Calon ‘otai’ masih relevan dalam politik - Utusan Malaysia

Calon ‘otai’ masih relevan dalam politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BANYAK orang muda melihat politik dengan rasa tidak percaya dan sinikal. Pada mereka, politik hanyalah ucapan berdegar-degar dan menjaja perjuangan atas nama rakyat, bangsa, agama, sedangkan apa yang berlaku sebaliknya.
Walaupun tidak semua menolak politik, pandangan negatif tersebut masih sukar dikikis lebih -lebih lagi melihat kepada calon lama yang masih mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Bagaimanapun, setiap parti ada sebab dan alasan untuk mempertaruhkan calon-calon lama dan mengitar semula.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah bekas Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, DATUK SERI AHMAD SAID dan Bekas Timbalan Presiden PKR, DR. SYED HUSIN ALI bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto, MOHD. FARIZWAN ABDULLAH.

MINGGUAN MALAYSIA: Dengan peningkatan jumlah pengundi 18 hingga 21 tahun adakah sepatutnya lebih banyak muka baharu diketengahkan berbanding calon yang dikitar semula?
AHMAD: Sebenarnya kalau mengambil contoh seperti Terengganu, kita tidak macam negeri lain. Di sini calon mesti orang yang berjasa sama ada pada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Kalau kata mahu beri pada orang muda, tapi orang tidak mengenali calon tersebut, susah juga. Sebab apa? Sebab kita perlu seimbangkan antara pendidikan, latar belakang dan rekodnya dengan khidmat dia di sesebuah kawasan.
Mungkin DUN tidak mengapa sebab kecil. Anggaran pun dalam 20,000 ke 30,000 undi. Tetapi tidak Parlimen. Sebagai contoh, Kemaman kita ada 140,000 pengundi dengan terdiri empat DUN.
Kalau dia orang muda, hebat atau mungkin bergelar profesor tapi orang tidak kenal, tidak guna juga. Orang akan tanya siapa calon ini, pernah bantu kita?
Bercakap ikut buku atau berteraskan teori bolelah. Tapi dengan rakyat lain. Perlu ada sentuhan.

Adakah perlu ada kombinasi antara calon muda dan orang lama?
Kombinasi memang perlu. Cuma jika seseorang itu bagus, mengapa pula mahu tengok usia dia? Di Jepun umur 80 hingga 90 tahun pun boleh menang. Contoh terdekat, kita boleh lihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau menang dalam PRU14 walaupun ramai kurang yakin dengan kemampuannya.

Jadi berapa peratus sesebuah parti perlu meletakkan calon muda?
Ia bukan dikira berdasarkan peratus tapi perlu lihat kepada kemampuannya. Adakah dia betul-betul winnable?
Kalau rasa boleh menang dengan pengalaman dan kebolehan dia, OK. Masalahnya orang hendak atau tidak calon ini? Dia pernah masuk kampung? Pernah tolong orang? Tidak kira sama ada belajar sampai tahap Doktor Falsafah (PhD) sekalipun, belum tentu dia dekat di hati rakyat.

Setiap parti ada pemimpin dalam kalangan orang muda sendiri. UMNO mempunyai Khairy Jamaluddin contohnya. Adakah peluang sesebuah parti untuk menang lebih tinggi sekiranya pemimpin muda tersebut diletakkan sebagai poster boy?
Poster boy dipilih berdasarkan orang yang boleh beri kemenangan kepada parti. Kalau letak orang muda tapi orang tanya siapa dia ini? Masalah nanti. Jadi, tidak semestinya perlu orang muda sebagai poster boy.
Malah, kalau mahu letak Khairy sebagai poster boy pun, beliau ada kelemahannya. Contoh sewaktu pegang Menteri Kesihatan. Ada beberapa pelaksanaan yang kita lihat tidak wajar. Saya sendiri sudah terkena pengalaman tersebut sewaktu ke London bersama keluarga. Arahan mengenai ujian saringan swab test agak bercelaru sebelum ini.
Orang yang hendak ke luar negara pada masa itu marah. Jadi setiap parti sebenarnya sudah kaji siapa yang wajar jadi poster boy.

Dengan pertambahan Undi 18 ini, adakah akan berlaku perubahan landskap politik tanah air selepas PRU-15 nanti?
Sudah tentu berlaku. Sebab mereka paling ramai. Di Terengganu, kita sedikit (menang dengan undi tipis). Jadi, kita harap pengundi muda buat pemilihan dan penilaian secara saksama bukan berdasarkan emosi.
Lebih-lebih lagi mereka ini cerdik, boleh menilai yang mana buruk yang mana baik.

Adakah penyertaan orang lama dalam politik ini sebenarnya satu keperluan?
Ada pro dan kontra. Kalau seseorang itu berusia tetapi mampu berkhidmat apa salahnya? Kalau muda tapi tak boleh buat apa-apa, tidak guna juga.
Politik bukan mudah dan bukannya bidang terjun dengan secara tiba-tiba boleh dilantik jadi calon. Sebab ada PhD, tidak semestinya orang akan terima. Berapa ramai ada PhD gagal dalam PRU sebelum ini?
Malah politik ini unik sebenarnya. Pemandu teksi pun boleh jadi orang politik. Sebab apa? Sebab pembawaan diri dan sumbangan serta pemikiran dan tatacara seseorang terutama apabila berdepan dengan rakyat. Orang boleh terima satu-satu calon itu.
Orang bandar mungkin tidak fikir sangat. Hendak lihat orang hebat dan sebagainya. Masalahnya kadang-kadang ada segelintir pemegang PhD pun tidak keluar mengundi. Cakap saja banyak. Daftar tidak pernah. Nasib baik sekarang sudah daftar automatik.
Jadi kita perlu ambil bahagian untuk menentukan masa depan negara. Kalau rasa hebat masuk politik bertandinglah jadi calon. Kita mahu lihat boleh buat kerja atau tidak? Sebab teori lain, praktikal lain.

