Jangan berani sogok gula-gula antiperpaduan - Utusan Malaysia

Jangan berani sogok gula-gula antiperpaduan

SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2022 yang meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos lalu ialah bukti keakraban Keluarga Malaysia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos lalu sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-65 tampak begitu meriah setelah hampir dua tahun tidak disambut disebabkan penularan Covid-19.

Di setiap negeri, rakyat membanjiri kawasan sambutan Hari Kebangsaan bagi meraikan kemenjadian negara tercinta. Di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dianggarkan hampir 50,000 orang turun menyaksikan perbarisan dan perarakan yang disertai oleh 20,000 orang.

Pada tahun ini, tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama dimuktamadkan. Pemilihan tema ini amat tepat serta mempunyai signifikannya tersendiri.

Konsep Keluarga Malaysia, hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendasari tema tersebut. Tema ini mengajar bahawa kita semua yang hidup di negara ini adalah sebuah keluarga walaupun mempunyai perbezaan dari segala aspek, baik kaum, etnik, bahasa, agama, kepercayaan, budaya mahupun fahaman politik.

Untuk terus hidup bersama dengan kepelbagaian yang ketara, kita perlulah menerapkan elemen-elemen kesepaduan, keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.Tanpanya, sudah pasti kita tidak boleh hidup secara aman dan damai. Perasaan kurang enak antara satu sama lain akan wujud dan boleh mencetuskan perkara-perkara negatif yang boleh mengikis lapisan perpaduan.

Sebagai contoh, baru-baru ini, saya terbaca sebuah hantaran di media sosial yang mempersoalkan mengapa perlu Sabah dan Sarawak meraikan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos walhal masih terbelenggu di bawah kuasa penjajah pada ketika itu.

Ya. Memang betul, Sabah dan Sarawak tidak mengecapi kemerdekaan sehinggalah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Namun, adakah wajar kita menyuarakannya di media sosial yang boleh dibaca oleh puluhan dan ratusan orang? Tidakkah ini satu perbuatan yang cuba memecahbelahkan Keluarga Malaysia dengan membeza-bezakan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak?

Orang yang boleh berfikir secara rasional sudah tentu menepisnya bulat-bulat. Perbuatan sebegini tidak membawa sebarang manfaat, sebaliknya hanya menanam sentimen kenegerian. Tetapi bagaimana dengan orang yang mudah terpengaruh dan mempercayainya seperti generasi muda?

Anak-anak muda bagaikan sebidang kain kosong yang perlu diwarnakan mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan warisan serta budaya Keluarga Malaysia. Jika diwarnakan putih, putihlah mereka, jika diwarnakan hitam, maka hitamlah mereka.

Maka, tanggungjawab kita khususnya generasi tua amatlah besar dalam membentuk generasi muda yang bersemangat patriotik dan mempunyai jati diri yang tinggi. Fikir sedalam-dalamnya apa yang kita ucap, tulis atau cerita. Ini kerana segala tindakan dan perbuatan kita membawa kesan.

SEJARAH

Ada pendapat yang mengatakan peranan generasi tua yang kurang menyerlah dalam menerapkan semangat patriotik adalah antara punca mengapa segelintir generasi muda kurang menghayati sejarah negara.

Ini mungkin betul atau mungkin tidak. Tetapi sebenarnya, kita tidak perlu mencari kesalahan mana-mana pihak. Sebaliknya, mencari jalan penyelesaian bersama untuk membuka ruang bagi generasi muda menghayati sejarah negara.

Rentetan peristiwa penting yang membentuk negara seperti institusi beraja, penjajahan British, pendudukan Jepun dan kekejamannya terhadap penduduk, perjuangan tokoh tempatan dan negarawan, proses ke arah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia perlu dipahat dalam pemikiran setiap rakyat.

Menyebut tentang penghayatan sejarah, jangan dibebankan tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah dan guru sahaja. Ini kerana sejak negara merdeka, warga sekolah terus memainkan peranan mendidik pelajar dengan sejarah tanah air dan menanam rasa kecintaan terhadap negara. Kini, ibu bapa dan komuniti setempat pula harus memikul tanggungjawab yang sama.

Anak-anak kecil harus didedahkan dengan sejarah, memandangkan pemikiran mereka dapat dibentuk dan dipupuk dengan mudah. Bak kata peribahasa Melayu, sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari.

Dalam segala tindakan, kita harus terapkan nilai-nilai sejarah, di samping menerapkan elemen perpaduan seperti kerjasama, muafakat, bertolak ansur, menerima serta menghormati persamaan dan perbezaan setiap komuniti.
Ini dapat menjamin keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran dalam negara.

Kita perlu ingat bahawa jangan sekali-kali kita berani sogokkan generasi muda dengan gula-gula antiperpaduan yang akhirnya akan merosakkan anak bangsa sendiri.

Syabas kepada kerajaan kerana merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk menyemarakkan patriotisme dalam kalangan Keluarga Malaysia. Dalam kesempatan ini, tahniah diucapkan buat kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan negeri Sabah kerana telah menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan 2022. Inilah yang dikatakan Keluarga Malaysia.

Pendek kata, tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama bertepatan sekali dalam meraikan Bulan Kebangsaan. Penglibatan semua pihak, baik kerajaan mahupun rakyat dengan nilai-nilai kekeluargaan membolehkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 dirai dan dihayati sepenuhnya. – UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×