PGA rampas 1,400 pokok Orkid disyaki diseludup dari Thailand

PGA rampas 1,400 pokok Orkid disyaki diseludup dari Thailand

RAMPASAN orkid yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am selepas menahan seorang lelaki di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG : Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,400 pokok bunga orkid dipercayai diseludup dari Thailand dalam perasi di Kampung Lalang Pepuyu di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, sepasukan anggota Strike Force Sektor A, Kompeni A Batalion 8 PGA mengesan sebuah Toyota Hilux Single Cab dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan di kawasan berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas kemudian menahan kenderaan tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan sejumlah besar pokok bunga orkid yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran tanpa kebenaran sah dan disyaki mengandungi serangga perosak.

“Susulan itu, pemandu terbabit ditahan manakala kenderaan serta semua pokok bunga orkid berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan dianggarkan RM400,000 melibatkan sebuah Toyota Hilux bernilai RM120,000 dan 1,400 pokok bunga orkid bernilai RM280,000,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati, bekalan pokok bunga orkid tersebut dipercayai diperoleh dari kawasan sekitar sempadan di Kampung Rahmat, Rantau Panjang sebelum dihantar ke pasaran di negeri-negeri Pantai Timur.

Katanya, antara destinasi yang dikenal pasti bagi pasaran bunga berkenaan ialah Terengganu dan Pahang yang mempunyai permintaan tinggi terhadap tanaman hiasan tersebut.

“Kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN