‘Gencatan senjata’ UMNO-Pas

‘Gencatan senjata’ UMNO-Pas

pru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pepatah Melayu berbunyi:

Koyak-koyak ditampal,
Retak-retak dikimpal.

Politik Melayu sudah pun retak perpaduannya. Mesti ada bahan pengimpalnya. Bahan pengimpal itulah syaratnya. Yang telah koyak itu perlu ditumbab atau ditampal segera dengan kain perca atau kain guntingan yang lain.

Seperti kudis buta yang dulunya hinggap di paha kiri, kini sudah berjangkit ke paha kanan. Politik Malaysia masih dan terus dijangkiti politik kuasa, pengkhianatan dan perpecahan.

Mengamati perkembangan akhir-akhir ini sebelum ke gerbang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), seeloknya perlu ada ‘gencatan senjata’ (ceasefire) antara dua parti Melayu terbesar, UMNO dan Pas.

Dua parti ini pasti sedar, lagi banyak parti, lagi senang mereka dikalahkan. Memang setakat ini tidak ada usaha, waima daripada mana-mana pihak mahu menyatukan semua parti Melayu.

Rakyat boleh tengok semua pemimpin kita hendak menjuarakan hanya partinya. Ini termasuk parti yang sudah kalah teruk, biar sebab apa pun.

Maka sekarang terpulang kepada UMNO dan Pas untuk berfikir, perlu atau tidak kembali kepada meja rundingan menghidup dan menyegarkan semula Muafakat Nasional (MN).

BERPIJAK DI BUMI NYATA

Yang berpijak di bumi nyata adalah bukti kemenjadian gabungan dua parti Melayu ini dalam MN semasa pasca PRU14. Hampir mustahil MN terlerai ‘sampai kiamat’ seperti mana diungkapkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz pada April 2019. Ketika itu UMNO dan Pas menerusi MN menikmati ‘pakej bulan madu’ memenangi satu persatu pilihan raya kecil (PRK) sehinggalah angka itu menjadi 7-0, terakhir di Slim, Perak, Ogos 2020.

Demikian jua kenangan manis pemimpin UMNO-Pas dalam himpunan Melayu bangkit tiga, empat tahun lepas. Malah, politik Melayu buat julung kali dikejutkan dengan himpunan raksasa ala tentangan Malayan Union 1946 membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, 8 Disember 2018 yang mengumpulkan ratusan ribu orang. Ahli-ahli serta pemimpin UMNO-Pas bergabung bermandi peluh, berkongsi nada menjayakan himpunan dihadiri ratusan ribu orang itu.

Justeru, kembali ke realiti politik Malaysia hari ini, di Semenanjung (termasuk Labuan) terdapat 166 kerusi Parlimen. Daripada 166 kerusi itu, 117 adalah kerusi yang majoriti pengundi Melayu/bumiputera berkomposisi 50 peratus ke atas. Boleh disebut kerusi ini kerusi Melayu.

Daripada 117 kerusi Melayu ini, ada kerusi berisiko yang parti lawan kepada UMNO-Pas boleh menang jika undi Melayu berpecah. Kerusi ini mempunyai komposisi pengundi Melayu antara 50 hingga 70 peratus. Ia kerusi marginal.

Daripada kerusi-kerusi marginal ini, terdapat 27 kerusi yang bakal ditandingi Pas mewakili Perikatan Nasional (PN) bertembung dengan Barisan Nasional (sama ada UMNO, MCA atau MIC).

Selebihnya 90 kerusi daripada 117 tadi, ada 10 lagi kerusi berisiko yang sekarang disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Yang ini terpulang kepada Bersatu untuk berunding atau tidak. Sejumlah 80 kerusi lagi dipercayai tidak berisiko jika bertembung tiga penjuru PN dan BN. Pakatan Harapan (PH) dikatakan sukar untuk menang di kawasan ini.

Jadi, yang sering diuar-uarkan oleh pemerhati politik – yang mahu diselamatkan adalah 27 kerusi ini. Kata pemerhati cenderung kerjasama UMNO-Pas ini, jika ia terlepas ke tangan PH, gabungan dianggotai DAP-PKR-Amanah ini boleh membentuk kembali kerajaan buat kali kedua.

KUASA POLITIK MELAYU

Inisiatif mewujudkan MN boleh mengembalikan kuasa politik Melayu. Memang alangkah baiknya jika satu peruntukan dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa atas semangat Rukun Negara, mesti ada satu consultative atau majlis konsultatif politik dalam perlembagaan. Tetapi perkara ini belum ada lagi. Dengan itu kuasa politik sahajalah kalau dapat diwujudkan amat baik.

Dan UMNO dan Pas sahaja barangkali jawapan penyelesaian waktu ini untuk menyatukan politik Melayu – mengambil kira atas kertas pengalaman politik berdekad-dekad termasuk mentadbir negara dengan berjuta-juta ahlinya yang berakar umbi.

Kepada UMNO, teraju PN iaitu Bersatu sahaja halangan untuk menghidupkan kembali MN.

Dan hairannya ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara prinsip dan tegas menolak PH, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ogos lalu secara tiba-tiba menawarkan PH supaya mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama pada PRU15 ialah BN.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam catatan minda presiden 15 September menegaskan, berbanding BN, Pas menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah kesannya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya