PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi menjadi medan ujian untuk mengukur sejauh mana kesediaan Barisan Nasional (BN) dan Pas menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional (MN) 2.0 menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Walaupun hubungan rasmi kedua-dua parti masih belum dimuktamadkan, namun kerjasama strategik antara BN dan Pas mampu menjadi petunjuk awal terhadap kemungkinan pembentukan jajaran politik Melayu Islam yang lebih besar pada masa hadapan.
Berbanding Johor yang menyaksikan BN telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), senario itu membuka ruang kepada Pas untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada BN demi penyatuan Melayu Islam.
Sebagai timbal balas, di negeri-negeri Pantai Timur yang dikuasai Pas, BN pula boleh memainkan peranan sama, bagi tujuan yang sama.
Berbeza pula di Negeri Sembilan, ruang rundingan yang lebih fleksibel mungkin boleh ditawarkan dengan mengambil kira Pas mempunyai pengaruh dan rekod kemenangan di beberapa kawasan.
Selain itu, komposisi pengundi serta kedudukan kerusi yang lebih seimbang menjadikan negeri berkenaan lokasi sesuai untuk menguji formula kerjasama untuk menguji formula kerjasama dua parti tanpa melibatkan komponen lain.
Dalam hal ini, kepentingan politik di peringkat negeri wajar diketepikan demi mencapai matlamat lebih besar di peringkat Persekutuan.
Malah, kebangkitan politik Melayu yang pernah disaksikan menerusi kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional 1.0 membuktikan gabungan kedua-dua parti mempunyai kekuatan tersendiri yang sukar digugat oleh mana-mana pihak.
Maka, jika benar mahu melihat penyatuan orang Melayu kembali kukuh, semua pihak perlu berlapang dada dan sanggup berkorban sedikit dari segi kepentingan negeri masing-masing.
Dalam perkembangan sama, sebarang bentuk kerjasama antara BN dan Pas turut dilihat mampu mengurangkan risiko pertandingan tiga penjuru yang mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Dalam banyak kerusi campuran dan majoriti Melayu, perpecahan undi antara BN, Pas dan Bersatu berpotensi menjejaskan peluang mana-mana blok pembangkang untuk mencabar PH.
Bagaimanapun, usaha menghidupkan semula MN bukanlah sesuatu yang mudah kerana kedua-dua parti masih mempunyai perbezaan pandangan dalam beberapa isu politik semasa, selain perlu mengambil kira hubungan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
Namun, perkembangan mutakhir yang menyaksikan beberapa pemimpin Pas dan UMNO mula mengeluarkan kenyataan lebih terbuka mengenai keperluan penyatuan Melayu menyebabkan spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama itu kembali menjadi perhatian.
Sekiranya Negeri Sembilan berjaya menjadi model kerjasama yang berkesan, ia bukan sahaja mampu membuka lembaran baharu hubungan antara BN dan Pas, malah boleh menjadi penentu kepada pembentukan semula landskap politik Melayu menjelang PRU16. – UTUSAN










