TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei dilaporkan tidak menghadirkan diri dalam upacara penghormatan terakhir bapanya, Ayatollah Ali Khamenei semalam.
Sebaliknya, hanya tiga anak lelaki kepada bekas pemimpin Iran itu yang terkorban itu hadir.
Mereka ialah abangnya, Mostafa dan dua adiknya, Meysam serta Masoud Khamenei.
Ketiga-tiga anak lelaki itu menyertai solat jenazah di sisi keranda bapa mereka dan empat ahli keluarga yang lain.
Menerusi siaran televisyen rasmi kerajaan, ketiga-tiga mereka dirakam sedang bersolat di belakang deretan keranda yang ditempatkan di pekarangan luas kompleks Grand Mosalla di sini.
Bapa mereka bersama beberapa ahli keluarga lain terkorban apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan udara di Teheran pada 28 Februari lalu.
Konflik yang berlarutan selama beberapa minggu sebelum kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan gencatan senjata yang rapuh itu, telah mencetuskan kemusnahan besar di seluruh rantau berkenaan, selain menyaksikan kerajaan teokratik Iran yang disokong oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) kekal berkuasa.
Sebagai tanda taat setia kepada negara dan menyemarakkan semangat revolusi, Republik Islam itu mengadakan upacara pengebumian besar-besaran selama seminggu buat Khamenei, termasuk membawa jenazahnya ke tapak suci Syiah di negara jiran, Iraq.
Selepas ditempatkan di dalam bangunan selama sehari bagi membolehkan barisan pemimpin kanan Iran dan pegawai asing memberi penghormatan terakhir, keranda Khamenei dipamerkan di dalam ruang kaca di kawasan terbuka pada Sabtu, bersama keranda anak perempuan, menantu lelaki, menantu perempuan serta cucu perempuannya yang berusia 14 bulan.
Pada Ahad, puluhan ribu rakyat termasuk anggota tentera, pelajar madrasah serta orang awam membanjiri kompleks itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Khamenei dan keluarganya sambil mengibarkan bendera yang tertera ikrar menuntut bela terhadap AS dan Israel.
Sehingga kini masih tiada sebarang kelibat atau gambar rasmi Pemimpin Tertinggi Iran itu dikeluarkan kepada umum.
Beliau dilaporkan turut tercedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya dan ahli keluarga lain ketika Israel serta AS mengebom sasaran di Iran pada permulaan perang tersebut.
Sumber terdekat memberitahu agensi berita Reuters, wajah Pemimpin Tertinggi Iran itu mengalami kecederaan parah selain kecederaan serius pada salah satu atau kedua-dua belah kakinya. – AGENSI










