PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan pertandingan beliau di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Dari luaran, pertarungan Ketua Pembangkang itu membawa risiko tertentu.
Namun, pencalonan itu sangat signifikan. Sekiranya beliau menang di Tambun, maka kemenangan ini akan merangsangkan gagasan pembangkang di peringkat Persekutuan dan negeri.
Barangkali inilah percubaan kali terakhir bagi Anwar yang sudah berusia tua sekarang. Kalau Anwar menang, beliau dapat memenuhi impian politiknya dengan melakukan sesuatu pembaharuan. Sekiranya tewas, beliau terpaksa berundur ke barisan kedua dan menyerahkan kerja kesinambungan politik kepada generasi pelapis.
Setelah dipecat daripada pucuk pimpinan UMNO, Anwar menghadapi satu lagi kekecewaan besar apabila pimpinan beliau melalui pengkhianatan pengikut dan sekutu sehinggakan PH hilang tampuk pemerintahan di Putrajaya pada Februari 2020. Mujurnya, berkat sokongan padu sebilangan besar pengikut dalam PKR dan dua parti sekutu, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Anwar dapat bangkit semula.
Karisma politik Anwar tidak pernah luntur dalam tempoh 20 tahun yang lepas. Pemimpin politik yang bersemangat perjuangan tabah dan tidak mudah menyerah kalah seperti Anwar sememangnya tidak ramai.
Dalam tiga PRU lalu, Anwar didapati lebih cenderung bertanding di kerusi-kerusi yang relatif selamat atau mempunyai peluang kemenangan lebih terjamin. Misalnya PRU 2013, pada mulanya beliau pernah mengumumkan rancangan untuk turun ke Perak, tetapi akhirnya kembali ke Permatang Pauh.
Pertukaran medan perang pada saat akhir dalam PRU akan menggoncang hati angkatan seperjuangan dan memudaratkan perjuangan politik. Kali ini, Anwar mesti berpegang teguh kepada pilihan dan keputusan bertanding beliau agar tidak menjejaskan perjuangan PH.
Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen, kedua banyaknya selepas Johor. Daripada keputusan PRU14, PH tidak berpeluang cerah untuk memenangi kerusi di Gerik, Lenggong, Parit dan Larut. Namun, PH telah menawan 13 daripada 20 kerusi. Tujuh lagi kerusi mungkin berpeluang ditembusi sekiranya PH diterajui seorang nahkoda berpengalaman seperti Anwar.
Mengikut kajian ke atas kemajuan prestasi kerusi Parlimen yang dimenangi PH di Semananjung, Perak berada di tempat kurang menceriakan. Sepanjang 2008 hingga 2018, Johor memecut daripada satu kepada 18 kerusi, Negeri Sembilan bertambah daripada lima kepada tujuh kerusi, Melaka maju daripada satu kepada empat kerusi, tetapi pencapaian PH di Perak hanya melonjak daripada 11 kepada 13 kerusi.
Daripada 24 kerusi yang ditandingi oleh PH di Perak, mereka sesungguhnya berpeluang menang di semua kerusi kecuali di Gerik, Lenggong, Larut dan Parit. DAP didapati menggenggam ketat tujuh kerusi yang menjadi tumpuan pengundi Cina. PKR juga dikatakan agak teguh di Gopeng.
Namun di Parit Buntar, Sungai Siput, Lumut, Tanjung Malim dan Tambun, PH sebetulnya hidup atas bantuan pemecahan undi Melayu dengan adanya penyertaan Pas. Penyertaan Anwar diharapkan dapat mengukuhkan penghasilan undi Melayu untuk PH. Tambahan lagi dengan kehadiran Anwar, momentum menang PH di tujuh kerusi lain di Kuala Kangsar, Padang Rengas, Bagan Serai, Bukit Gantang, Tapah, Pasir Salak dan Bagan mungkin bertambah baik.
Kalau PH sanggup meraih beberapa kerusi Parlimen lagi, maka peluang mereka menakluk semula Putrajaya lebih cerah. Sememangnya, DAP Perak telah melahirkan hasrat supaya Anwar dapat membantu ketiga-tiga parti komponen PH memenangi 35 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
MENDERHAKA
Dalam tiga PRU lepas antara 2008 hingga 2018, PH lazimnya hanya menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri. Oleh demikian, kerap kali ketika dua atau tiga orang rakan seperjuangan ‘menderhaka’ dan melompat, maka kerajaan negeri pimpinan PH terus tumbang.
Pencalonan Anwar di Tambun adalah mustahak bagi PH. PKR merupakan komponen parti terlemah prestasinya di Perak. Pada PRU14, sejumlah 14 kerusi dipertandingkan dan hanya empat dimenangi. Namun, jumlah undi diperoleh enam daripada 10 kerusi yang tewas itu tidak jauh di belakang lawan mereka.
Ketika Pakatan Rakyat (PR) dan PH berkuasa dahulu, kuasa pemerintahan negeri sering digulingkan di pertengahan penggal pemerintahan. Oleh itu, sekiranya kemenangan melebihi 30 daripada jumlah kerusi DUN, risiko PH tumbang separuh pemerintahan dapat dikurangkan sama sekali. Kedatangan Anwar diharapkan akan mempertingkatkan semangat perjuangan dan merangsangkan PKR untuk memenangi lebih banyak kerusi.
Sudah tentu cabaran agak besar bagi Anwar sendiri dan juga PH pada PRU15. Kali ini, kerusi Parlimen Tambun didatangi 40,000 pengundi baharu. Gerakan dan pilihan para pengundi muda merupakan faktor penentu kepada kejayaan atau kegagalan Anwar.
Tidak diragui, memang akan muncul satu pertarungan banyak penjuru di kerusi Tambun. BN (Barisan Nasional), Perikatan Nasional (PN) dan PH akan bertanding di sini.
Tambun menjadi kerusi panas tumpuan perhatian seluruh negara.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijangka mempertahankan kerusi Tambun diramal berpeluang tipis untuk mengekalkannya dalam PRU15. Perlawanan dalam kalangan BN, PN dan PH sudah tentu sangat hangat.
Keberanian dan keazaman Anwar keluar dari zon selesa kali ini dilihat sebagai pertarungan beliau untuk mencari kejayaan baharu bagi dirinya dan juga PH. Sesungguhnya, tindakan itu diramal akan mencetuskan gelombang besar untuk PRU15. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah lulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sejarah dari Universiti Xiamen (XMU), China.











