KOTA KINABALU: Perbezaan politik bukan lesen untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi meraih gelak ketawa atau tepukan orang ramai.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU) yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan kitab Bible (Alkitab) amat tidak wajar, keterlaluan serta tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
“Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa ucapan tersebut amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru mengecewakan apabila masih ada pemimpin memilih menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik selepas lebih enam dekad negara hidup dalam kepelbagaian.
Katanya, politik mempunyai batas, manakala kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati.
“Negara ini mempunyai Perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat,” katanya.
Menurutnya, BN berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama.
Arthur berkata, perbezaan pandangan politik, kritikan terhadap dasar dan perdebatan secara tegas masih boleh dilakukan, namun menjadikan agama serta kepercayaan orang lain sebagai bahan gurauan sudah melangkaui batas kewajaran.
Sehubungan itu, beliau mendesak Noorazli memohon maaf secara terbuka tanpa alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang tersinggung dengan ucapan berkenaan.
“Saya menyeru semua pemimpin politik, tanpa mengira ideologi parti, supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh agama, kaum dan institusi diraja.
“Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










