Teruskan keberanian kerajaan urus ekonomi

Teruskan keberanian kerajaan urus ekonomi

RAKYAT termasuk isi rumah dan perniagaan serta peniaga antarabangsa sudah mula meletakkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan kerajaan membawa ekonomi ke mercu pusingan seterusnya. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI negara mempamerkan keupayaannya untuk benar-benar keluar dari kegawatan apabila tumbuh pada kadar berganda daripada 5.5 peratus, Mei lalu kepada 16.5 peratus pada Jun menghasilkan kadar peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun kedua 2022 menjadi 8.9 peratus. Kini Malaysia sudah mengumpul peningkatan lebih daripada 6.9 peratus untuk separuh tahun 2022 berbanding kadar pertumbuhan 3.1 peratus pada seluruh 2021.

Peningkatan memberangsangkan ini dipacu oleh sektor perkhidmatan – borong, runcit, perhotelan, restoran, perkhidmatan pelancongan dan yang berkaitan selain kemajuan terus sektor perkilangan, pembinaan dan pertanian. Ia juga dilonjakkan oleh perbelanjaan persendirian meningkat, membayangkan sentimen rakyat yang sangat positif terhadap perkembangan ekonomi.

Pemulihan ekonomi disokong oleh semua inisiatif kerajaan yang berjaya dalam mengawal pandemik Covid-19, menangani inflasi dan kenaikan kos hidup serta menyemarakkan pemulihan sektor industri dan perniagaan.

Seluruh rakyat termasuk isi rumah dan perniagaan serta peniaga antarabangsa sudah mula meletakkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan kerajaan semasa dalam membawa ekonomi ke mercu pusingan seterusnya walaupun dibayangi kemelut perang Russia-Ukraine dan kemuraman ekonomi dunia disebabkan kegawatan dan kadar inflasi yang meningkat.

Semua pihak melihat bagaimana serius dan beraninya kerajaan membuat keputusan drastik dalam mengawal inflasi dan melindungi kumpulan yang terjejas oleh pandemik dan kenaikan kos hidup melalui peningkatan subsidi jangka pendek.

Kini, semua pihak khususnya rakyat marhaen mengharapkan kerajaan hari ini lebih berani untuk melaksanakan misi jangka pertengahan dan jangka panjang bagi memacu ekonomi seterusnya dan pada masa sama melindungi semua kumpulan isi rumah.

Mereka melihat kerajaan hari ini dengan perjanjian persefahaman kukuh bersama pembangkang di Parlimen merupakan satu-satunya kerajaan yang berupaya melakukan perubahan diharapkan demi rakyat dan negara tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri.

Keberanian kerajaan untuk menganjurkan dan membawa usul pembaharuan ini akan menentukan masa depan dan generasi baharu yang akan mewarisi negara. Pertama, perlunya kerajaan mewujudkan sistem perlindungan sosial yang mantap bagi melindungi kesemua 15 juta keluarga. Ini memerlukan kerajaan memulakan inisiatif mewujudkan institusi atau tabung endowmen atau wakaf nasional bagi mewujudkan kapasiti pelaburan berterusan untuk melindungi kumpulan yang memerlukan menggunakan skim takaful berkumpulan, skim bantuan awam, skim perlindungan bencana alam dan skim perlindungan pendapatan.

Usaha ini boleh dimulakan dengan melancarkan skim caruman umum berasaskan prinsip endowmen atau wakaf. Ini boleh dilakukan di pasar raya, stesen minyak dan semua kedai runcit. Ia memerlukan inisiatif awal kerajaan untuk menanam modal benih ke dalam yayasan dana, endowmen atau wakaf dalam bentuk pemindahan aset kerajaan. Aset dalam bentuk saham dan syarikat berdaya maju seperti Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Petronas Nasional Berhad perlu menjadi sasaran.

BURUH

Perubahan struktur penting kedua adalah dalam bidang pekerjaan dan pasaran buruh. Hari ini lebih 60 peratus golongan pekerja adalah dalam kumpulan kurang mahir atau tidak mahir.

Mereka dianggap sebagai kumpulan sokongan yang walaupun penting dalam organisasi tetapi tahap produktiviti mereka rendah. Mereka sebenarnya tersangkut dalam jerat kelas menengah.

Sementara kumpulan kelas menengah tinggi merasai nikmat pembangunan dan hidup sejahtera, kelas menengah pula terpaksa berhempas-pulas memenuhi keperluan kehidupan. Lebih-lebih lagi jika ahli keluarga mereka dan diri sendiri terikut-ikut dengan gaya hidup mewah kelas menengah tinggi. Ini menyebabkan gejala hutang persendirian meningkat hingga menekan kesejahteraan hidup seluruh keluarga.

Mereka perlu dibebaskan daripada jerat kelas menengah melalui program latihan besar-besaran dan serius bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan untuk naik memegang jawatan dan gaji lebih baik. Sebahagian besar daripada mereka perlu ditolak keluar dari sektor kerjaya dan muncul sebagai peniaga dan usahawan melalui program besar-besaran. Ini akan mengubah struktur isi rumah dan pendapatan mereka.

Perubahan besar ketiga ialah keperluan kerajaan untuk secara langsung membawa dan menonjolkan teknologi baharu khususnya revolusi perindustrian (IR) 4.0 yang berkaitan dengan internet kebendaan (IoT) dan pendigitalan termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik dasar besar, teknologi dron dan pencetak 3-D untuk memacu ke tahap seterusnya.

Pendedahan dan kemudahan memperoleh teknologi untuk kumpulan industri, peniaga kecil, peniaga mikro, pekerja sendiri dan isi rumah perlu diberikan. Keseluruhan masyarakat perlu dikerah untuk menggunakan teknologi bagi memperbaiki prestasi perniagaan dan keluarga mereka melalui peningkatan produktiviti.

Agenda di atas memerlukan keberanian pemimpin dan kerajaan untuk menjadi juara dalam memperkenalkan dan memacunya ke hadapan dengan deras.

Inilah masa keemasan bagi negara untuk melakukan perubahan drastik. Kerajaan hari inilah yang boleh diharapkan untuk berani melakukan perubahan drastik sebegini kerana ada sokongan daripada pembangkang melalui perjanjian pesefahaman dan mereka merupakan kerajaan yang tidak dikuasai oleh mana-mana parti utama.

Kerajaan hari ini memerlukan masa untuk melakukannya. Pilihan raya umum (PRU) tidak sepatutnya dikejar terburu-terburu. Berilah kesempatan untuk agenda perubahan besar ini diumumkan, dilancarkan dan dilaksanakan sebelum PRU15 dilangsungkan.

Marilah kita menyokong agenda penerusan perkhidmatan kerajaan yang berani dan cemerlang ini sehingga ke akhir tempoh Parlimen ditetapkan. – UTUSAN

DR. Barjoyai Bardai ialah ialah Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×