ISU kuota, merit dan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sering menjadi perdebatan setiap kali keputusan kemasukan diumumkan. Namun, masyarakat perlu melihat pendidikan bukan sekadar ruang persaingan mendapatkan tempat di universiti tetapi sebagai wahana penting membina perpaduan dan membentuk identiti negara bangsa.
Sejak Penyata Razak 1956 hingga Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, sektor pendidikan memainkan peranan besar dalam membina masyarakat yang bersatu.
Sistem pendidikan negara terus mengalami perubahan bagi memenuhi tuntutan dunia yang semakin kompleks, namun matlamat utama untuk melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan memiliki semangat kebangsaan perlu kekal menjadi keutamaan.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, keharmonian dan perpaduan melalui pendidikan perlu terus diperkasa.
Allahyarham Datuk Prof. Dr. Siddiq Fadzil pernah menegaskan politik Islam dalam konteks masyarakat pelbagai latar perlu mendukung prinsip kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
Perbezaan latar belakang, budaya dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat bergerak bersama demi kepentingan negara.
Malaysia mempunyai potensi menjadi contoh kepada dunia dalam mengurus kepelbagaian. Namun, selepas hampir 69 tahun mencapai kemerdekaan, persoalan berkaitan perpaduan kaum dan integrasi nasional masih terus dibincangkan. Keadaan ini menunjukkan usaha membina bingkai kesatuan masih memerlukan pengukuhan.
Pelbagai isu berkaitan pendidikan, termasuk soal kuota kemasukan ke universiti, perlu dibincangkan secara matang dan terbuka. Perbezaan pandangan tidak seharusnya mencetuskan perpecahan, sebaliknya menjadi ruang untuk mencari penyelesaian yang adil dan terbaik untuk semua pihak.
Dalam hal ini, budaya dialog perlu diperkukuh sebagai pendekatan utama dalam menyelesaikan perbezaan. Dialog yang sihat perlu berasaskan sikap saling menghormati, kepercayaan, keterbukaan dan kesediaan menerima pandangan berbeza.
Apabila masyarakat mengamalkan adab serta etika ketika berdiskusi, keputusan yang dicapai akan lebih rasional dan mencerminkan kebijaksanaan bersama.
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuh sistem pendidikan negara. Prinsip menyediakan peluang kepada pelajar yang layak melalui saluran yang telus dan berintegriti perlu terus dipertahankan agar keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan sentiasa terpelihara.
IPT pula menjadi medan penting dalam membentuk sahsiah, pemikiran dan jati diri pelajar sebelum mereka memasuki alam pekerjaan serta masyarakat. Oleh itu, pendidikan tinggi tidak boleh hanya menumpukan kecemerlangan akademik tetapi perlu turut membina nilai integriti, perpaduan dan tanggungjawab sosial.
Pada masa sama, usaha memperkukuh pemahaman terhadap sejarah pendidikan negara perlu diteruskan. Sejarah bukan sekadar catatan masa lalu tetapi menjadi asas memahami pembentukan Malaysia hari ini.
Kegagalan sistem pendidikan melahirkan generasi berilmu dan pemimpin berkualiti boleh memberi kesan besar terhadap kemajuan sesebuah negara.
Nilai kejujuran, amanah dan integriti perlu menjadi pegangan setiap warga. Konsep ‘Bela Negara’ juga wajar diperkasakan sebagai sebahagian daripada identiti nasional dengan menanam rasa cinta kepada tanah air, menghormati Perlembagaan, mempertahankan kedaulatan negara serta bangga menjadi rakyat Malaysia.
Akhirnya, tanggungjawab mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan terletak pada semua pihak. Dalam sistem inilah tersimpan sejarah, nilai dan wajah Malaysia.
Pendidikan bukan hanya membina individu berilmu tetapi menjadi jambatan menghubungkan kepelbagaian masyarakat ke arah sebuah negara yang bersatu dan harmoni. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










