Tiada keistimewaan untuk pengampunan

Tiada keistimewaan untuk pengampunan

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang pada 5 September lalu bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak pada hari kemudian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI kebanyakan negara yang mengamalkan pengampunan sebagai sebahagian penting daripada sistem undang-undang mereka, selalunya kuasa pengampunan terletak pada ketua negara. Umpamanya di Amerika Syarikat, presidennya mempunyai kuasa dan di United Kingdom, ratu atau rajanya mempunyai kuasa tersebut.

Mengikut sejarah, konsep pengampunan di Barat pada mulanya terdapat di bawah undang-undang Perancis yang diceduk daripada bahasa Latin, perdonare yang membawa makna kebebasan, iaitu hadiah atau anugerah diberikan oleh pemerintah. Konsep ini dikaitkan dengan hak ketua negara untuk memberikan pengampunan.

Bagaimanapun, pada kurun ke-18, hak pemerintah memberikan pengampunan kepada individu telah dikritik kerana ada pandangan mengatakan hak pengampunan ini sudah mencampuri doktrin pemisahan kuasa lantas menafikan kuasa autonomi badan legislatif dan kehakiman. Pengasas doktrin pemisahan kuasa terkenal, Montesquieu, tidak menghalang ketua negara menggunakan kuasa pengampunan ini.

Kini, konsep pengampunan mempunyai tiga fungsi utama. Pertama, menjadi remedi sekiranya berlaku pelanggaran keadilan. Kedua, membuang stigma sabitan kesalahan dan ketiga, menjadi mitigasi terhadap satu penalti.

PERSPEKTIF ISLAM

Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang pada 5 September lalu menggariskan prinsip keadilan dan pengampunan menurut perspektif Islam berpandukan al-Quran dan hadis.

Tepat sekali bila Seri Paduka memetik surah an-Nisa’ ayat 35 sebagai satu panduan amat berguna kepada pemimpin negara. Menerusi ayat tersebut, keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa.

Ia meletakkan prinsip-prinsip asas keadilan yang mesti dilaksanakan oleh mereka yang diberikan amanah untuk melaksanakan keadilan dan yang berkuasa memberikan pengampunan kepada orang-orang didapati bersalah oleh mahkamah dan dalam menjalani hukuman.

Prinsip-prinsip keadilan dan pengampunan diperjelaskan dalam titah Seri Paduka adalah berkait rapat dengan sistem keadilan dan pengampunan yang diamalkan serta dilaksanakan serta merupakan asas penting dalam sistem demokrasi negara ini.

Sebagai Ketua Negara, titah kepada al-Quran dan hadis jelas menunjukkan komitmen tinggi serta tidak berbelah bahagi peranan dan tanggungjawab menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan serta ketinggian undang-undang di negara ini.

TIADA KEISTIMEWAAN

Keadilan Islam jelas membuktikan tidak wujud keistimewaan kepada mereka yang telah melanggar undang-undang negara, terutama sekali yang diberikan tanggungjawab dan amanah di bawah undang-undang negara.

Petikan daripada hadis Rasulullah juga digunakan oleh Seri Paduka sebagai satu huraian prinsip undang-undang berkaitan tiada keistimewaan dalam keadilan Islam kerana dalam keadilan itu hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman, dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja. Jelas sekali keadilan yang tidak memilih kasih itu telah menjulang martabat Islam pada zaman Rasulullah.

KETELUSAN & KETERBUKAAN

Seri Paduka juga menekankan kepada prinsip keadilan yang telus dan terbuka yang boleh membangunkan sebuah masyarakat adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip ketelusan yang diamalkan dalam sistem keadilan amat penting sebagai jaminan kepercayaan rakyat kepada sistem tadbir urus kerajaan. Sekiranya tiada ketelusan maka ini adalah indikator kepada kebarangkalian yang tinggi pencerobohan kepada sistem keadilan negara.

Seri Paduka bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak pada hari kemudian.

Sistem keadilan yang telus akan menunjukkan kuasa menghukum dan memberi pengampunan dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip keadilan yang terdapat di bawah undang-undang bertulis, tidak bertulis ataupun melakui amalan-amalan yang diterima sebagai adat sama ada sistem undang-undang sivil mahupun syariah.

PRINSIP KONSISTENSI

Seri Paduka memberikan ingatan tentang implikasi tidak melaksanakan undang-undang secara tidak konsisten kerana jika tidak dilaksanakan, nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda. Akibatnya, yang lemah akan menjadi mangsa kepada yang memiliki kuasa.

Maka, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan. Common law umpamanya memakai amalan precedent yang memberikan penekanan kepada konsistensi pelaksanaan sesuatu undang-undang. Sementara undang-undang syariah Islam pula melihat kepada pemakaian sumber penting al-Quran dan hadis sebagai indikator yang konsisten dari segi pelaksanaan hukum syariah.

ROH KEADILAN

Seri Paduka juga memberi satu peringatan lagi, iaitu keadilan tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang telah diberikan amanah untuk mentadbir keadilan. Ini bermakna hakim-hakim yang mengurus, mengendali serta membuat penghakiman sesuatu kes mestilah mengamalkan semangat keadilan yang sebenar kerana mereka telah diberikan amanah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Keadilan dan pengampunan adalah dua elemen tidak boleh dipisahkan oleh setiap ketua negara yang diberikan kuasa membuat pengampunan kerana alasan serta justifikasi memberikan pengampunan itu berpunca daripada pelaksanaan keadilan diputuskan atau penghakiman dibuat oleh hakim.

Oleh demikian, apabila sesuatu pengampunan hendak dibuat, ketua negara hendaklah memakai prinsip-prinsip ketelusan, konsistensi serta tiada keistimewaan untuk mendapatkan keadilan yang sebenar-benarnya supaya tidak ada ungkitan pada hari kemudian kelak.

Bila ingatan ini dititahkan sendiri oleh Seri Paduka sebagai Ketua Negara, maka memberi petunjuk amat jelas bahawa keadilan yang sebenar-benarnya akan terzahir di negara ini. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Yusramizza Md. Isa @ Yusuff ialah Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antrabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×