Seperti kita tahu situasi politik di Terengganu seringkali berlaku cah keting (sabotaj). Adakah sekarang ia masih lagi berlaku?
Soal politik cah keting bukan hanya berlaku di Terengganu. Tapi di sini ia agak teruk di mana apabila berlaku cah keting kita tewas.
Kita sebenarnya seimbang antara Pas dan BN di Terengganu. Sejak selepas merdeka sampai sekarang, ketegangan memang berlaku, kedua-dua pihak ini seteru.

Bagaimana potensi BN di Terengganu?
Di Terengganu apabila menyebut politik, hampir di mana-mana menjadi tumpuan termasuk kedai kopi.
Ini bermakna orang Melayu suka politik. Selepas Parlimen dibubarkan tempoh hari, kita sudah bersedia lebih awal. Itupun atas permintaan rakyat Terengganu untuk adakan pilihan raya lebih awal. Bagaimanapun mereka agak terkilan sedikit sebab pilihan raya antara Parlimen dan DUN tidak boleh diadakan bersama kali ini.

Adakah PRU15 di Terengganu kurang terbeban disebabkan hanya membabitkan Parlimen sahaja?
Sebenarnya situasi sama sahaja.Apabila Parlimen bertanding DUN pun terlibat. Kita di Terengganu lagi teruk sebab satu Parlimen ada empat DUN. Jumlah pengundi pun besar. Jadi situasi itu sama sahaja.

Adakah keputusan PRU15 yang hanya membabitkan parlimen akan mempengaruhi DUN?
Itu kemungkinan besar berlaku. Orang yang duduk sideline dia akan sokong orang itu (menang). Dia tiada pendirian.
Sekarang ini, ada dua kemungkinan.Sekiranya BN menang ia akan membawa kepada DUN yang turut sama undi BN. Begitu juga sebaliknya. Tapi bergantung kepada isu tempatan dan ini perlu kita fahami daripada segi geopolitik.

Mesti ada kombinasi orang lama dan baru

MINGGUAN MALAYSIA: Dengan peningkatan jumlah pengundi muda termasuk pengundi 18 tahun, adakah sepatutnya lebih banyak muka baharu diketengahkan dalam PRU15?
SYED HUSIN: Kalau orang lama masih bagus dan tidak korup atau melakukan perkara yang dihina masyarakat, ia tidak menjadi masalah. Sebaik-baik mesti ada kombinasi lama dan baru, tua dan muda
Jangan terlalu lama dan tua sehingga menyekat minat orang muda. Dan muda tak semestinya bagus. Ada yang muda pun calon rosak. Sama ada muda atau tua kita mesti mahu calon bersih daripada sebarang pengkhianatan, rasuah dan perbuatan buruk.
Malah mereka juga boleh bela nasib rakyat. Kelayakan berdasarkan sijil PhD atau mungkin personaliti hanya satu faktor. Perlu ada faktor lain bagi memastikan kemenangan dalam PRU15 nanti berpihak kepada parti.
Pada saya, pendirian politik dan sikap terhadap rakyat dan ketaatan pada parti perlu menjadi asas utama dalam pemilihan calon termasuk dalam kalangan orang muda.
Jadi tidak boleh main pilih mana-mana yang hanya bersandarkan pada personaliti atau populariti semata-mata.

Adakah perlu ada kombinasi antara calon muda dan orang lama?
Sudah tentu perlu ada kombinasi daripada orang yang berpengalaman. Kombinasi itu secara tidak langsung dapat bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman. Ini sekaligus dapat memperkukuhkan parti dan meyakinkan rakyat dalam mencorak masa depan negara.

Jadi berapa peratus sesebuah parti perlu meletakkan calon muda dan muda ?
Pada saya sekurang-kurangnya 60 peratus perlu ada orang muda untuk sesebuah parti bertanding dalam PRU15 nanti.
Kita mesti banyakkan orang muda daripada orang tua lebih-lebih lagi dengan jumlah pengundi muda yang begitu ramai.

Setiap parti ada pemimpin yang dapat mewakili suara orang muda dan PKR ada beberapa nama seperti Fahmi Fadzil. Adakah peluang untuk menang cerah dan mampu meraih sokongan orang muda sekiranya pemimpin ini diletakkan sebagai poster boy?
Yang itu saya tak pasti. Soalan begini susah hendak jawab. Ia mungkin hanya tanggapan dan kita perlu memberikan fakta lengkap sebelum memberikan jawapan.

Dengan pertambahan Undi 18 ini, adakah akan berlaku perubahan landskap politik tanah air selepas PRU15 nanti?
Kalau mereka bersikap sebagai orang muda yang mahukan perubahan, maka memang bolehlah untuk buat perubahan. Kita boleh lihat pada peratusan yang akan keluar mengundi nanti.
Kalau ramai keluar undi Ok. Kalau keluar mengundi tidak ramai dan yang keluar itu tidak membawa perubahan, tidak guna juga dan ia akan berlanjutan dengan cara lama dan berpotensi menjadi lebih buruk.
Sebenarnya boleh jadi teladan baik atau buruk. Jadi kita hendak jadi teladan buruk. Yang nuruk jangan dinaikkan. Yang korup yang menipu itu perlu lihat balik. Tak cukup hanya tang tua dan muda. – Mingguan Malaysia 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×