BILA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan menjadi teka teki, ramalan dan spekulasi pelbagai pihak khususnya dalam kalangan ahli politik. Beberapa pemimpin UMNO mengharapkan ia dapat diadakan pada awal Oktober ini sebelum musim tengkujuh yang diramalkan bermula November.
Jika diadakan pada Oktober, banyak perkara mesti disegerakan terutama pembentangan Bajet 2023. Sehari dua selepas bajet, mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mengumumkan pembubaran Parlimen. Namun, banyak perkara harus diberi perhatian oleh beliau sebelum berbuat demikian.
Memandangkan September menghampiri ke penghujungnya, maka sudah tentu ia menuntut pula tindakan segera Perdana Menteri untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan cadangan pembubaran Parlimen. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula mestilah sudah cukup bersedia untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna. Justeru, mengambil kira semua persoalan itu, maka ada yang meramalkan kemungkinan PRU15 diadakan pada tahun depan adalah lebih sesuai.
Tahun depan dianggap sebagai sudah lengkap lima tahun penggal pentadbiran. Namun, bagi orang politik yang punya kuasa dalam mengatur perjalanan ‘plot’ politik ini, tidaklah sukar bagi mereka selagi mana mempunyai keyakinan yang kuat dalam melaksanakannya.
Kuncinya sekarang di tangan Perdana Menteri. Ismail Sabri diharapkan oleh kebanyakan pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) akan bersedia membubarkan Parlimen pada Oktober nanti. Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
BANJIR
Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap PRU15 diadakan tahun ini juga. Kenyataan beliau sebelum ini bahawa UMNO/BN sedia untuk meredah banjir jika pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk netizen. Bagaimanapun, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa ‘meredah banjir’ hanyalah satu metafora. Metafora adalah istilah dalam dunia kesusastraan yang merupakan satu bentuk kiasan atau analogi melambangkan sesuatu bagi sesuatu yang lain. Ia melambangkan sifat, keadaan atau rupa watak manusia mengenai sesuatu perkara. Justeru, menurut Ahmad Zahid, apa yang beliau maksudkan UMNO/BN bersedia untuk meredah banjir adalah satu kiasan bahawa UMNO/BN bersedia berdepan PRU15 biarpun menghadapi tentangan hebat daripada lawannya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga mengharapkan PRU15 diadakan dalam masa terdekat. Demikian juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut mengharapkan pilihan raya dapat diadakan sebelum musim tengkujuh nanti. Desakan pemimpin-pemimpin UMNO ini seolah-olah menggambarkan UMNO/BN sudah cukup bersedia untuk berdepan PRU15.
Saya percaya kemungkinan besar PRU15 akan diadakan sebelum musim tengkujuh nanti. Juteru, pembentangan Bajet 2023 kemungkinan besar akan disegerakan dan dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri sendiri. Ini akan memberikan kelebihan besar kepada UMNO/BN kerana Ismail Sabri adalah dari UMNO yang sudah tentu akan memastikan bajet itu dapat menarik sokongan rakyat kepada UMNO/BN. Kuasa yang dimilikinya harus digunakan sebaik mungkin supaya ia memberikan sesuatu yang bermakna buat UMNO/BN.
Seorang pakar motivasi, Kirk Weiser yang menggelarkan dirinya sebagai chief morale officer pernah berkata, jika anda miliki kuasa pada hari ini, maka gunakan kuasa itu untuk laksanakan apa yang ingin dilakukan tanpa ragu-ragu.
INFLASI
Ismail sudah pasti mahukan rakyat menikmati segala inisiatif yang akan dikemukakan dalam bajet akan datang. Ia dijangka sebagai belanjawan yang mengutamakan rakyat (semua lapisan rakyat). Untuk mengelak berlakunya perbahasan bajet yang berpanjangan, maka bajet dibentangkan itu boleh dibuat tanpa perlu melalui proses perbahasan dan Perdana Menteri boleh terus mengumumkan pembubaran Parlimen selepas pembentangan tersebut. Ini pernah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1999.
Memang rakyat sedang berdepan pelbagai isu seperti kenaikan harga barangan dan inflasi yang semakin meningkat serta kejatuhan nilai ringgit.
Namun, jentera UMNO/BN sudah siap untuk memperjelaskan isu-isu berbangkit, sementalahan pula kerajaan pimpinan Ismail Sabri telah mengambil pelbagai langkah efektif dan praktikal bagi membantu rakyat.
Saya juga yakin Bajet 2023 akan menawarkan pelbagai insentif kepada pelbagai lapisan rakyat selain melaksanakan pelbagai langkah mengatasi isu-isu ekonomi yang dihadapi negara hari ini sama ada langkah-langkah secara mikro ataupun makro. Yang penting ialah apa yang mahu dilakukan UMNO/BN perlu ada objektif dan strategi yang jelas dan tepat seperti kata William E.Rothschild, “Apa yang ingin anda capai itulah objektif dan bagaimana anda bertindak itulah strategi.”
Dalam masa sama, apa jua isu kepemimpinan yang berbangkit dalam UMNO/BN harus diselesaikan dengan bijaksana, bukannya mengikut kehendak emosi kerana membiarkan kemarahan menguasai diri akan menutup pemikiran daripada membuat keputusan yang tepat dan ia akan merugikan UMNO/BN. Justeru, isyarat yang diberikan oleh Ahmad Zahid bahawa Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika UMNO/BN menang PRU15 memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa tidak timbul isu siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti sekiranya UMNO/BN menang. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










