Negara setelah dirungkai semula Perjanjian Malaysia - Utusan Malaysia

Negara setelah dirungkai semula Perjanjian Malaysia

HARI Sarawak pada 22 Julai yang diisytiharkan sebagai cuti umum di negeri itu turut diambil peluang oleh penduduknya untuk bersantai di tempat pelancongan. - GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMAT malang sambutan Hari Kebangsaan sebagai tarikh memperingati kejayaan kita terlepas daripada belenggu penjajah untuk memerintah sendiri, dipertikai pihak tertentu di dalam negara sendiri, sebagai tidak tepat untuknya.

Pertikaian ini boleh dikatakan serius juga sehingga ada suara yang mencadangkan agar Sarawak tidak patut bercuti sekali lagi pada 31 Ogos bersama-sama dengan yang lain, setelah bercuti sendiri pada 22 Julai.

Ia bukan sahaja tidak menyahut semangat kebersamaan dalam kesatuan Persekutuan, ia juga sebenarnya tidak menghargai nilai kesyukuran yang diangkat oleh peranti negara, Keluarga Malaysia, sebagai kesediaan untuk memperlihat apresiasi kebebasan secara bersama.

Dengan ikut memasukkan Sarawak dalam sambutan peringkat negara bersekali dengan Tanah Melayu dan Sabah, ia sebenarnya paparan nilai keterangkuman, iaitu satu lagi nilai penting pada Keluarga Malaysia.

Oleh itu, ia sepatutnya difahami bukan sahaja kerana begitu jelas, juga berniat baik. Sebaliknya ia cuba dipolitikkan sesetengah pihak, sudah tentu oleh ahli politik yang memang sifatnya begitu, juga amat menyedihkan apabila ikut dimainkan oleh ahli akademik.

Nilai keterangkuman itu antaranya dihujahkan mereka ini sebagai amalan memberi akses yang sama dari segenap sisi seperti yang dijanjikan, yang rata-ratanya tidak berlaku dengan adilnya pada sepanjang penubuhan Persekutuan Malaysia.

Pun begitu, ia mula kelihatan dengan lebih jitu kebelakangan ini setelah dirungkai semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu oleh pemerintahan semasa dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Persoalannya di sini ialah mengapa ia tidak terungkai sebegitu sebelum ini. Dalam pada itu, tuduhan terhadap kejelikan Kerajaan Pusat sahaja dalam isu ini adalah tidak tepat. Ini kerana untuk bertepuk, dua belah tangan diperlukan.

Dengan ini, pemimpin tempatan di wilayah terbabit juga hendaklah dipersalah kerana telah berkompromi sehingga menyebabkan pelaksanaan tuntutan wilayah itu tidak dapat dilangsaikan langsung mahupun sebahagiannya.

Untuk terus maju, Kerajaan Pusat tidak boleh lagi terus-terusan dicabar kekuasaan federalismenya oleh mana-mana wilayah atau negeri di dalamnya.

Dalam hal ini, dengan berlapang dada kedua-dua Kerajaan Pusat serta wilayah dan negeri hendaklah menangani apa-apa jua kekurangan yang sesetengahnya harus diakui amat rumit selain menyedihkan sekali.

Misalnya, kaya dengan sumber tertentu tetapi corot kedudukan ekonominya. Dengan ini, ia tidak boleh sesekali bersifat provokasi, apatah lagi yang mencabar sehingga ke mahkamah daripada kerajaan wilayah dan negeri kepada Kerajaan Pusat.

INTEGRASI

Dengan ini, apa-apa yang berlaku sebelum ini dalam konteks melangsaikan Perkara 20 untuk Sabah serta 18 bagi Sarawak dalam MA63 dan untuk negeri yang masih tertunggak langsaiannya oleh Kerajaan Pusat, ia hendaklah tidak lagi dipersalah sepenuhnya kepadanya.

Dalam hal ini, perwatakan pemimpin wilayah dan negeri yang lemah, malah yang pengecut sifatnya, selain yang telah berjaya dikompromikan, adalah sama kadar salahnya dengan kuasa kuat ala kuku besi yang ada dalam tempoh tertentu pada kepimpinan di Pusat pentadbiran negara.

Sesungguhnya integrasi nasional, yakni hubungan baik antara kerajaan wilayah dan negeri dengan Kerajaan Pusat bukan sahaja penting, tetapi amat diperlukan untuk kemajuan wilayah dan negeri secara khasnya dan amnya untuk Persekutuan Malaysia.

Sebenarnya hanya mulai 2009 ehwal wilayah Sabah dan Sarawak diberikan perhatian lebih cakna oleh Kerajaan Pusat, dengan bermulanya pengisytiharan Hari Malaysia pada 16 September sebagai cuti umum negara untuk kali pertamanya pada 2010.

Rentetan ini, tempoh seterusnya memang mencacatkan peningkatan perhatian Kerajaan Pusat terhadap dua wilayah ini jika dibandingkan dengan yang sebelumnya. Dengan ini, sifat Malaysia, iaitu ciri dan kualiti negara dan rakyat Malaysia, penting diberi naratif baharu berdasar narasi (penceritaan) yang juga baharu.

Sehubungan ini, kita perlu berhenti daripada terus berbicara bahawa wilayah tertentu dipinggirkan dalam pembangunan negara kerana kejelikan satu pihak sahaja, antaranya sebagai penjajah baharu, sedangkan pada hakikatnya ia kejelikan dua pihak.

Sehubungan ini, antara proses bicara baharu kita adalah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia, dan bukannya Sabah dan Sarawak memasuki Malaysia.

Dengan ini, ceritera baharu kita hendaklah bersifat Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah sama kedudukannya dalam binaan negara tercinta ini. Seperkara lain, nama Tanah Melayu hendaklah digunakan dan bukan Malaya yang sudah pun menjadi kata tabu setelah digunakan secara negatif oleh sesetengah pihak di wilayah tertentu.

Begitu juga nama Malaysia itu hendaklah tidak sahaja merujuk kepada hanya Tanah Melayu sehingga Sabah dan Sarawak seolah-olah bukan pun Malaysia.

Natijahnya di sini ialah dengan rungkaian semula MA63, narasi dan naratif kita sebagai rakyat hendak lebih banyak yang bersifat perkara yang boleh menyatupadukan dan bukan memecahbelahkan kita.

Bagi Kerajaan Pusat pula, ia hendaklah berupa tindakan dan bukan lagi jaminan terhadap perkongsian pendapatan yang saksama untuk sumber alam dari wilayah dan negeri. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×