SEMPENA Bulan Kebangsaan 2022 yang akan disambut pada dua tarikh, iaitu 31 Ogos untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 16 September maka kita perlulah sama-sama menghimbau tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Apabila menyebut tentang perkara itu kita sudah tentu tidak boleh melupakan tentang amanat Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn yang dikenali sebagai Bapa Perpaduan. Beliau menyatakan: “Perpaduan negara tidak akan datang dengan sendirinya, melainkan kita terpaksa berusaha sedaya upaya untuk mencapainya.”
Selaras dengan prinsip ini, ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dari 1976 hingga 1981, beliau telah berusaha memperkasakan Rukun Tetangga yang pada awalnya adalah untuk memastikan keselamatan penduduk dan kemudiannya menjalani evolusi kepada konsep kejiranan untuk meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan setempat.
Hussein juga telah berusaha untuk merealisasikan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk merapatkan jurang ekonomi yang menjadi punca perbalahan kaum pada 13 Mei 1969 termasuk memperkemaskan lagi pelbagai agensi bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menaik taraf hidup rakyat.
Allahyarham juga terlibat dalam memperkukuhkan Rukun Negara yang diperkenalkan berikutan rusuhan yang berpunca daripada kempen pilihan raya pada 1969 yang menimbulkan isu perkauman sensitif. Jangan hanya kerana sedikit isu perselisihan pandangan kaum, kita akan mudah marah kepada kaum lain.
Sikap dan anasir perkauman bagi menaikkan kemarahan rakyat perlu dielakkan. Kita perlu menolak segala tindakan yang bertujuan untuk kepentingan politik yang mengumpan perkauman bagi tujuan menaikkan kemarahan rakyat.
Dalam pada itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara telah menganjurkan pelbagai aktiviti bagi membatasi anasir perkauman melalui acara sukan, makanan dan kesenian. Bidang -bidang ini telah terbukti berjaya menyatukan rakyat Malaysia tanpa sebarang rasa prejudis.
Ketika Sukan SEA, Sukan Komanwel atau Piala Malaysia sekalipun, seluruh peminat bola sepak bersatu hati menyokong pasukan kesayangan mereka, tanpa mengira kaum atau agama. Demikianlah hebatnya bidang sukan sebagai ejen penyatuan.
Semua itu telah dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh Bapa Perpaduan dan kerajaan. Bagaimana pula kita sebagai rakyat Malaysia? Paling mudah adalah mengamalkan segala apa yang terdapat dalam mukadimah Rukun Negara.
KASIH SAYANG TANPA SYARAT
Antara kandungan mukadimah itu menyebut secara jelas bahawa negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik dan mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
Selain itu, kita juga hendaklah melakukan kebaikan walaupun seseorang itu berlainan kaum dan agama daripada kita. Ini seperti yang dibuat oleh bekas guru kaum Cina, Chee Hoi Lan, 84, yang menjaga anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22, yang kini telah berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor turut mengulas, dengan menyatakan hubungan begitu mesra antara ibu dengan anak angkat berbeza agama yang menetap di tengah-tengah bandar di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur telah memaparkan suatu situasi unik dan amat bermakna untuk dijadikan bahan renungan semua pihak sebagai menghayati semangat Keluarga Malaysia.
Wan Salim yang tersentuh dengan kisah itu berkata, ia membuktikan bahawa perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan yang baik dan mesra antara sesama manusia. Cukup mengagumkan, ibu angkat yang mesra dipanggil Laoshi membesarkan Rohana tanpa menukarkan agamanya, malah wanita itu telah mendidik anak angkatnya secara Islam seperti memastikan dia sentiasa menunaikan solat serta berpuasa pada Ramadan.
Saya juga tertarik dengan kajian yang dilakukan oleh Institut HeartMath di Amerika Syarikat mengenai sifat-sifat sejagat yang perlu diamalkan sesama manusia bagi menyuburkan hubungan yang baik dan mesra kerana ia dapat diterima secara terbuka walaupun seseorang itu berlainan kaum dan agama daripada kita.
Sifat-sifat yang boleh menyuburkan prinsip-prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran ialah unconditional love (kasih sayang tanpa syarat), compassion (belas kasihan), care (mengambil berat), appreciate (perbuatan menunjukkan penghargaan terhadap seseorang), gratitude (perasaan bersyukur) dan forgiveness (memaafkan).
Kita masih belum menang bagi mewujudkan masyarakat yang kuat dan bersepadu secara kolektif. Kesepaduan dalam negara hanya akan berada pada tahap kemuncak apabila tiada lagi isu perkauman, rakyat semakin bijak menilai antara isu perkauman dan bukan serta tiada lagi individu cuba bertindak songsang yang menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya, perpaduan adalah asas kepada kemakmuran negara. Apabila perpaduan terhasil, bermakna pelabur akan mula mempercayai pasaran ekonomi negara telah menjadi stabil dan mula membuat pelaburan ke negara ini.
Sekarang, selepas dunia mengalami pandemik Covid-19 adalah masa terbaik rakyat bangkit bersama-sama untuk menyokong kerajaan Keluarga Malaysia bagi mengekalkan dan memperkukuhkan perpaduan yang sedia ada.
Kita mahu melihat dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan lain-lain, rakyat pelbagai kaum boleh menjadi sahabat tanpa ada mana-mana pihak yang melakukan provokasi bersifat perkauman. Marilah kita menang bersama-sama bagi mewujudkan perpaduan. Keluarga Malaysia perlu teguh bersama. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










