nama berpotensi untuk diketengahkan setelah melihat kriteria ‘wali’ yang membawa maksud winnability (boleh menang), acceptibility (kebolehterimaan) dan likeability (disenangi) sejajar hasrat 70 peratus muka baharu.
Antara disebut-sebut adalah DATUK MOHD. NIZAR NAJIB yang dikatakan bakal mengantikan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan atau menjadi calon antara empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu.
“Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dipertimbangkan di kerusi tersebut. Namun sebagai ahli parti yang setia, ia tertakluk kepada keputusan dan sedia berkhidmat untuk warga Pekan. Terpulang kepada parti untuk melihat kesesuaian saya berkhidmat di sana sama ada Parlimen atau DUN,” katanya.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan jurufoto, AMIR KHALID di kediamannya di Ampang, Selangor baru-baru ini, Mohd. Nizar menegaskan, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan stabil apabila banyak pelabur lari kerana pertukaran tiga perdana menteri (PM) dalam sepenggal dan dasar tidak menentu berikutan sering bertukar pemimpin.
UTUSAN: Jadi calon PRU15?
MOHD. NIZAR: Sebenarnya saya memang sudah lama ingin berkhidmat kepada warga Pekan, sangat minat membantu golongan muda untuk dapat gaji lebih tinggi dan usahawan muda khususnya membangunkan syarikat permulaan seperti mana Grab sehingga membantu orang ramai.
Ramai cakap saya daripada keluarga politik tetapi nama itu tidak semestinya menjamin kejayaan dalam bidang tersebut kerana akhirnya orang menilai berdasarkan prestasi dan perkhidmatan. Yang penting bukan ahli keluarga, tapi penerimaan masyarakat terhadap seseorang wakil rakyat.
Kepimpinan parti selalu tekankan konsep wali iaitu seseorang calon dikira mempunyai potensi untuk menang dan disukai rakyat. Sekalipun dipilih, kita kena tunjukan prestasi agar diterima pengundi, bukannya menumpang pengaruh legasi Tun Razak.
Pekan kubu kuat UMNO?
Secara tradisi memang benar kubu kuat UMNO, tetapi tidak bermakna kita boleh duduk selesa tanpa persiapan. Parlimen Pekan pernah kalah dua DUN pada 1999 iaitu ketika gelombang reformasi, malah ayahanda saya menang tipis 241 undi.
Oleh demikian, dikatakan kubu kuat tetapi jika gagal memahami sentimen dan denyut nadi rakyat, risiko mungkin tak dapat keputusan diharapkan. Terkini, Parlimen Pekan ada empat DUN iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini dikuasai BN pada PRU14 walaupun berdepan tsunami politik.
Setelah pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan penurunan had umur 18 tahun, Pekan menyaksikan pertambahan jumlah pemilih sehingga 119,000 orang termasuk 7,000 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun berbanding 89,000 pengundi ketika PRU14.
Jadi, BN dan UMNO perlu pikat pengundi muda ini yang diketahui mereka susah nak masuk mana-mana parti dan terdedah kepada maklumat media sosial. Golongan ini mudah tertarik dengan janji-janji manis Pakatan Harapan (PH), akhirnya mereka kecewa apabila tidak dapat seperti diharapkan. Jadi, mereka belajar dan berhati-hati untuk pilih parti pada PRU15.
UMNO dan BN perlu bijak menggunakan medium tertentu seperti TikTok dan Twitter untuk menarik perhatian golongan ini menyokong kita.
Malaysia perlu kerajaan stabil. Kenapa?
Dalam soal ini, kestabilan amat penting untuk jaminan pembangunan negara. Rakyat sudah beri peluang pada PH memerintah dan kita hormati keputusan rakyat. Malangnya sejak 2018, kita alami tempoh tidak stabil. Bukan sahaja tidak tunai janji, mereka bergaduh sesama sendiri, PM ketika itu tidak mahu menyerahkan kerusi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dijanjikan dan menyebabkan pertelingkahan, akhirnya mereka tidak fokus pada pentadbiran dan rakyat terabai.
Dalam tempoh sepenggal ini, kita sudah ada tiga PM sekali gus menyebabkan pelaburan merosot apabila pelabur takut hendak letak duit sebab melihat negara ini mempunyai dasar tidak menentu kerana sering bertukar pemimpin. Misalnya, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan dan digantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Benda tidak patut buat tetapi mereka buat, akhirnya pendapatan negara berkurangan.
Tapi jika negara stabil, macam-macam kita boleh buat dan beri keyakinan seperti Johor selepas BN menang pilihan raya negeri (PRN) dan menguasai dua pertiga DUN, hasil pelaburan melonjak tinggi dan menerima kemasukan sehingga RM69 bilion. Begitu juga di Melaka.
Bagi saya, kestabilan itu penting memandangkan pengamal ekonomi dan syarikat multinasional menjangkakan kita mengalami kegawatan ekonomi dan dalam mendepani cabaran ini, kita perlu kerajaan yang kukuh.
Pilihan raya bukan eksperimen. Komen?
Sepatutnya dalam tempoh empat tahun lepas, kita sudah ada macam-macam projek misalnya projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pelbagai lagi. Tetapi ada projek dibatalkan dan dikaji semula, akhirnya yang rugi adalah rakyat.
Begitu juga projek lebuh raya Pan Borneo untuk mewujudkan rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak, akhirnya ia bertepatan dengan Indonesia yang membangunkan pusat pentadbiran kerajaan Nusantara di Kalimantan seperti Putrajaya.
Tetapi pemikiran pihak tertentu, kalau kerajaan tidak bagus, kita tukar balik. Ia tidak semudah itu sedangkan dalam tempoh lima tahun, macam-macam BN boleh buat jika mentadbir tetapi sebaliknya, perkara itu tergendala. Pilihan raya bukan eksperimen untuk pilih kerajaan sesuka hati.
Harus diingat ketika PRN Johor, peliknya Perikatan Nasional yang pernah terlibat membatalkan HSR memasukkan janji mewujudkan projek itu dalam manifesto mereka. Jadi, ini menunjukkan polisi dan dasar BN berkesan.
Apa BN boleh tawarkan?
Saya lihat BN perlu memasukkan manifesto untuk mengatasi masalah graduan menganggur. Ini perlu mengambil kira struktur itu sendiri di mana ada kursus ditawarkan tidak memenuhi permintaan industri.
Misalnya, kita memerlukan 100 doktor tetapi universiti keluar 500 graduan, jadi di mana nak letak 400 lagi?
Walaupun ada banyak perbincangan antara industri dan institusi pengajian tinggi dibuat, soal ini perlu diperhalusi dengan baik. Kerajaan kena wujudkan sistem pangkalan data terhadap keperluan pekerjaan dan graduan agar tidak berlaku lambakan di samping dasar-dasar berkesan. Malah dalam aspek Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), terlalu banyak pihak mengendalikan bidang, maka perlu satu penyelarasan agar tidak berlaku pertindihan tugas dalam menguruskan soal akademik dan kerjaya.
Selain itu, BN perlu menjadikan soal keselamatan makanan sebagai dasar utama negara kerana selama ini kita bergantung kepada import makanan sehingga mencecah perbelanjaan RM50 bilion. Jika kurang import, duit itu boleh guna untuk tujuan pembangunan lain. Maka kita perlu wujudkan lebih banyak peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang agrotani berteknologi baharu.
BN menang, Najib lepas. Benarkah?
Ia tidak semudah itu, perlu melalui proses mahkamah dan bergantung pengampunan diraja. Sebagaimana keputusan Mahkamah Persekutuan, ayahanda saya telah melalui pelbagai peringkat sebelum keputusan akhir. Justeru, kita minta semakan keputusan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan apabila merasakan ada kekhilafan dan kekurangan cara kes itu dikendalikan, maka semakan itu dibuat.
Ayahanda saya tidak minta kes digugurkan. Beliau mahu pembelaan dan pembicaraan yang adil. Ini kerana ada elemen meragukan sepanjang perbicaraan berlangsung. Jadi, terserah kepada mahkamah untuk buat keputusan.
Bagi pengampunan pula, ia bukan mudah. Kita bukan seperti PH yang membebaskan Anwar selepas menang pilihan raya. – UTUSAN










