Satu keluarga, satu kamus dwibahasa

Satu keluarga, satu kamus dwibahasa

kamus
Kamus Perdana yang mendapat sambutan sangat menggalakkan di sekolah rendah dan menengah Cina sudah memasuki penerbitan edisi keempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMUS merupakan bahan rujukan yang menerangkan makna kosa kata dan berfungsi untuk membantu seseorang mengenal perkataan baharu. Selain itu, sesetengah kamus turut diperlengkapkan dengan asal usul sesuatu perkataan, panduan sebutan dan contoh penggunaan kata melalui ayat contoh.

Kamus biasanya terdapat dalam dua bentuk, iaitu ekabahasa dan dwibahasa. Kamus ekabahasa hanya diterangkan dalam bahasa yang sama, misalnya menggunakan bahasa Melayu bagi menerangkan perkataan bahasa Melayu. Kamus dwibahasa pula menggunakan satu lagi bahasa seperti bahasa Cina atau bahasa Inggeris untuk menerangkan makna sesuatu perkataan yang berlainan bahasa.

Antara 1403 hingga 1511, sudah wujud sebuah kamus Cina-Melayu yang terawal disusun oleh seorang pekamus Cina. Kamus Melayu pertama bukan dalam ekabahasa itu berjudul A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Words and Pharases collected between AD 1403 and 1511? Dikatakan kamus itu hanya terdiri daripada 482 entri dan diberi taksiran sebutan sepadan dalam bahasa Cina supaya orang Cina senang menyebut bahasa Melayu dan dapat berinteraksi dengan orang tempatan.

Sekitar 1519 hingga 1522, kamus Melayu-Itali pertama yang mengandungi 426 entri pula dihasilkan oleh Antonio Pigafetta, seorang pekamus berbangsa Itali.

Mulai 1955, mata pelajaran bahasa Melayu diperkenalkan di semua sekolah Cina di Tanah Melayu, maka lebih ramai pekamus keturunan Cina berkecimpung dalam arena perkamusan.

Kamus-kamus dwibahasa dari bahasa Melayu ke bahasa Cina (BM-BC) yang utama termasuklah Kamus Melayu-Tionghoa (susunan Lim Huan Boon), Kamus Berguna Bahasa Melayu-Tionghoa-Inggeris (susunan Lu Po-yeh), Kamus Umum Bahasa Malaysia (susunan Yang Quee Yee & Chan Meow Hua), Kamus Sari (susunan Yang Quee Yee, Lim Chin Keat & Chan Meow Hua), Kamus Am Terbaharu Bahasa Malaysia (susunan Cheng Song Huat, Tan Ah Leong & Cheng Swee Huat), Kamus Perdana (susunan Cheng Song Huat & Lai Choy) dan Kamus Kembangan (Lai Choy).

Lim Huan Boon, Lu Po-yeh dan Yang Queen Yee merupakan perintis perkamusan dwibahasa di Malaysia. Lai Choy pula seorang tokoh perkamusan dwibahasa bahasa Melayu-Cina yang kemudian, namun sumbangan beliau amat menyerlah. Sepanjang 1982 hingga 2022, beliau berjaya menghasilkan lebih daripada 50 bahan rujukan Bahasa Malaysia berbentuk kamus.

Lai Choy dilahirkan di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1941. Beliau berkhidmat sebagai seorang guru Bahasa Malaysia selama 34 tahun.

Menurut Lai Choy, guru-guru sejawat beliau mencadangkan kamus dwibahasa sebagai alat pengukuh tambahan untuk murid kaum Cina bagi meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran bahasa Melayu.

MANUSKRIP

Berikutan itu, beliau berganding bahu dengan seorang guru sejawat menghasilkan Buku Panduan Praktikal Bahasa Malaysia Untuk Sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) pada awal 1980-an. Sambutan sekolah-sekolah terhadap kamus tersebut sangat menggalakkan. Reaksi itu menunjukkan bahawa hasil kerja beliau memenuhi kehendak murid di sekolah.

Kejayaan itu merangsangkan beliau bergiat lebih aktif dalam bidang perkamusan untuk memberikan faedah yang meluas kepada pengguna sasaran.

Pada April 1996, beliau menerima sebuah manuskrip kamus dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, bahasa Cina dan bahasa Inggeris yang sudah dikumpulkan oleh Cheng Song Huat.

Memandangkan kamus sedia ada sudah ketinggalan zaman, maka penerbit membuat keputusan untuk menerbitkan kamus itu.

Lai Choy bukan sahaja bertanggungjawab dalam memurnikan manuskrip itu, malah turut dilantik menjadi penulis bersama dengan penulis asal. Setelah dua tahun berusaha, akhirnya Kamus Perdana berjaya diterbitkan pada penghujung 1997.

Kamus Perdana mendapat sambutan sangat menggalakkan di sekolah rendah dan menengah Cina. Sebanyak 30,000 naskhah bagi edisi pertama berjaya dijual sejurus penerbitannya.

Sehingga 2019, Kamus Perdana memasuki edisi keempat.

Sekitar 2010, beliau mengambil inisiatif dan komitmen lebih besar berlandaskan pengalaman yang ada dengan menghasilkan sebuah lagi kamus yang lebih komprehensif dan menepati aspirasi, iaitu Kamus Kembangan yang diterbitkan pada Mei 2010.

Kebanyakan keluarga Cina memiliki sekurang-kurangnya sebuah kamus dwibahasa bahasa Melayu-Cina di rumah. Hal ini kerana ibu bapa keturunan Cina faham bahawa jika hendak lulus dalam peperiksaan kerajaan, mata pelajaran Bahasa Malaysia tidak boleh diabaikan sama sekali.

Kata Lai Choy, kaum Cina kurang peluang dan persekitaran untuk bertutur bahasa kebangsaan seperti orang Melayu. Maka kebanyakan pelajar Cina perlu mempelajari bahasa kebangsaan dengan berpandukan bahasa ibunda. Sesungguhnya sebuah kamus dwibahasa yang tinggi mutunya merupakan teman setia kepada pelajar Cina.

Dengan adanya penerangan makna dalam bahasa ibunda, maka para pelajar dapat memahami maksud sesuatu perkataan itu dalam bahasa ibunda. Dengan itu, mereka akan lebih yakin dan sanggup menangani cabaran dalam kelas Bahasa Malaysia nanti.

Bagaimanapun, hal ini bergantung pada keadaan atau persekitaran. Pelajar Cina dari Kelantan, Terengganu dan Kedah yang sentiasa bergaul rapat dengan orang Melayu boleh mempelajari bahasa Melayu mengikut kaedah bahasa pertama. Sedangkan pelajar Cina lain yang lebih mesra menggunakan bahasa ibunda untuk mentafsirkan makna sesuatu istilah pula digalakkan menggunakan kamus dwibahasa.

Lai Choy menambah, bagi mereka yang sudah mahir dalam bahasa Melayu digalakkan terus menggunakan kamus ekabahasa. Sebaliknya, kepada mereka yang masih lemah, maka pendekatan pembelajaran bahasa kedua dicadangkan.

Sumbangan dan produktiviti Lai Choy yang begitu besar meletakkan beliau antara tokoh leksikografi kamus dwibahasa terpenting pada abad ke-21 bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara-negara serantau. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Media di Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya. ​

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×