SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM15,000 pada Isnin minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Fareez Akmal Md. Yusuf, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, penjawat awam berpangkat penolong pengarah itu didakwa menerima suapan wang tunai berkenaan daripada seorang lelaki yang sedang disiasat oleh JKDM.
Suapan tersebut bertujuan menutup kertas siasatan di bawah Cawangan Siasatan (Frod Perdagangan) di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur yang sedang disiasat oleh tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah tempat letak kereta di Jalan SS4C/5, Petaling Jaya pada 29 Jun lalu.
Justeru, bapa dua anak itu dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta larangan mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Fareez Akmal memohon jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya itu serta tanggungan-tanggungannya.
“Tertuduh berusia 38 tahun, mempunyai pendapatan RM4,500 sebulan. Dia juga menyara ibu mertuanya yang menghidap sakit tua dan memerlukan rawatan di samping menanggung ibu bapa yang sudah uzur,” katanya.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan mengenakan syarat tambahan seperti ditawarkan serta menetapkan tarikh sebutan semula pada 3 Ogos untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










