PETALING JAYA: Penyanyi, Kaka Azraff mengesahkan rumah tangga yang dibina bersama suaminya, Adam Azriff, telah berakhir dengan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, semalam.
Menurut Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 37, dia telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan perkahwinan mereka yang kembali dibina selepas rujuk, namun akur apabila takdir menentukan sebaliknya.
“Betul, saya sudah bercerai talak dua semalam selepas kami cuba memperbaiki hubungan buat kali kedua. Kami berpisah dalam suasana yang tenang dan baik.
“Saya mahukan yang terbaik dalam kehidupan. Mungkin inilah jawapannya dan saya menerimanya dengan hati yang reda serta lapang. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun inilah takdir yang telah ditentukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, pelantun lagu Gila itu tidak menganggap perceraian kali kedua sebagai satu kegagalan, sebaliknya menyifatkan pengalaman tersebut sebagai proses yang mematangkan dirinya.
“Perkahwinan ini banyak mengajar saya untuk lebih mengenali diri sendiri. Saya tidak pernah menyangka mampu melalui semua ini sambil membesarkan tiga cahaya mata.
“Mereka adalah sumber motivasi dan kekuatan saya untuk terus melangkah dalam kehidupan. Saya bukan sahaja melahirkan mereka, tetapi turut melahirkan versi diri yang lebih kuat dan lebih memahami keseimbangan antara keluarga, kerjaya serta pegangan hidup.
“Pada usia 37 tahun, cara saya melihat kehidupan dan keutamaan saya juga sudah banyak berubah,” katanya.
Terdahulu, Kaka dan Adam pernah bercerai pada 28 Oktober 2024 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula pada awal tahun 2025.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 7, Aryan, 5, dan Atta Adam yang kini berusia dua tahun. – UTUSAN










