‘Pujukan’ terakhir Pas - Utusan Malaysia

‘Pujukan’ terakhir Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN kebanyakan badan perhubungan UMNO negeri menolak kerjasama UMNO dengan Pas, masihkah ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki menaruh harapan tinggi dua parti itu tidak bertembung dalam pilihan raya umum?

Di Kedah, menteri besarnya yang celupar tak segan-segan perlecehkan UMNO. Malah yakin menambah bilangan kerusi yang dimenangi Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dari 15 ke 22 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Keinginan tinggi Mohd. Zuhdi mahu mengelakkan kerusi-kerusi ‘akar umbi’ UMNO-Pas jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) atau parti lain amat difahami. Di Kedah sahaja sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen yang jika disepakati kedua-dua parti Melayu itu, bisa menafikan cabaran parti lawan.

Itupun jika tidak diambil kira penambahan pengundi baharu dalam tempoh empat tahun ini serta tidak dikacau dengan tebaran ‘isu-isu yang dinamik’ muncul hari ini.

Tapi rata-rata ketegasan disuarakan, baik daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak) dan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (Johor), mereka tekad UMNO harus bergerak solo.

Tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan: “Apa yang dibangkitkan (Mohd. Zuhdi) mungkin cadangan peribadi semata-mata. Kami sudah lama tidak duduk semeja.

Cuma di Pahang dan Selangor khabarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Tan Sri Noh Omar masih ‘berkira-kira dan berlapik’ dengan Pas.

Seingat kita, kesepakatan UMNO-Pas terakhir adalah menerusi Barisan Nasional (BN) pada 1974. Keputusan PRU4 itu menyaksikan BN menang 135 kerusi Parlimen termasuk 47 kerusi dimenangi tanpa bertanding. Pembangkang yang kuat waktu itu, DAP hanya menang sembilan kerusi Parlimen.

Namun, dengan hari ini Pas sendiri mempertahankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sekutu kuatnya, apakah usaha Mohd. Zuhdi akan berhasil?

Tempoh hari PH cukup gentar dengan kerjasama UMNO-Pas menerusi kejayaan siri pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU14 – yang dilabel suatu polisi ‘bumi hangus’. Ramai tidak ada jawapan motif PH yang cukup resah gelisah itu.

Namun bila pergi agak terperinci, rupa-rupanya didapati sekurang – kurangnya 30 kerusi Parlimen yang dimenangi PH termasuk Bersatu dalam PRU14 tempoh hari akan ‘bermasalah’ dalam PRU15.

Barangkali kerusi-kerusi Parlimen inilah sedang diusahakan oleh Mohd. Zuhdi untuk dielak pertembungan calon-calon UMNO-Pas. Mohd. Zuhdi menyebut 27 kerusi itu tetapi boleh tambah tiga lagi, menjadikan 30.

Kerusi-kerusi terbabit melibatkan:

PKR: 14
Bersatu: 8
Amanah: 6
DAP: 2
Jumlah: 30

(Diandaikan atas kertas: Kemenangan BN di 79 kerusi Parlimen dan Pas (18) dalam PRU14 akan menjadikan gabungan BN/UMNO-Pas menang di 127 kerusi Parlimen (79 + 18 + 30) dalam PRU15, sekali gus membentuk kerajaan).

PH boleh kuasai negara?

Di Semenanjung (termasuk Labuan) ada 166 kerusi Parlimen. Daripada 166 kerusi tu, 117 adalah kerusi yang majoriti pengundi Melayu/bumiputera berkomposisi 50 peratus ke atas. Boleh dikategorikan kerusi-kerusi ini kerusi berteraskan Melayu.

Daripada 117 kerusi Melayu ini, ada kerusi berisiko yang PH boleh menang jika undi Melayu berpecah. Kerusi ini mempunyai komposisi pengundi Melayu antara 50 hingga 70 peratus. Pendek kata, kerusi-kerusi ini kerusi marginal.

Daripada kerusi-kerusi marginal ini, ada 27 kerusi yang bakal ditandingi oleh Pas mewakili PN bertembung dengan BN (sama ada UMNO, MCA atau MIC).

Selebihnya 90 kerusi daripada 117 tadi, ada 10 lagi kerusi yang berisiko yang sekarang disandang oleh Bersatu. Yang ini terpulang kepada Bersatu untuk berunding dengan UMNO ataupun tidak. Sejumlah 80 kerusi lagi dipercayai tidak berisiko jika bertembung tiga penjuru PN dan BN. PH sukar untuk menang di kawasan ini.

Yang mahu diselamatkan ialah 27 kerusi ini, jika ia terlepas ke tangan PH, dipercayai PH boleh menguasai negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN