Kenapa masih mahu kawasan majoriti Melayu?

Kenapa masih mahu kawasan majoriti Melayu?

MASIH tidak cukupkah kawasan Parlimen majoriti pengundi Cina yang boleh ditandingi oleh calon-calon MCA? – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berlangsung dalam masa terdekat, dijangkakan sebelum akhir tahun ini. Masing-masing parti politik sedang menyusun strategi dan perancangan bagi menjamin kemenangan. Apa menjadi fokus utama adalah kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu yang biasanya ditandingi oleh calon bukan Melayu mewakili Barisan Nasional (BN).

Alor Setar, Tanjong Malim, Kuantan, Alor Gajah, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tanjong Piai dan seumpamanya ditandingi oleh calon bukan Melayu sama ada dari MCA, atau MIC. Tradisi ini telah lama berlaku. Alasan umum diberikan adalah semangat setia kawan dan toleransi antara parti-parti dalam komponen BN.

Persoalan yang timbul, masih tidak cukupkah kawasan Parlimen majoriti Cina yang boleh ditandingi oleh calon-calon MCA? Atau ada sebab lain tidak mahu bertanding di kawasan-kawasan seperti Kepong, Cheras dan Bukit Bintang? Adakah keputusan memberikan calon BN bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu masih sesuai dengan perkembangan serta struktur politik terkini?

Persoalan ini dilihat oleh saya tidak menjadi penting sebelum PRU13 (2013) kerana calon bukan Melayu yang bertanding di kawasan majoriti Melayu mendapat kemenangan besar. Pada PRU11 (2004), sebanyak 10 kerusi Parlimen yang ditandingi calon BN bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu menang dengan majoriti selamat.

Perubahan mula berlaku pada PRU12 (2008) di mana calon BN bukan Melayu hanya mampu memenangi tujuh daripada 10 kerusi Parlimen. Pada PRU13, calon BN bukan Melayu hanya berjaya memenangi enam kerusi. Undi majoriti yang diperoleh calon BN bukan Melayu semakin kecil berbanding PRU-PRU sebelumnya. Pada PRU13, empat calon BN bukan Melayu mengalami kekalahan di Alor Setar, Raub, Kuantan dan Wangsa Maju. Kawasan Parlimen lain yang dimenangi pun mengalami undi jauh lebih kecil daripada PRU sebelumnya.

Perubahan besar berlaku dalam struktur pengundian dan pola keputusan mulai PRU14. Pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu tidak lagi melihat BN sebagai tonggak penyatuan dan sokongan dengan membuat keputusan mudah bahawa sesiapa sahaja calon BN akan disokong (tanpa mengira sama ada MCA atau MIC). Persoalan kaum dan agama tetap penting dan tidak sama sekali dapat dipisahkan dalam kajian politik dan pilihan raya di Malaysia (walaupun berlaku sedikit perubahan berbanding dua dekad sebelum ini).

Sokongan faktor-faktor lain berhubung pimpinan UMNO dikaitkan dengan korupsi dan salah guna kuasa serta dasar kerajaan memerintah yang tidak betul-betul menjaga kebajikan rakyat tidak dinafikan mempengaruhi perubahan ini.

Apa yang dapat dikatakan, meletakkan calon BN bukan Melayu di kawasan Parlimen majoriti Melayu bukan lagi satu keputusan tepat. Ini akan menjadi lebih sukar dengan bilangan parti politik Melayu yang makin banyak serta struktur politik kepartian semakin kompleks sifatnya.

PENDATANG

Calon MCA dan pengundi Cina perlu melalui realiti politik semasa dan tidak menyimpang daripada falsafah kerjasama, perkongsian kuasa dan tolak-ansur pelbagai kaum. Pengundi Cina juga perlu memahami dan mengamalkan prinsip asas menjelang kemerdekaan iaitu kerjasama kaum dan tolak-ansur, penerimaan orang Cina yang ketika itu sebagai ‘kaum pendatang’ diterima sebagai warganegara oleh pimpinan dan orang Melayu. Politik radikal dan penguasaan menolak hak dan keistimewaan Melayu yang mula disentuh dan berlaku pada PRU 1964 harus ditolak atau diambil jalan tengah.

Pertembungan calon MCA dan PAP di kawasan majoriti pengundi Cina pada PRU 1964 adalah tidak selaras dengan prinsip asas falsafah politik kebangsaan. Sepatutnya PAP dan MCA tidak bertanding di kawasan Parlimen kaum Cina pada PRU 1964. Keputusan PRU 1969 dan kesannya kepada politik dan kestabilan negara mempunyai hubungan dengan apa yang berlaku dalam PRU 1964.

Hubungan antara falsafah dan perjuangan sesebuah parti politik dengan asas pembinaan negara mesti difahami oleh semua pengundi. Pertembungan dan perjuangan yang bercanggah dengan prinsip asas negara serta bertentangan dengan falsafah perlembagaan akan membuka ruang pergolakan dan ketidakstabilan politik.

PRU15 perlu kembali kepada asas pembinaan negara dan falsafah dasar. Calon-calon bukan Melayu dari BN (khususnya yang mewakili parti Cina) perlu bertanding di kawasan Parlimen majoriti Cina. Isu dan penerangan kempen pilihan raya hendaklah bersifat kepentingan nasional, bukan politik sempit jangka pendek yang melihat kepentingan semasa.
Fokus adalah pembinaan negara bangsa dalam jangka panjang serta kestabilan ekonomi dan politik.

Andainya calon BN bukan Melayu (khususnya MCA) yang bertanding di kawasan majoriti Cina ditolak dan mengalami kekalahan, kita mesti menerima hakikat pengundi Cina menolak perjuangan MCA. Apakah hak-hak orang Cina akan tercapai andainya kerajaan BN menguasai politik negara tanpa wakil mencukupi bagi kaum Cina?

Pemimpin utama politik kaum Cina sepatutnya bertanding di kawasan majoriti Cina. Kawasan majoriti Melayu perlu ditandingi calon parti politik Melayu sama ada dari pembangkang atau kerajaan. Kempen dan isu yang perlu dibangkitkan dalam PRU adalah bersifat kepentingan umum, menyeluruh (tidak bercanggah dengan prinsip dan falsafah Perlembagaan Persekutuan) dan pembinaan negara bangsa sejahtera dalam jangka panjang. – UTUSAN

DR. Mohd. Noor Yazid sedang mengikuti pengajian sarjana undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebelum ini ialah Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah dari Julai 1996 hingga April 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×