Apa tersirat bubar Parlimen 10 Oktober?

Apa tersirat bubar Parlimen 10 Oktober?

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bertemu para petugas media selepas menyampaikan Perutusan Khas Pembubaran Parlimen di Putrajaya, 10 Oktober lalu. – IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUBARAN Parlimen pada 10 Oktober lalu dan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti adalah berasaskan keputusan dan matlamat besar, iaitu membentuk kestabilan politik negara. Namun, tidak semua pihak (termasuk beberapa kumpulan dalam kalangan menteri Kabinet) bersetuju Parlimen dibubarkan pada masa ini atas alasan masalah ekonomi dan beberapa keperluan lain serta cuaca tidak begitu sesuai.

Walaupun ada tentangan dan ketidaksetujuan, keputusan telah dibuat bahawa PRU perlu diadakan bagi membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar sah dan mendapat mandat rakyat. Kerajaan yang ada sekarang, sesetengah pihak berpendapat tidak sah kerana bukan dibentuk berasaskan mandat rakyat.

Ada menyifatkan kerajaan sekarang sebagai ‘kerajaan tebuk atap’, ‘kerajaan pintu belakang’ dan seumpamanya. Kita akui ada benarnya kenyataan ini dari beberapa sudut pandang tertentu. Belum pernah ada menteri Kabinet daripada parti-parti politik berbeza dan dalam masa sama pertembungan pendapat dan falsafah yang amat jelas berlaku di luar Kabinet. Pertembungan yang jelas berlaku di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, tetapi berada dalam satu Kabinet di peringkat Pusat.

Ini semua berlaku kerana ‘keterpaksaan’ situasi semasa. Kerajaan yang dibentuk pada 1 Mac 2020 pada asasnya melihat kepada perpaduan Melayu – UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung tenaga walaupun berbeza dalam aspek tertentu bagi membentuk sebuah kerajaan berteraskan Melayu-Islam. Kerajaan sebelum ini dikatakan tidak menjaga kepentingan Melayu-Islam dan bercanggah dengan ketiga-tiga parti Melayu itu.

Atas dasar itu, UMNO, Pas dan Bersatu walaupun pada asasnya berbeza pendapat dan bermusuh, sanggup bergabung dan membentuk sebuah kerajaan dengan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM). Pada Ogos 2021, beliau digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila pergeseran dalaman berlaku dan tidak dapat dielakkan.

Penyelesaian jangka pendek kerjasama parti-parti politik Melayu gagal membentuk kestabilan. Pimpinan politik Melayu hanya insaf seketika ketika lembing musuh benar-benar tertusuk di dada nasib bangsa. Bila lembing beracun musuh berjaya ditarik keluar, percakaran terus bermula. Sukar untuk dicari jalan penyelesaian yang benar-benar tepat dan keinsafan kesedaran kekal berpanjangan.

Parti-parti politik Melayu berada dalam perpisahan yang nyata – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pakatan Harapan (PH). Amat sukar bagi empat gabungan ini membentuk satu kerjasama berasaskan perpaduan bangsa-agama. Masing-masing mempunyai hujah tersendiri. Ia tidak salah bagi negara kita yang mengamalkan demokrasi.

MUSTAHIL

Yang menjadi tanda tanya, dengan keadaan sedemikian akan terbentukkah sebuah kestabilan politik negara pasca PRU15? Adakah akan wujud sebuah parti politik Melayu benar-benar dominan yang mampu membentuk sebuah kerajaan? Adakah gabungan politik yang mampu mendapat sekurang-kurangnya majoriti mudah sebanyak 112 anggota? Andainya gagal mendapat angka 112 bagi mana-mana gabungan politik di atas, apakah yang berlaku kepada politik negara pasca PRU15? Inilah persoalan besar yang perlu difikirkan bersama secara keseluruhan bagi semua pengundi dan rakyat.

Setiap gabungan parti-parti politik Melayu di atas ada baik dan buruknya. Adalah mustahil sesebuah gabungan parti politik mempunyai sifat yang sempurna.

BN ada keburukannya dalam aspek pimpinan atasan yang dikatakan ada kaitan dengan kes mahkamah dan amalan rasuah. PH walaupun pimpinan utamanya Melayu, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), DAP mempunyai kekuatan di dalamnya.

PN adalah gabungan baharu yang belum terbukti pimpinannya berbanding BN yang mempunyai latar belakang sejarah dan bukti jelas pengalaman pentadbiran yang panjang sejak awal merdeka.

Memperdebatkan keburukan dan kelemahan tidak akan membawa penyelesaian. Kita akan terus bercakaran sesama sendiri yang membawa kepada perpecahan tidak berkesudahan. Dalam masa sama, musuh politik kita membina kekuatan yang semakin kukuh. Kekuatan musuh politik terbina bukan kerana mereka benar-benar kuat tetapi kerana kita orang Melayu berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri tidak berkesudahan.

Kerana kelemahan kita, hak seperti termaktub dalam perlembagaan tidak dapat dipenuhi, dan musuh kita meminta yang lebih-lebih (yang kadang-kadang bercanggah dengan peruntukan perlembagaan). Kita terpaksa memberi hak kepada musuh kita kerana perlukan bilangan anggota Parlimen bagi membentuk kerajaan. Kita membiarkan kemusnahan jangka panjang bangsa-agama semata-mata memenuhi kepentingan politik jangka pendek.

Ayuh, para pengundi, bagaimana kita harus bertindak bagi memastikan PRU15 membawa kestabilan untuk bangsa-agama dan semua? Jangan mengundi mengikut perasaan marah dan kebencian kepada mana-mana pihak. Undi harus didasarkan kepada asas rasional dan fakta kebaikan. Jangan membenci mana-mana parti politik. Setiap parti politik ada baik dan buruknya. Pilih unsur-unsur kebaikan yang ada pada sesebuah parti politik.

Pengundi Melayu seharusnya memilih satu gabungan politik Melayu secara menyeluruh. Jangan sekali-kali membuat keputusan mengundi kerana perasaan tanpa fakta rasional yang logik menjuruskan kepada kestabilan politik serta jaminan masa depan negara.

Andainya menjelang 20 November 2022, keputusan masih seperti sebelum PRU15 (tiada parti dominan berkuasa), kita sebenarnya gagal mencapai matlamat tersirat kenapa pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

Undi milik anda, anda bebas memilih. Pilihlah dengan tepat demi bangsa dan kestabilan politik-ekonomi yang stabil dan hidup sejahtera. Selamat mengundi dengan jiwa suci dan roh penuh sedar. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid ialah bekas Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kini mengikuti pengajian sarjana undang-undang (LLM in International Law) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN