Pusat susu lunas fardu kifayah

Pusat susu lunas fardu kifayah

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar (tengah) berkenan mencemar duli melawat dan merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. – FACEBOOK ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA minggu lalu antara 1 hingga 7 Ogos merupakan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang dianjurkan setiap tahun. Ini untuk menggalakkan lagi penggunaan susu ibu sebagai satu sumber makanan asli dan semula jadi yang sihat dan seimbang bagi bayi mahupun anak-anak. Minggu tersebut diraikan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Tujuan utama adalah untuk meningkatkan bilangan penyusuan daripada tubuh badan melalui kesedaran betapa pentingnya memupuk kesihatan serta kesejahteraan. Ini boleh dilakukan seberapa lama mungkin. Malah ada menyarankan enam bulan sehingga dua tahun seiring makanan yang sesuai. Ada juga melebihi jangka masa dua tahun.

Hakikat ini terbukti apabila pandemik melanda, tatkala penyusuan badan menjadi lebih kerap sebagai langkah mengatasi sekatan akibat rebakan Covid-19. Apalagi dengan kesesakan dialami sistem kesihatan umum akibat himpitan kes Covid-19 yang tidak putus-putus. Oleh itu, amalan penyusuan mula mendapat sambutan dalam khalayak ramai sama ada kerana terpaksa atau sukarela.

Namun demikian, umum tidak mengetahui bahawa bilangan menggunakan susu asli adalah agak kecil berbanding mereka yang menggunakan susu tiruan berbentuk tepung. Misalnya pada awal tahun ini, laporan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan mendakwa industri susu tepung atau formula memasarkan sebanyak AS$55 bilion (RM245 bilion).

Taktik pemasaran seumpama ini berupaya mempengaruhi kaum ibu dan beliawanis supaya tidak menyusukan kelahiran mereka walaupun diketahui kebaikannya lebih berkali-kali ganda.

Hal ini turut dikaitkan dengan pelbagai alasan termasuk menjaga kecantikan sehingga berkaitan memupuk kerjaya. Masih ramai yang terpengaruh dengan pelbagai dakyah seperti itu akibat pemasaran rakus lagi angkuh. Ini belum lagi mengambil kira tindak-tanduk tidak beretika yang dilakukan untuk meluaskan lagi pasaran susu tiruan. Pelbagai langkah songsang dikesan untuk melariskan lagi jualan termasuk memutar-belit fakta tanpa bukti-bukti sah.

Malangnya hal ini lebih sering didapati di negara dunia ketiga di mana tahap kesedaran serta pendidikan tidak dapat menangkis dakyah berkenaan. Hal ini bertambah kencang dengan adanya teknologi digital yang lebih meluas serta mudah mengena kepada sasaran pasaran.

Pemikiran mereka sering dilekakan oleh iklan sehingga menarik perhatian mendalam. Teringat kita pada berita bagaimana susu diseludup keluar dari pasar raya semasa pandemik kerana lebih mudah didapati (tidak kira cara) dan diyakini.

Perbezaan amat ketara dengan bekalan susu ibu sehingga wujud konsep bank susu ibu sebagai alternatif sesuai jika hendak mengehad penggunaan susu tiruan amnya. Kini ia sudah menjadi satu strategi lazim di banyak negara maju yang lebih sedar kepentingan kesihatan dan kesejahteraan keluarga. Mereka berjaya membangunkan sistem yang serba canggih lagi selamat agar susu ibu asli boleh ‘dikongsikan’ dalam kalangan mereka yang ingin menderma, sekali gus menjadi ganti kepada susu tiruan, seiring hasrat membudayakan penyusuan sejak dari permulaan usia lagi.

RUMIT

Lagipun, umumnya ia dikendalikan secara percuma atas dasar perkhidmatan kesihatan awam dan berupaya menampung masyarakat yang kurang mampu dari pelbagai segi, di samping memperoleh laba kesihatan yang lebih. Semua ini amat menguntungkan dalam memupuk keluarga serta masyarakat serba sihat.

Namun, langkah ini tidak banyak dicontohi negara membangun termasuk negara Islam. Salah satu sebabnya kerana industri susu tiruan begitu aktif memperagakan produknya. Kadangkala memberi hadiah percuma untuk menarik langganan khususnya kepada keluarga daif dan ibu yang terpaksa mencari rezeki luar. Penyusuan asli menjadi rumit dan tidak menarik. Kerajaan pula tidak mempunyai dasar lengkap untuk menggalakkan penggunaan susu ibu. Selagi ini tidak ditangani dengan betul, selagi itulah susu tiruan lebih mendapat tempat dan perhatian ekoran sogokan industri berkenaan.

Menyedari hakikat kepentingan susu ibu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menubuhkan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (PSBH) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM), Kampus Kuantan. Pada 26 Julai lalu, mengukir sejarah apabila ia dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Pusat susu tersebut merupakan yang pertama di negara ini, malah mungkin terulung di dunia yang patuh syariah dari perspektif Islam bermazhab Shafie. Mengikut kenyataan seorang mufti baru-baru ini, pusat sedemikian tiada di negara Islam seperti Arab Saudi dan Mesir, begitu juga di negara jiran. Namun, ia bukanlah suatu ikutan membuta tuli ala negara Barat kerana UIAM mengambil kira dengan teliti pandangan Islam berasaskan al-Quran, sirah Rasulullah SAW juga rujukan majlis agama serta pandangan para pakar sains perbuatan.

PSBH ditubuhkan bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa bayi-bayi pramatang yang dilahirkan di SASMEC@IIUM kerana memerlukan susu ibu, sementara ibu mereka diasuh untuk menghasilkan susunya sendiri. Susu ibu dermaan merupakan alternatif terbaik selepas susu daripada ibu mereka sendiri sebagai pemakanan awal bayi yang dapat mengelakkan risiko rumit kelahiran pramatang.

Susu ibu dermaan yang diproses di PSBH menjalani saringan yang ketat dan mengikut syariat Islam bermula daripada pemilihan penderma sehinggalah pemberian susu ibu dermaan kepada bayi-bayi pramatang. Segala hukum penyusuan melibatkan hubungan mahram amat dititikberatkan dan dipandang serius.

Oleh itu, usaha murni tersebut wajar disokong sebagai perintis jalan untuk menyemarakkan lagi penggunaan susu ibu dalam menyempurnakan fardu kifayah yang telah tiba masanya dalam membina masyarakat dunia yang lebih sihat seperti mana dikehendaki Islam. Bertepatan pula dengan prinsip rahmatan lil alamiin dan konsep maqasid syariah yang ditekankan oleh UIAM sebagai tempat di mana satu-satunya hospital pengajar yang patuh syariah bermula di Malaysia. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN