Realisasi tribunal antigangguan seksual

Realisasi tribunal antigangguan seksual

Golongan wanita perlu mengetahui bahawa takrifan gangguan seksual dalam Akta Parlimen lebih luas dengan tidak hanya tertakluk di tempat kerja sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DIRIWA­YATKAN daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada kebijaksanaan lebih baik daripada renungan, dan tidak ada kehormatan lebih baik daripada akhlak yang mulia.” – Sunan Ibn Majah 4218.

Martabat yang diberikan kepada akhlak mulia dalam kehidupan seharian menggambarkan kehormatan seseorang. Bahkan, kehormatan bukan sahaja diberikan kepada masyarakat tetapi lebih utama yang dipelihara dalam diri sendiri. Tanpa kehormatan, manusia akan hidup tidak lebih baik daripada haiwan yang masih bergelumang dengan naluri semula jadi tanpa mengendahkan peradaban dan ketamadunan.

Tidak pelik mengapa pemeliharaan kehormatan adalah asas kepada hak asasi seperti diterapkan dalam banyak konvensyen hak asasi manusia di peringkat serantau dan antarabangsa. Sebagai misalan, dalam Artikel 1 Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) yang menyatakan, “Setiap manusia membentuk satu keluarga yang anggotanya disatukan oleh penyerahan mereka kepada Allah dan keturunan Adam. Setiap orang adalah sama dari segi martabat asas manusia serta kewajipan dan tanggungjawab asas, tanpa sebarang diskriminasi atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa, kepercayaan, jantina, agama, gabungan politik, status sosial atau pertimbangan lain. Agama yang benar adalah jaminan untuk meningkatkan martabat tersebut di sepanjang jalan menuju integriti manusia.”

Penekanan yang diberikan kepada hak asasi manusia dan lebih utama kepada martabat setiap orang itu untuk mendapatkan kehidupan penuh integriti. Inilah pemeliharaan sebenar peradaban negara bangsa apabila kehidupan setiap insan berpaksikan kehormatan. Atas prinsip dan pegangan ini, perbahasan dan akhirnya penggubalan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (DR18/2021) di Parlimen disambut baik.

Dalam keadaan tidak malu dengan kehormatan diri dan bangsa, satu rangka undang-undang yang nyata amat perlu bagi memelihara martabat masyarakat. Saya sudah kerap menulis tentang gangguan seksual baik di tempat kerja, institusi pendidikan, tempat awam malah alam maya. Namun, tanpa kerangka undang-undang kemas, ketirisan akan berlaku yang mencipta ruang untuk individu tidak bertanggungjawab meneruskan kelucahan dan gangguan seksual.

Dengan penggubalan DR18/2021, setiap ruang lingkup kerangka perundangan diutuhkan bagi membasmi gangguan seksual. DR18/2021 adalah bagi menzahirkan suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual, penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual, meningkatkan kesedaran tentang dan mencegah berlakunya gangguan seksual, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

Tujuan ini membuktikan komitmen negara dalam membanteras segala bentuk kelucahan yang menjadi landasan gangguan seksual. Apabila DR18/2021 diperbahaskan dalam Bacaan Kedua dan Ketiga baik di Dewan Rakyat pada 19 Julai lalu mahupun di Dewan Negara pada 11 Ogos lalu, perdebatan diikuti oleh ramai ahli Parlimen yang turut menyumbang kritikan dan saranan bagi tujuan penambahbaikan RUU ini.

Lebih utama lagi, setiap kali undian diadakan sepanjang perbahasan, tiada sekalipun mana-mana ahli Parlimen mengundi ‘tidak.’ Ini bukti iltizam dalam memastikan prinsip menentang gangguan seksual dizahirkan dengan jelas melalui badan legislatif negara.

AKTA PARLIMEN
Yang unggul mengenai DR18/2021 adalah buat pertama kali, gangguan seksual ditakrifkan sebagai ‘apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.”

Jika sebelum ini takrifan gangguan seksual dalam Akta Parlimen adalah menjurus kepada gangguan seksual di tempat kerja, namun kali ini boleh dipakai dalam semua lingkungan tanpa mengehadkan rangkumannya. Daripada takrifan ini, tiga elemen utama gangguan seksual diperjelaskan iaitu kelakuan tidak diingini; bersifat seksual; dan kesan kepada mangsa adalah menyinggung atau menghina atau mengancam kesejahteraannya.

DR18/2021 juga menubuhkan tribunal bagi tujuan menuntut suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual. Ramai yang bertanya, apa kepentingan penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual walhal undang-undang sedia ada sudah mampu menguruskan aduan gangguan seksual? Nasihat saya adalah untuk orang ramai memahami fungsi rangka perundangan sedia ada. Meskipun undang-undang gangguan seksual sudah ada, namun rangka perundangan ini hanya untuk menghukum pelaku gangguan seksual melalui proses undang-undang jenayah. Ini bagi memastikan pelaku serik dan tidak mengulangi perbuatan melampau pada masa depan.

Adakah ini akan memelihara hak mangsa? Bagaimana dengan mangsa yang mengalami trauma berpanjangan hingga memerlukan rawatan psikologi atau psikiatrik? Adakah munasabah untuk mangsa dibebankan dengan tanggungan kos mendapatkan rawatan sedangkan traumanya diakibatkan oleh perbuatan pelaku?

Tanpa penubuhan tribunal ini, mangsa perlu melalui proses litigasi sivil di mahkamah yang umum maklum menelan belanja besar. Maka ditubuhkan tribunal yang akan membenarkan mangsa gangguan seksual menuntut haknya mendapatkan tebus rugi agar dapat digunakan bagi menampung kos rawatan untuk mangsa pulih dan kembali menjalani hidup dengan penuh kehormatan. Tribunal ini adalah juga medan yang akan membenarkan mangsa gangguan seksual berdepan dengan pelaku selain menyuarakan bebanan emosi ditanggungnya agar pelaku sedar kesan tindakannya dan mengiktiraf kesalahannya kepada mangsa.

Besar harapan saya sebagai aktivis yang telah memperjuangkan isu gangguan seksual untuk melihat tertubuhnya Tribunal Antigangguan Seksual yang akan memelihara martabat dan kehormatan diri rakyat. Lebih besar lagi harapan saya untuk melihat kelucahan dan gangguan seksual langsung tiada di bumi yang menghormati martabat masyarakatnya.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN