PRU15: Ismail Sabri lebih berpengalaman, bijaksana

PRU15: Ismail Sabri lebih berpengalaman, bijaksana

SEJAK menang dan menubuhkan kerajaan BN/UMNO di Johor dan Melaka, UMNO melihat sokongan kepada parti tersebut sudah mula berpatah kembali. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal tiba pada bila-bila masa. Ramai sudah mejangkakan Parlimen dibubarkan selepas Bajet 2023 dibentangkan pada awal Oktober ini. Tekanan kuat untuk membubarkan Parlimen datang daripada UMNO khususnya Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa faktor mendorong tekanan ini. Pertama, ramai sudah menyatakan ia dituntut kerana ramai pemimpin parti sedang berhadapan beberapa kes yang sudah dan sedang dibicarakan di mahkamah. Kedua, sejak menang dan menubuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN)/UMNO di Johor dan Melaka, UMNO melihat bahawa sokongan kepada parti tersebut sudah mula berpatah kembali.

Justeru, mengadakan pilihan raya awal akan mengembalikan kerajaan kepada pangkuan BN/UMNO dan itu diharapkan dapat membantu beberapa kes melibatkan beberapa orang kuat UMNO yang berhadapan beberapa pendakwaan di mahkamah atas pelbagai tuduhan.

Parti dan pihak lain agak berkecuali ke atas desakan ini. Ramai memilih untuk berdiam diri. Bagi yang turut bersuara, ramai mengatakan mengadakan PRU pada hujung tahun tidak wajar kerana cuaca buruk yang dijangka melanda negara boleh menjejaskan proses pengundian. Sebaliknya, mereka mengatakan elok awal tahun depan atau membiarkan tempoh Parlimen ke-14 tamat dengan sendirinya pada pertengahan 2023.

Di sebalik tuntutan dan desakan banyak pihak untuk mengadakan PRU secepat mungkin, seorang yang berkuasa memastikan ia boleh berlaku masih tidak komited kerana ‘belum menerima ilham’ untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan mengadakannya. Namun demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara diplomatik mengatakan beliau akan merujuk kepada kepimpinan ‘UMNO 5 Teratas’ sebelum memohon supaya Parlimen dibubarkan. Lima itu merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO, termasuk beliau sendiri.

‘Akan merujuk’ kepada UMNO 5 Teratas itu adalah jawapan politik paling sopan. Ia juga menunjukkan seorang Perdana Menteri yang berpengalaman dan ada kebijaksanaan. Ini kerana kuasa memohon membubarkan Parlimen duduk di tangan seorang Perdana Menteri. Beliau tidak perlu berjawab kepada ketua parti atas urusan berkaitan kerajaan. Dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid tahu itu.

TUMBANG

Bagaimanapun, Ahmad Zahid ada kuasa sebagai Presiden UMNO untuk mengarahkan ahli Parlimen UMNO untuk tarik sokongan kepada Ismail Sabri. Maka dengan itu, beliau memaksa Ismail Sabri untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta supaya Parlimen dibubarkan kerana kerajaan pimpinan beliau sudah tumbang. Tetapi beliau tidak berani dan bersedia untuk itu kerana sebab yang jelas. Beliau akan dijatuhkan sebagai Presiden kerana menjatuhkan kerajaan parti sendiri pimpinan Ismail Sabri yang juga merupakan pemimpin tertinggi UMNO. Beliau berada dalam dilema. Ada kuasa sebagai Presiden tetapi kuasa tidak dapat digunakan tanpa ada tindak balas yang mungkin akan makan tuan.

Justeru, apakah selepas membentangkan Bajet 2023, Ismail Sabri akan meminta supaya Parlimen ke-14 dibubarkan? Belum tentu. Apa faedah membubarkan Parlimen awal kepada Ismail Sabri? Apakah jaminan bahawa beliau akan menjadi poster boy atau calon Perdana Menteri sekiranya UMNO dan sekutunya menang majoriti sendiri selepas PRU15?

Belum tentu. Ini kerana Ismail Sabri adalah pemimpin nombor tiga dalam hieraki parti. Sebelum ini, belum pernah bukan presiden sebuah parti yang menang naik sebagai calon perdana menteri. Keadaan pada penghujung 2021 adalah unik dan Ismail Sabri berada di tempat dan waktu yang betul. Keadaan sama tidak dijangka berulang selepas PRU15.

PEMILIHAN

Semua maklum, sekiranya Ismail Sabri mahu peluang naik kembali sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 dan seandainya BN/UMNO menang majoriti mudah, maka beliau perlu naik sebagai Presiden UMNO sebelum PRU15 diadakan. Apakah peluang ini berlaku?

Pertama, kepimpinan UMNO sudah hilang legitimasi kerana pemilihan parti sudah lama ditangguhkan. UMNO perlu mengadakan pemilihan secepat mungkin untuk mengukuhkan dan menguatkan semula parti dan kepimpinannya sebelum masuk ke medan PRU15 dengan lebih yakin, bersatu dan dengan kepimpinan diperbaharui. Kedua, pemilihan parti adalah talian terus ke jawatan Perdana Menteri. Oleh itu, Ismai Sabri wajib menawarkan diri untuk menerajui UMNO demi mengukuhkan parti dengan kepimpinan yang diperbaharui. Sekali gus, ini akan merawat UMNO dari pelbagai kelemahan kerana pelbagai masalah yang sedang menimpa beberapa orang kuat dalam parti.

UMNO masih menjadi pilihan Melayu. Semuanya belum hilang lagi. Selepas PRU14, UMNO merupakan satu daripada tiga parti pilihan Melayu, selain PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Sama ada UMNO dapat mengembalikan peranannya sebagai parti utama Melayu di Semenanjung bergantung kepada ahli-ahlinya sendiri. Apakah mereka bersedia untuk melakukannya demi UMNO? Jawapan itu ada di tangan ahli UMNO. Mereka tahu jawapannya tetapi sama ada UMNO dapat dipulihkan bergantung kepada apa yang mereka sedia lakukan atau tidak lakukan. – UTUSAN

DATUK Dr. Jayum Anak Jawan ialah Profesor Sains Politik di Universiti Putra Malaysia (UPM) & Felow Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya