Terdesak dicerai, ramai wanita gugurkan hak

Terdesak dicerai, ramai wanita gugurkan hak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berlaku perceraian, isteri berhak terhadap nafkah idah, mutaah, harta sepencarian dan menuntut hutang tertunggak daripada bekas suami. Begitu juga apabila dikurniakan anak, mereka turut berhak menuntut hak jagaan (hadanah) dan nafkah anak. Selain isteri, suami juga berhak memperoleh hak lawatan atau mendapatkan kembali harta yang diberikan secara hutang kepada isterinya.

Bagi memfasilitasikan proses untuk mendapatkan hak masing-masing, Islam menyediakan panduan agar perbincangan dilakukan secara baik bagi mengelak persengketaan. Hasil perbincangan mengandungi terma-terma tertentu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak kemudiannya didokumentasikan sebagai perjanjian persetujuan.

Perjanjian persetujuan boleh sama ada mengandungi hak-hak yang dituntut atau digugurkan oleh mana-mana pihak. Dalam bahasa mudah, perjanjian persetujuan boleh mengandungi aku janji daripada pasangan untuk memenuhi tuntutan salah satu pihak atau melepaskan hak-hak tertentu selepas perceraian.

Hasil perbincangan yang dipersetujui hendaklah diendorskan di mahkamah syariah dan kedua-dua pihak berkewajipan untuk mematuhinya. Sebarang ketidakpatuhan merupakan penghinaan terhadap mahkamah dan mana-mana pihak yang terkilan boleh memfailkan penguatkuasaan serta pelaksanaan perintah sama ada dengan memfailkan tuntutan saman penghutang penghakiman, hiwalah, sita jual sehinggalah ke penjara.

Walaupun hak-hak tersebut dinyatakan secara eksplisit dalam al-Quran, hadis dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia, realitinya terdapat isteri yang sanggup menggugurkan hak-hak selepas perceraian di mahkamah syariah sebagai imbalan perceraian.

Menurut kajian yang saya lakukan terhadap 669 kes terdiri daripada 446 kes talak dan 223 kes taklik di Selangor sepanjang 2015 hingga 2019, hanya 16 kes atau bersamaan empat peratus mencapai perjanjian persetujuan. Kadar empat peratus ini diperoleh selepas menolak 250 kes yang dibuang/ditolak, dibatalkan atau ditarik balik. Bakinya iaitu sebanyak 403 kes atau bersamaan 96 peratus lagi tidak merekodkan sebarang perjanjian berhubung hak-hak selepas perceraian.

TAKLIK

Daripada 16 pasangan yang mencapai persetujuan tersebut, terdapat 11 terma bagi menuntut hak manakala 23 terma lagi merekodkan hak-hak digugurkan oleh pasangan bercerai secara talak atau taklik. 11 hak yang disepakati dan diendorskan dalam persetujuan berkenaan terdiri daripada nafkah anak (3 kes), nafkah isteri dan mutaah (masing-masing 2 kes), manakala satu kes masing-masing melibatkan nafkah isteri, hadanah, hak lawatan dan harta sepencarian.

Daripada 23 terma yang digugurkan pula, terdapat masing-masing lapan kes menggugurkan hak terhadap nafkah idah dan mutaah, dua kes menggugurkan hak terhadap harta sepencarian, satu kes menggugurkan hak terhadap hutang perkahwinan manakala empat kes lagi menggugurkan hak-hak lain seperti nafkah anak, hadanah dan nafkah tertunggak.

Berdasarkan kepada statistik tersebut, dapat disimpulkan inisiatif pasangan untuk mewujudkan perjanjian persetujuan ketika prosiding perceraian amat rendah dibandingkan 669 kes yang dikaji. Begitu juga sungguhpun terdapat 78 daripada keseluruhan kes dikaji tersebut merupakan perceraian berdasarkan persetujuan bersama dan dijangkakan perceraian secara harmoni, namun kaedah perceraian tersebut bukanlah jaminan terhadap kewujudan perjanjian persetujuan bagi hak-hak selepas perceraian.

Malah apa yang menggusarkan lagi apabila didapati bilangan hak yang digugurkan oleh pasangan tersebut adalah lebih tinggi iaitu 23 terma berbanding hanya 11 terma bagi mendapatkan hak.

Justeru, terdapat persoalan sama ada pihak yang menggugurkan hak tersebut boleh memohon kembali haknya di mahkamah apabila perjanjian persetujuan tersebut diperoleh dalam keadaan mendesak?

Menjawab persoalan tersebut, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam kes Rahima lwn. Abu Hanifah (2005) 18 JH Bhg. I 171 memutuskan persetujuan pihak perayu untuk menggugurkan haknya sebelum perceraian terhadap nafkah idah, mutaah dan nafkah anak adalah tidak sah dari segi hukum syarak kerana belum menjadi hak perayu pada ketika itu.

SULH

Namun, seseorang isteri boleh untuk melepaskan hak terhadap harta sepencarian kerana hak tersebut telah dimilikinya walaupun sebelum perceraian. Keputusan bagi kes ini selari dengan Arahan Amalan No. 15 Tahun 2005.

Seterusnya, Arahan Amalan No. 4 Tahun 2011 memperuntukkan perjanjian persetujuan sulh yang menepati hukum syarak dan dijadikan perintah mahkamah tidak boleh ditarik balik atau dirayu oleh mana-mana pihak. Walaupun tidak boleh dirayu dan ditarik balik, perjanjian persetujuan tersebut boleh diubah sepertimana keputusan kes Babji lwn. Zainab (2010) 29 JH Bhg. 2 191. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyatakan bahawa maksud ‘tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu’ ialah sesuatu empat kes itu bukan sahaja tidak boleh ditarik balik dan dirayu, malah bermaksud tidak boleh dilakukan sebarang pindaan tanpa persetujuan pihak yang lagi satu dan tidak boleh diubah perintah tersebut tanpa mencapai persetujuan bersama daripada pihak-pihak terlibat.

Bagaimanapun, terdapat tiga pengecualian yang membolehkan sesuatu persetujuan dipinda iaitu apabila berlaku sesuatu salah penyataan, terdapat kesilapan fakta ataupun berlaku perubahan matan seperti mana penghakiman dalam kes Safura lwn. Azhar [2004] CLJ (Sya) 574 dan Wan Mohd. Kamil lwn. Rosliza @ Mazwani (2007) JH XXI (I) 135.

Sehubungan itu, adalah dinasihatkan agar pasangan bertikai mendapatkan perkhidmatan pihak ketiga yang memahami selok-belok perundangan syariah seperti peguam syarii, hakam bertauliah mahupun pegawai sulh sebagai orang tengah ketika mengadakan perbincangan mengenai hak masing-masing. Usahlah mengambil jalan pintas dengan merugikan diri sendiri dan anak-anak hanya kerana geram dan meluat terhadap pasangan. – UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×