PADA 3 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan semangat perpaduan, patriotisme dan cintakan negara yang dipamerkan oleh rakyat pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu yang disifatkan baginda sebagai sangat membanggakan.
Seri Paduka turut menzahirkan harapan semoga semangat tersebut, yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum di negara ini, memperkukuhkan lagi keharmonian negara.
Perkara sama turut diluahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran Facebook beliau pada 31 Ogos lalu, yang mengucapkan alhamdulillah kerana sambutan sungguh meriah sekali di Dataran Merdeka apabila lebih 100,000 Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa hadir meraikannya.
“Saya berharap keamanan dan keharmonian yang kita nikmati sehingga kini terus dikekalkan dengan membawa semangat Keluarga Malaysia,” katanya.
Hantaran Perdana Menteri itu, telah menerima komen daripada warganet termasuk Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Tulis beliau: “Hari ini (31 Ogos) kehadiran memang jauh luar biasa…mohd bizam last merdeka sebelum 2018 (Tahun Gelap Malaysia) saya pergi beratur dan berarak sama, tapi kehadiran orang ramai tak macam ini… kagum sangat dengan semangat Keluarga Malaysia.”
Melihat rakyat berbilang kaum menghadiri sambutan itu, saya teringat ungkapan tokoh antiaparteid dari Afrika Selatan, Mendiang Nelson Mandela yang telah dibebaskan dari penjara pada 1990: “Tiada seseorang pun yang dilahirkan untuk membenci orang lain kerana warna kulit, latar belakang atau agamanya.
“Setiap orang mesti belajar untuk membenci dan jika mereka boleh belajar untuk membenci, mereka juga boleh diajar untuk mencintai, kerana cinta datang secara semula jadi ke dalam hati manusia berbanding sifat benci.”
Sebenarnya kita sudah lama diajar untuk mencintai antara satu sama lain sejak tertubuhnya Kementerian Perpaduan Negara pada tahun 1972 lagi.
Pada 1974 tanggungjawab memperkasa perpaduan berada di bawah Lembaga Perpaduan Negara di Jabatan Perdana Menteri. Pada 10 Mac 2020 ditubuhkan semula sebagai Kementerian Perpaduan Negara.
Hakikat yang kita lihat di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu adalah kejayaan memupuk semangat perpaduan hasil daripada visi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sejak sekian lama untuk mempertingkat dan memperkukuh kesepaduan sosial masyarakat Malaysia melalui usaha penyatupaduan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara secara inklusif.
Sepanjang 2022, bermula Januari hingga Ogos lalu, lebih 300,000 program perpaduan telah dijalankan di seluruh negara manakala lebih 140 program bulan kemerdekaan dilaksanakan sepanjang Ogos/September.
Itu baru jabatan di Kementerian Perpaduan Negara yang melibatkan seluruh jentera perpaduan yang terdiri daripada rakyat jelata.
Belum lagi kementerian lain yang turut menyumbang dan menjadikan perpaduan sebagai agenda untuk diperkasakan dalam setiap program. Ini termasuk program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di seluruh negara.
Penubuhan JPNIN jika dilihat dibuat beberapa bulan selepas tragedi 13 Mei 1969 yang menyebabkan 196 maut. Azam untuk mengelak tragedi itu berulang menjadi teras atau ‘asid deoksiribonukleik (DNA)’ kepada jabatan itu dan pihak-pihak lain yang menggerakkan program perpaduan di negara ini.
RUSUHAN
Rusuhan berlaku kerana ahli-ahli politik mengadakan perhimpunan haram dan perarakan ke Jalan Campbell dan Jalan Raja Abdullah menuju ke Kampung Baharu, Kuala Lumpur.
Ahli politik bergaduh sesama mereka untuk mendapat kuasa dengan menimbulkan isu-isu perkauman sedangkan rakyat dan kakitangan kerajaan tidak sedemikian.
Buktinya, rusuhan itu berjaya diredakan dalam tempoh singkat iaitu tiga hari oleh polis dengan bantuan Rejimen Askar Melayu Diraja.
Semua itu bukan sahaja disebabkan kecekapan anggota keselamatan kita tetapi lebih penting ialah cara tindakan mereka yang adil dan saksama terhadap semua kaum. Sebenarnya, orang politik sahaja bergaduh, tetapi rakyat tidak.
Pengiktirafan terhadap kejayaan kita memupuk perpaduan diakui oleh Mandela yang kemudiannya menjadi Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan pada 1994.
Saya ketika menemu bual pengasas Universiti Limkokwing, Mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing pada 2013 telah diberitahu kisah beliau mereka bentuk poster kempen parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memaparkan Mandela tersenyum bersama kanak-kanak pelbagai kaum yang ditolak kebanyakan pimpinan parti itu.
“Saya masih ingat kata-kata Mandela ketika itu iaitu lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama. Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama,” katanya.
Oleh itu, semua pihak harus memberi sokongan kepada JPNIN untuk terus menyemai semangat perpaduan di negara ini dengan menolak tindak-tanduk mana-mana pihak yang memperalatkan politik dan agama untuk menjejaskan keharmonian.
Ia sama seperti nasihat warganet, Amzari Ismail yang membuat komen terhadap hantaran Perdana Menteri itu dengan menulis: “Indahnya Dataran Merdeka dengan perayaan hari kemerdekaan. Jangan benarkan lagi Dataran Merdeka diguna untuk himpunan haram.”
Mengulas lanjut, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam hantaran Facebooknya menulis, keharmonian Keluarga Malaysia dan manifestasi tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang ditunjukkan ketika sambutan Hari Kebangsaan 2022 cukup bermakna.
Beliau juga menulis mengenai nyanyian lagu Negaraku ketika sambutan itu yang sebenarnya sangat penting. “Meskipun kadangkala kita berkomunikasi dalam bahasa ibunda masing-masing, namun kita tetap menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa yang sama. Kita semua anak Malaysia. Cari persamaan, raikan perbezaan, eratkan perpaduan, pelihara kemerdekaan!” ujarnya.
Menyentuh Majlis Sambutan Ambang Merdeka yang diadakan di seluruh negara yang turut diserikan persembahan muzik dan nyanyian beliau menulis: “Lagu dan muzik adalah satu lagi saluran artistik yang boleh membentuk penyatuan antara kita semua.”
Oleh itu, semua lebih 32 juta Keluarga Malaysia, jangan runtuhkan perpaduan yang telah kita bina. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











