Lima syarikat hantar surat mohon projek terus kepada Muhyiddin

Lima syarikat hantar surat mohon projek terus kepada Muhyiddin

Tengku Zafrul Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa lima syarikat kontraktor telah menghantar surat terus kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi projek Lingkaran Pulau Indah.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui bagaimana kesemua syarikat itu mendapat maklumat mengenai projek berkenaan kerana ia tidak pernah diiklankan.

Lima syarikat itu ialah Multi Skilled Engineering Sdn. Bhd., Majulia Sdn. Bhd., ANR Ventures Sdn. Bhd., Sejagat Bakti Sdn. Bhd. dan Sutracom Sdn. Bhd.

Bagaimanapun dalam surat permohonan cadangan menyertai tender pra kelayakan bagi Membina Dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 Klang Selangor Secara Reka Dan Bina, terdapat tambahan nama syarikat iaitu Smart Reliance Sdn. Bhd.

“Bagi kelima-lima surat permohonan daripada syarikat ini, ia merujuk kepada projek yang sama iaitu Projek Membina dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor Secara Reka Dan Bina.

“Berkenaan dengan surat ini, ia merupakan surat iringan kepada surat permohonan daripada syarikat-syarikat yang dinyatakan di atas. Surat-surat permohonan ini telah dialamatkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.

“Saya tidak tahu mengapa pihak syarikat menghantar surat tersebut terus kepada Tan Sri Mahiaddin. Syarikat-syarikat kontraktor boleh juga menghantar surat permohonan terus kepada saya atau terus Kementerian Kewangan.

“Saya turut mengesahkan, di antara keenam-enam syarikat ini, terdapat satu catatan minit iaitu pada surat sokongan bagi syarikat Multi Skilled Engineering Sdn. Bhd. Catatan minit tersebut adalah dari TSMY, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu yang menyatakan “Bersetuju dengan cara pra kelayakan” serta ditandatangan oleh TSMY bertarikh 16 Mac 2021,”katanya.

Tambah Tengku Zafrul, berdasarkan kefahamannya, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin bersetuju perolehan ‘Projek Membina dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor Secara Reka Dan Bina’ ini dibuat secara tender pra kelayakan.

Jelasnya, tender pra kelayakan adalah terhad yang disertai oleh syarikat-syarikat yang disenaraikan sehaja tanpa melalui proses tender terbuka seperti biasa.

“Oleh itu, perolehan projek ini tidak pernah diiklankan dan hanya disertai oleh beberapa syarikat sahaja yang akan menawarkan harga masing-masing. Persaingan untuk memenangi tender hanya berlaku diantara beberapa syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini sahaja.

“Saya sahkan tidak mengenali pemilik-pemilik syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini. Saya sahkan pemilik atau wakil syarikat-syarikat dalam senarai surat ini tidak pernah datang berjumpa saya secara bersemuka ataupun melalui surat untuk memohon projek ini.

“Saya tiada pengetahuan bagaimana syarikat-syarikat ini tahu berkenaan wujudnya projek yang dimohon oleh mereka ini kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin,”ujar Tengku Zafrul.

Beliau masih lagi membaca penyata saksinya selaku saksi pendakwaan ke-11 dalam dalam perbicaraan kes Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,79, yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.-UTUSAN

BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN