KEJADIAN penderaan atau buli nampaknya belum dapat diredakan. Laporan mengenainya dikatakan terus meningkat baik di sekolah mahupun dalam talian serta alam maya. Ura-ura menubuhkan sebuah jawatankuasa petugas peringkat nasional membayangkan betapa seriusnya isu sosial tersebut.
Namun, ia bukannya suatu perkara baharu dalam kalangan kanak-kanak berusia persekolahan sejak dahulu lagi. Perbalahan antara mereka pada peringkat usia tersebut agak lumrah terutama sekali dalam mencari identiti atau pengaruh dalam kalangan kelompok rakan sebaya. Hubungan sering menjadi sesuatu pengalaman membesar yang mendesak. Kepada yang agak tertekan soal serta sifat ego menjadi peka apabila menghadapi cabaran diri. Dan mudah melenting tatkala dicabar secara peribadi – lisan atau jasmani walaupun dengan tidak sengaja kerana nilai serta maruah dirinya begitu rendah sekali.
Hatta cepat terguris dan terus bertindak balas tanpa berfikir panjang atau waras. Asalkan sahaja dapat memulangkan paku buah keras secara bertubi-tubi dengan hasrat memulihkan ego yang terancam. Sekali gus berasa puas dengan apa yang terkesan kepada ‘mangsa’ ekoran tindakan tersebut. Maruah seolah-olah dapat dikembalikan sedia kala untuk seketika waktu.
Ringkasnya itulah yang boleh digambarkan sebagai peristiwa buli yang mempunyai saling kaitan antara satu sama lain. Namun, kesan negatif dikatakan menyentuh kedua-dua pihak dan mungkin berpanjangan selagi ketidakseimbangan kuasa serta pengaruh antara kedua-duanya terus tertonjol.
Ini adalah sebab utama mengapa perbuatan buli tidak mudah dihindarkan apabila ia sudah mula berlaku kepada seseorang. Baik yang membuli ataupun yang dibuli, perbezaan kuasa atau pengaruh antaranya akan menjadi penentu bagaimana atau bila kesudahannya. Ia mungkin bermula dengan perbuatan remeh yang mengaibkan, mengejek atau membuat berita palsu atau komen melulu. Tetapi boleh berkesudahan dengan keganasan fizikal termasuk membunuh diri.
Pada Mei lalu, kes seorang doktor pelatih di Pulau Pinang dikatakan berkaitan dengan amalan buli di tempat kerja. Ini mungkin hanya sebilangan kecil yang terkesan. Oleh itu, secara tidak langsung, bilangan kes akan terus berkembang dari masa ke masa apa lagi semasa suasana bertukar menjadi lebih rumit dan teruk terhadap individu mahupun kelompok umpama wabak Covid-19 yang sedang dialami kini.
Dewasa ini ramai sedia maklum bahawa rata-rata tahap keganasan meningkat keseluruhannya. Ambil sahaja keganasan rumah tangga yang boleh dikatakan sebagai satu peristiwa buli di rumah yang turut membimbangkan semasa pandemik. Juga tidak mudah dikawal kerana bentuk peribadinya.
EGO
Ia berbeza dengan perlakuan jenayah di khalayak ramai yang mudah dikenal pasti kerana turut mengganggu ketenteraman awam ataupun mengancam kedamaian masyarakat. Walaupun titik cetusan buli berkenaan adalah agak sama yakni melibatkan ego peribadi individu itu sendiri. Sedangkan persekitaran yang ada sekadar mempercepatkan lagi cetusan tersebut.
Ini jelas pada buli dalam bentuk siber di alam maya. Sungguhpun melibatkan khalayak yang agak terbuka, namun sasarannya ‘tepat’ kepada individu tertentu serta berulang-ulangan seolah-olah secara dekat. Maka lebih ‘digemari’ kerana cukup berkesan tetapi tersembunyi melalui e-mel serta media sosial pelbagai bentuk yang menyorokkan identiti sebenar.
Ia menunjukkan bahawa yang paling penting adalah individu sendiri, bukan sangat persekitarannya yang mungkin berbeza-beza seperti di alam maya.
Pendek kata, asalkan individu berkenaan hilang kawalan diri dan tidak lagi sejahtera, selagi itu buli lebih mudah berlaku atau dilakukan. Maksudnya benteng utama untuk menangkis, apa lagi menjadi pembuli adalah kawalan dalam diri sendiri. Bukan sangat undang-undang, penguat kuasa atau peraturan itu dan ini yang merupakan kawalan luaran sahaja. Sekiranya kawalan dalaman sentiasa rapuh, maka yang luar tidak akan mampu bertahan lama untuk mengekalkan jati diri seseorang. Sebaliknya diri yang terkawal serta seimbang lagi harmonis adalah yang lebih mantap dan sejahtera.
Mengikut takrifan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996, ia mencapai tahap ‘kesejahteraan diri.’ Apatah lagi didasari kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, bak kata FPK dengan tegasnya. Namun, malangnya hal ini masih kurang difahami dalam menterjemahkan makna dan maksud teguran yang dibawa FPK.
Dengan lain perkataan yang asas adalah faham. Aku Insan Sejahtera bukan misalnya Sekolahku Sejahtera apabila pengisiannya menyimpang jauh daripada hasrat dan inti pati FPK. Ini ternyata kerana hanya mereka yang pernah mengalami apa itu sejahtera boleh menjadikan orang lain mengecapi sejahtera.
Tidak sebaliknya seperti berlaku dalam kes buli yang tidak mengerti apa itu ‘kesejahteraan diri.’ Apatah lagi mengecapi baik di mana rumah, sekolah dan sebagainya. Sekolah yang sejahtera mungkin dapat membantu tetapi tidak akan berkesan jika individu itu tidak pernah sejahtera. Mereka yang terjebak membenci semuanya. Ini hakikat.
Lantas, soal pokok dalam hal ini adalah bagaimana asuhan berterusan untuk mencapai ‘kesejahteraan diri’ yang diuar-uarkan FPK boleh diamalkan sebagai pendekatan pendidikan membanteras buli. Hanya dengan menyelami jiwa sanubari mereka yang terlibat boleh kita mendekati lagi penyelesaian lebih menyeluruh akan masalah buli, bahkan pelbagai titik permulaan pelbagai masalah kesihatan emosi serta mental amnya.
Justeru, tiada pilihan melainkan menghidupkan semula FPK dan dikembalikannya ke arus perdana pendidikan negara sebagai kerangka utama dalam kemenjadian seorang ‘insan sejahtera.’ – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











