TATKALA rakyat menunggu penuh debaran untuk menyambut Hari Malaysia pada 16 September lalu, seorang anak pertiwi, Tun Dr. S. Samy Vellu menghembuskan nafas terakhirnya sehari sebelum.
Generasi muda Malaysia pascakemerdekaan perlu tahu bahawa kelahiran Gagasan Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan Samy Vellu.
Apabila Presiden Indonesia, Soekarno melancarkan konfrontasi menentang penubuhan Gagasan Malaysia pada 1963, malah mengisytiharkan slogan Ganyang Malaysia, ramai rakyatnya memprotes dan merosakkan pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta. Bahkan menganjurkan protes di jalanan di Jakarta dan Medan serta membakar bendera Malaysia yang merupakan identiti dan simbol kebanggaan serta kedaulatan negara.
Ketika itu, rakyat Malaysia yang masih berada dalam kekejutan terhadap tindakan Soekarno dan pengikut setianya, Samy Vellu menyertai sebuah kumpulan anak muda dan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan biadab berkenaan di hadapan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Beliau memberanikan diri dan menurunkan bendera Indonesia. Tindakan berani Samy Vellu jelas membuktikan beliau memiliki semangat patriotik tinggi dan taat setia tidak berbelah bahagi pada negara. Gambar beliau terpampang dalam akhbar-akhbar tempatan keesokan harinya. Utusan Malaysia menamakan beliau sebagai Hero Malaysia.
Samy Vellu ialah Presiden MIC ketujuh bermula 1981 sehingga 2010. Beliau dilahirkan pada 8 Mac 1936 di Estet Renggo Malay, Kluang, Johor dan mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah rendah Tamil. Beliau tidak mampu melanjutkan pelajarannya ke peringkat sekolah menengah kerana ibu bapanya berpendapatan rendah dan terpaksa berpindah-randah untuk mencari sesuap nasi.
Namun, Samy Vellu yang bercita-cita menjadi seorang tokoh politik sejak muda telah berpindah ke Kuala Lumpur dan mula bekerja sebagai seorang pelayan pejabat dengan firma arkitek terkenal, Vethavanam. Di situ, beliau tekun mempelajari asas-asas bidang arkitek sehingga berjaya menjadi seorang arkitek bertauliah.
Samy Vellu mula terlibat dalam politik seawal umur 23 tahun dengan menyertai MIC Cawangan Batu Caves pada 1959. Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Selangor. Beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC pada 1971, Naib Presiden MIC (1975) dan Timbalan Presiden MIC (1977).
Mulai 1974, Samy Vellu menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput. Beliau berjaya memenangi kerusi itu bagi lapan penggal tetapi gagal mempertahankannya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), 2008.
Dari 1978 dan 1979, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala dari 1979 sehingga 1989 sebagai Menteri Kerja Raya. Beliau menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos (1989-1995) dan kemudian kembali memegang portfolio Menteri Kerja Raya (1995-2008).
Peranannya selaku Menteri Kerja Raya amat signifikan kerana bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau berjaya mengubah landskap Malaysia daripada serba kekurangan dalam infrastruktur kepada sebuah negara dengan pelbagai kemudahan jalan raya serba moden, canggih dan selesa serta menjadi contoh kepada dunia.
BERPUAK-PUAK
Samy Vellu mengambil alih kepemimpinan MIC semasa parti itu terjerumus dalam kancah berpuak-puak. Satu pihak menyokong Samy Vellu dan satu lagi, Tan Sri S. Subramaniam (mendiang). Pemilihan pucuk pimpinan parti juga sering kali diwarnai kekecohan dan pelbagai peristiwa mencabar. Namun, Samy Vellu berjaya menyelesaikan krisis dalaman parti dengan kebijaksanaan dan menegakkan perpaduan. Kebijaksanaan dan kebolehan kepemimpinannya telah menghasilkan calon-calon MIC yang menang bergaya dalam PRU.
Namun, pemilihan pucuk pimpinan parti pada Oktober 1989 begitu panas dalam sejarah politik MIC. Sebahagian ahli khususnya penyokong Subramaniam salah faham dengan laporan akhbar, kononnya Samy Vellu tidak akan memberi peluang kepada mana-mana anggota MIC yang mahu menjadi calon dalam PRU 1990 jika menentang kepemimpinannya termasuk Subramaniam.
Meskipun Samy Vellu mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjelaskan perkara itu pada 27 Ogos 1989, penentangan terhadap kepemimpinannya tidak dapat dielakkan. Samy Vellu dan Subramaniam dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden pada 1 Oktober 1989. Ini merupakan pertandingan kali kedua antara dua tokoh utama MIC selepas 1977. Keputusannya, Samy Vellu bukan sahaja berjaya mengekalkan jawatan Presiden dengan memperoleh 62 peratus, malah membuktikan beliau adalah seorang pemimpin yang mendapat sokongan padu daripada akar umbi dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak.
Kebolehan dan kebijaksanaan Samy Vellu dalam mengurus parti dan menyuarakan aspirasi kaum India membantu meraih sokongan kepada kepimpinannya. Beliau menubuhkan Maju Institute for Educational Development (MIED), sebuah pertubuhan yang menawarkan pinjaman pendidikan. Di bawah MIED, institut teknologi TAFE dibuka untuk memberi peluang kepada anak-anak muda melanjutkan pendidikan dalam bidang teknikal peringkat diploma khususnya komputer, perniagaan, pengurusan, perakaunan, kejuruteraan kapal terbang, kejuruteraan automobil, elektrik dan sistem informasi.
Satu lagi sumbangan besar Samy Vellu adalah menubuhkan Asian Institute of Medicine Science and Technology (AIMST). Penubuhannya memberikan peluang kepada pelajar India yang gagal mendapat tempat di universiti awam dalam jurusan perubatan dan sains. Sejak pembukaannya pada 2002 sehingga 2016, Universiti AIMST berjaya menghasilkan 3,277 graduan termasuk 1,138 doktor dalam pelbagai bidang termasuk pergigian, farmasi dan bioteknologi.
Sumbangan Samy Vellu terhadap negara diiktiraf sehingga dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri ke India dan Asia Selatan pada 1 Januari 2011.
Sumbangannya dalam pembangunan negara merealisasikan pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Utara Selatan.
Legasi Samy Vellu akan kekal abadi dalam ingatan rakyat Malaysia. – UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.










