Amalkan politik bekerja untuk rakyat - Utusan Malaysia

Amalkan politik bekerja untuk rakyat

Amirudin Shari (tengah) ketika meninjau masalah rakyat termasuk kerja-kerja membaik pulih jambatan di pekan Dengkil yang runtuh tidak lama dulu. – MINGGUAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik adu domba dan usaha untuk memecahbelahkan keharmonian pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)di Selangor, namun apa yang diutamakan adalah prinsip politik bekerja dan selesaikan masalah rakyat.
Sebab itu, di sebalik pelbagai cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan, kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari, beliau kekal istiqamah menyantuni rakyat melalui Iltizam Selangor Penyayang.
Walaupun politik adu domba dan angin pecah belah sentiasa ditiup bagi mewujudkan kebencian, namun ia tidak menjejaskan apa sahaja usaha untuk membantu rakyat.
Semua itu bukan halangan untuk kerajaan Selangor melaksanakan lebih 46 program bantuan untuk rakyat Selangor.
Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tabiat dan resam politik lama yang diamalkan oleh pihak-pihak sebelum ini terutama oleh Barisan Nasional (BN) sentiasa cuba untuk merobek kesepakatan terdapat di Selangor.
Namun segala usaha termasuk dakyah yang dilakukan gagal merobek kesepakatan atau dapat meroboh politik damai yang dicetuskan oleh kerajaan PH.
Kerajaan PH di bawah pimpinan Amirudin tenang mengharungi badai adu domba dan resam politik kuno ini dengan tumpuan kepada rakyat tidak pernah beralih arah.
Pendirian kepimpinan Amirudin yang mengamalkan sikap cakap serupa bikin dan bikin serupa cakap telah memberi manfaat besar kepada penduduk Selangor hingga tidak ada isu besar yang dibangkitkan.
Mana tidaknya, cuba semak apa yang kerajaan Selangor lakukan demi kepentingan rakyat. Pelbagai perkara yang dirancang sudah dilakukan dan semuanya memberi faedah kepada rakyat.
Janganlah diajak bergocoh dengan rakyat. Sebaliknya cuba fikir dan usahakan apa yang perlu bagi menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi mereka. Sebagai pemimpin tanpa mengira parti, atau sama ada dalam kerajaan atau tidak, mereka sepatutnya memikirkan bagaimana membantu rakyat menyelesaikan masalah kehidupan yang terhimpit akibat harga barang naik dan kos sara hidup yang tinggi.
Itu yang dilakukan oleh Amirudin dan pasukannya dalam kerajaan Selangor. Fokus mereka adalah rakyat. Pelbagai program bantuan telah dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat.
Ini terbukti apabila rakyat mendapat manfaat menerusi bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS.
Bantuan kewangan RM300 sebulan dan RM3,600 setahun kepada rakyat Selangor untuk beli barangan keperluan, bayaran yuran sekolah serta tuisyen dan Taska serta pembelian kelengkapan sekolah.
Selain itu, Skim Air Darul Ehsan (SADE) turut membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah yang mana air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan diberikan kepada yang layak.
Pada musim perayaan pula, golongan yang kurang berkemampuan ini turut dibantu melalui Jom shopping. Ini adalah bantuan berbentuk baucar bernilai RM100 kepada golongan B40 bersempena Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Bagi golongan belia yang mana motosikal adalah kenderaan utama mereka, kerajaan Selangor melancarkan program Roda Darul Ehsan (RIDE) iaitu subsidi lesen motor buat golongan belia yang terlibat dalam industri penghantaran makanan atau p-Hailing dan tambahan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dana bantuan guaman iaitu khidmat guaman percuma kes kekeluargaan dan pekerjaan dilaksanakan oleh Selangor Legal AID dengan pemberian subsidi (RM1,500) individu atau RM2,000(berkumpulan).
Begitu juga dengan skim insuran Usia Emas iaitu baucar beli belah di pasar raya terpilih dengan nilai RM100 dan pemberian RM500 khairat kematian di samping Bas Smart Selangor yang memberikan khidmat percuma di seluruh negeri.
Bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, pengecualian bayaran lesen penjaja telah diperkenalkan di semua kawasan PBT Selangor. Bagi rumah kampung dan kos rendah, pemiliknya dikecualikan daripada membayar cukai pintu.
Golongan orang kurang upaya (OKU) juga tidak dipinggirkan dengan mewujudkan Pusat Kehidupan Berdikari atau Independent Living Centre (ILC). Ini pusat khusus untuk latihan pekerjaan pemberdayaan kepada golongan OKU sasar supaya boleh hidup berdikari dan bersama masyarakat tanpa merasa terasing.
Keutamaan rakyat juga dibuktikan menerusi Skim Rawatan jantung iaitu bantuan kos rawatan sehingga RM50,000.
Bantuan Sihat Selangor iaitu bantuan rawatan bagi penyakit, dialisis, alatan perubahan, katarak mata, pembedahan kecil, kaki palsu dan lain-lain semuanya untuk rakyat.
Itu belum termasuk program saringan kesihatan percuma, ujian saringan Selangor Kanser (SELcan) bagi saringan kanser prostat, kolorektal dan pangkal rahim percuma di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerajaan Selangor yang diterajui Amirudin amat memahami tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat kebanyakan selepas pendemik Covid-19.
Atas tanggungjawab itu Cakna Kesihatan Mental (SEHAT) diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental selain memberikan subsidi bagi bantuan psikiatri.
Ini adalah sebahagian daripada lebih 40 program bantuan rakyat yang membuktikan sikap peduli rakyat yang diamalkan oleh kerajaan PH di Selangor. Semua ini berjaya mengurangkan bebanan rakyat Selangor.
Sebab itu, untuk PRU15 mari kita ucapkan selamat tinggal kepada resam politik adu domba dan pecah belah yang menjadi senjata politik pihak tertentu untuk mendapat kuasa. Rakyat harus dibela dalam apa jua keadaan.

Datuk Dahlan Maamor adalah Penasihat Media Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN