‘Buka jendela’ Taiwan naik taraf industri kita

‘Buka jendela’ Taiwan naik taraf industri kita

WIWYNN Corporation melabur sebanyak RM500 juta untuk kilang penyepaduan rak dan kilang papan litar bercetak (PCB) di Senai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIWAN pernah muncul sebagai salah satu pelabur tertinggi di negara ini pada 1990-an. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat-syarikat dari Taiwan kembali menunjukkan minat terhadap perkembangan perindustrian di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Ini terbukti berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Dari 1980 hingga 2021, Taiwan menjadi rakan pelabur kelapan terbesar pelaburan langsung asing (FDI) untuk sektor pembuatan selepas Belanda, Singapura, Jepun, AS, China, Korea Selatan dan Jerman. Dalam tempoh sama, pelaburan bernilai RM42.39 bilion dari Taiwan direkodkan dalam sektor pembuatan negara, menghasilkan sebanyak 2,577 projek pelaburan dan 386,762 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Jika limpahan ekonomi diukur melalui bilangan projek pelaburan dan bilangan pekerjaan yang diwujudkan, Taiwan berada pada kedudukan ketiga selepas Jepun dan Singapura. Senario tersebut menunjukkan pelaburan dari Taiwan menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi negara. Dengan pembukaan semula pintu sempadan negara dalam era pascapandemik, lebih banyak pelaburan Taiwan dijangka memasuki Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun, apa yang perlu diberi perhatian adalah faktor selain daripada kiraan kuantitatif. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan kualiti dalam pelaburan Taiwan ke Malaysia. Ally Logistics Property (ALP) dan Wiwynn Corporation merupakan contoh-contoh signifikan.

Kemudahan gudang pintar OMega ALP di Bukit Raja, Selangor berupaya menarik pelaburan bernilai RM4.14 bilion di samping mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan mahir untuk rakyat Selangor.
Wiwynn Corporation melabur sebanyak RM500 juta untuk kilang penyepaduan rak dan kilang papan litar bercetak (PCB) di Senai, Johor. Secara keseluruhannya, kedua-dua kilang tersebut dijangka mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan mahir untuk rakyat Johor. Pada masa sama, Wiwynn Corporation turut meneroka kemungkinan menawarkan latihan kemahiran kepada graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam masa terdekat.

MENGEKALKAN KELEBIHAN

Menurut tinjauan Standard Chartered for Borderless Business: Taiwan-ASEAN Corridor pada 2021, kemasukan pelaburan tinggi dari Taiwan menunjukkan Malaysia terus menjadi destinasi strategik walaupun kedua-dua pihak tidak menjalin sebarang hubungan diplomatik sejak 1974.

Namun demikian, masih terdapat beberapa cabaran dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala tersebut, iaitu peningkatan pelaburan Taiwan ke Vietnam, defisit tenaga kerja teknikal tempatan dan kekurangan peningkatan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan negara.

Lantaran itu, terdapat tiga langkah perlu diambil untuk mengekalkan kelebihan di rantau ini serta menangani cabaran sedia ada. Pertama, Malaysia harus menggalakkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mewujudkan program vokasional berimpak tinggi bagi menarik pelabur-pelabur dari Taiwan. Seperti diketengahkan oleh Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), kekurangan tenaga kerja mahir merupakan masalah jangka panjang yang menjejaskan pemulihan ekonomi negara dalam era pascapandemik.

Namun demikian, Malaysia dilihat tidak mempunyai peluang untuk meneruskan pendekatan perniagaan seperti biasa sekiranya Vietnam terus memanfaatkan kehadiran pelabur-pelabur dari Taiwan untuk melatih dan menggaji tenaga kerja mereka melalui 70 program vokasional yang ditubuhkan dengan IPT Taiwan. Sebaliknya, Malaysia perlu merancang strategi tetumpu seperti penawaran latihan-latihan khusus untuk industri-industri bernilai tinggi melibatkan pelaburan Taiwan sedia ada.

Salah satu potensi adalah mewujudkan program vokasional (termasuk pengaturan penempatan kerja) bagi industri-industri yang terbabit dalam pengeluaran semikonduktor.

Dalam erti kata lain, Malaysia perlu menggunakan status sebagai pengeluar semikonduktor dari peringkat rendah ke sederhana untuk meningkatkan nilai tambah dalam aspek tenaga kerja dan seterusnya, menaik taraf industri-industri melalui penguasaan teknologi canggih dalam kalangan pekerja tempatan.

Kedua, Malaysia harus mengambil kesempatan sebagai status negara destinasi tradisional pelaburan Taiwan yang sudah wujud sejak 1980-an. Malaysia harus menggunakan kelebihan ini untuk menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat-syarikat tersohor Taiwan terutama pembuat barangan bernilai tinggi.

Memandangkan di Malaysia mempunyai banyak syarikat Taiwan yang membekalkan barangan bernilai rendah dan sederhana kepada syarikat berkepentingan dalam rantaian bekalan pembuatan, MIDA boleh bekerjasama dengan Persatuan Perdagangan dan Industri Taiwan di Malaysia (TWCHAM)

Akhir sekali, Malaysia perlu memastikan PKS tempatan mendapat manfaat daripada pemindahan teknologi tertentu melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat Taiwan. Memandangkan teknologi Taiwan adalah lebih murah, boleh dipercayai dan dipindahkan kepada rakan-rakan kongsi tempatan dalam jangka masa panjang, Malaysia harus memanfaatkan ketiga-tiga kelebihan ini untuk mencapai peningkatan industri dalam sektor pembuatan.

Memandangkan situasi geopolitik dan geostrategik serantau yang tidak menentu, Taiwan dan Malaysia boleh memperoleh manfaat bersama dengan menyusun strategi kerjasama industri sedia ada. Dalam masa pelabur-pelabur Taiwan menjadikan Malaysia sebagai penampan untuk mengurangkan kadar kebergantungan mereka terhadap China, negara juga harus mengambil peluang ini dengan ‘membuka jendela’ Taiwan dalam penaiktarafan industri pembuatan tempatan. Ini termasuk meningkatkan usaha-usaha untuk menarik pengetahuan, modal dan teknologi dari Taiwan ke Malaysia. – UTUSAN

LEE Chee Leong ialah Pensyarah Kanan di Institut Pengajian China, Universiti Malaya; NURLIANA Kamaruddin ialah Pensyarah Kanan di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya; LIN Kai Min ialah Presiden Persatuan Perdagangan & Industri Taiwan di Malaysia (TWCHAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN