‘Jangan ambil hak orang lain’ jadi prinsip Ayob Khan kekal integriti

‘Jangan ambil hak orang lain’ jadi prinsip Ayob Khan kekal integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jangan ambil hak orang lain.” Hanya lima patah perkataan namun itulah pesan paling bermakna yang ditinggalkan arwah bapa Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan menjadi prinsip yang membentuk perjalanan hidup serta kerjaya beliau selama hampir 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi Timbalan Ketua Polis Negara itu, pesanan berkenaan bukan sekadar mengajar supaya tidak mengambil harta milik orang lain sebaliknya menjadi prinsip hidup untuk tidak menyalahgunakan kuasa, menerima rasuah atau mengkhianati amanah apabila diberikan tanggungjawab.

Menurut beliau, prinsip itu menjadi benteng yang membimbing setiap keputusan sepanjang kerjayanya sebagai pegawai polis termasuk ketika berdepan pelbagai tekanan, ancaman dan kritikan.

Katanya, ketika masih kecil beliau mungkin belum memahami istilah rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa namun perbuatan mengambil sesuatu yang bukan hak sendiri adalah satu kesalahan.

“Arwah ayah saya bukan seorang yang banyak bercakap, tetapi setiap nasihat yang diberikan mempunyai makna yang sangat mendalam.

“Satu pesanan beliau yang masih saya pegang sehingga hari ini ialah, ‘jangan ambil hak orang lain’,” katanya dalam Majlis Pelancaran Buku Biografi Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti, di sini baru-baru ini.

Ayob Khan berkata, apabila menyertai PDRM, beliau mula memahami makna sebenar pesanan tersebut.

Menurutnya, nasihat itu bukan sekadar melarang seseorang mengambil harta orang lain, malah merangkumi larangan menyalahgunakan kuasa, menerima rasuah dan mengkhianati amanah yang diberikan.

“Pesanan ringkas itulah menjadi prinsip yang saya pegang sepanjang perkhidmatan,” katanya.

Pangkat berakhir, integriti kekal jadi penentu diri  bahawa jawatan dan pangkat yang disandang seseorang hanyalah amanah sementara, manakala nilai integriti akan terus menjadi penentu kepada siapa diri seseorang.

Katanya, nilai itu bukan sekadar slogan sebaliknya perlu diterjemahkan melalui setiap keputusan dan tindakan khususnya apabila seseorang diberikan kuasa serta tanggungjawab yang lebih besar.

“Pangkat akan berakhir. Jawatan akan bertukar. Seragam akhirnya akan ditanggalkan etapi nilai yang kita pegang akan menentukan siapa diri kita.

“Bagi saya, integriti ialah asas kepada pembentukan diri setiap manusia. Ia bermula daripada perkara kecil, daripada cara kita dibesarkan, cara kita mencari rezeki, melaksanakan tugas dan membuat keputusan ketika tiada siapa melihat.

“Semakin tinggi jawatan yang diberikan, semakin besar cabaran dan tekanan yang perlu dihadapi. Pada ketika itulah integriti tidak boleh tinggal sebagai slogan,” katanya.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh seorang penjawat awam tidak boleh dipengaruhi kepentingan individu atau populariti, sebaliknya mestilah berpandukan undang-undang, fakta dan kepentingan negara.

Katanya, imej sesebuah organisasi juga tidak akan dapat dipertahankan dengan menyembunyikan kesalahan, sebaliknya dipulihkan melalui ketelusan, siasatan yang adil dan tindakan sewajarnya.

“Sekali kepercayaan masyarakat hilang, ia memerlukan masa yang sangat panjang untuk dibina semula. Sebab itu setiap tindakan perlu dilaksanakan secara adil, telus, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.

 

Dari Pendang ke Bukit Aman

Ayob Khan mengakui perjalanan hidupnya bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dilahirkan di Tanah Merah, Pendang, Kedah dalam keluarga sederhana, beliau membesar di rumah tanpa bekalan elektrik dan air paip.

Selepas pulang dari sekolah, rutin hariannya ialah membantu keluarga di kedai kopi milik arwah bapanya dengan membersihkan meja, mencuci pinggan, melayan pelanggan dan belajar menebar roti canai.

Pengalaman itu, katanya, mengajar erti kerja keras, disiplin dan menghargai setiap rezeki yang diperoleh secara halal.

“Jangan takut bermula dari bawah. Kerja yang halal tidak pernah merendahkan maruah seseorang. Saya pernah membersihkan meja, mencuci pinggan dan menebar roti canai. Semua pengalaman itu mengajar saya kejayaan memerlukan usaha, disiplin, kesabaran dan keberanian,” katanya.

Menurut Ayob Khan, penerbitan buku berkenaan bukan bertujuan mengangkat nama atau menggambarkan dirinya sebagai individu yang tidak pernah melakukan kesilapan, sebaliknya merakamkan perjalanan hidup yang penuh dengan pengajaran dan nilai kepimpinan.

Katanya, pelbagai pengalaman termasuk kejayaan, tekanan, ancaman, kritikan dan kekecewaan membentuk prinsip hidup serta pendekatannya dalam melaksanakan amanah kepada negara sepanjang menyertai PDRM sejak 1991.

Ujar beliau, setiap pencapaian yang diraih bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya didorong oleh sokongan keluarga, bimbingan guru, kepercayaan ketua, kerjasama rakan sekerja dan pengorbanan seluruh warga PDRM.

“Saya mahu dikenang bukan semata-mata kerana jawatan yang pernah disandang tetapi disebabkan usaha mempertahankan prinsip undang-undang mesti dilaksanakan dengan adil dan amanah rakyat tidak boleh dijual beli.

“Saya berharap buku ini tidak dibaca semata-mata untuk mengetahui siapa Ayob Khan, sebaliknya memahami setiap orang mempunyai peluang untuk menyumbang kepada negara melalui kerja keras, integriti dan amanah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN