Manusia rosak hati, akal di alam maya

Manusia rosak hati, akal di alam maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“CINTA itu ialah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah daripada embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.” – Buya Hamka.

Sekali lagi negara kehilangan sumber manusia yang memilih untuk mengakhiri nyawanya sendiri kerana tidak tahan dengan penindasan emosi akibat dibuli secara maya. Isu ini pernah meletup pada 2020 apabila seorang belia wanita membunuh diri selepas menerima kecaman akibat memuat naik video di laman TikTok yang menampilkan rakan sekerjanya berbangsa asing.

Meskipun tindakan membuli secara maya telah pun dijadikan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), namun sehingga kini kesedaran dalam kalangan pengguna pelbagai landasan media sosial masih pada tahap memualkan.

Pada Julai lalu, Setiausaha Agung Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz melaporkan tindakan beberapa pengguna di laman Twitter membulinya secara maya. Begitu juga dengan pempengaruh di TikTok, Cikgu Zack Kirana yang melaporkan beberapa pengguna menghina dan mencercanya dengan kata-kata kesat di media sosial. Sehingga kini tiada kemas kini mengenai siasatan yang dijalankan ke atas laporan mereka.

Ungkapan kebencian yang dihamburkan dalam komen, balasan atau hantaran di media sosial kelihatan dibuat tanpa rasa segan silu terhadap pengguna lain mahupun kepada peruntukan perundangan sedia ada. Maka lahirlah generasi pengguna media sosial yang jelik dan pelik. Mereka mampu menzahirkan kekosongan jiwa dan kejelikan hati meskipun hanya dengan bait ayat yang dikarang tanpa perlu mengenali sasaran dituju.

Kendatipun berbuih-buih para agamawan, pemimpin rakyat, aktivis, pendidik malah pempengaruh media sosial menasihati netizen agar lebih beradab dalam berinteraksi di dunia maya, namun anjing diberi makan nasi takkan kenyang. Saban hari akan ada pengguna yang memuat naik hantaran lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Yang lebih menghairankan, masih ramai juga yang menyokong tindakan buli siber di media sosial. Masing-masing seronok dan senang hati apabila dapat menggunakan kata-kata kesat, cacian dan makian kepada sasaran mereka. Apa yang rosak dengan hati dan akal mereka ini sehingga kegusaran orang lain menjadi keterujaan yang menghidupkan ego mereka? Mungkin mereka sudah rosak hati sehingga merosakkan juga akal waras masing-masing. Mereka inilah tanah tandus yang ditegur Buya Hamka di mana titisan embun kasih, sayang dan rasa cinta tidak mampu lagi memanusiakan perlakuan mereka.

Menyedari kerawakan tindakan buli siber dalam negara, pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, Parlimen Ke-14, Penggal Kelima, Mesyuarat Kedua, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 (DR 33/2022) untuk bacaan kali pertama. DR 33/2022 merupakan hasil komitmen selama lebih tujuh tahun mereka yang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa di bawah Jabatan Peguam Negara sejak 2015 lagi bagi mengkaji keperluan merangka peruntukan undang-undang mengenai kesalahan hendap atau stalking.

Seksyen 2(1) DR 33/2022 mencadangkan kemasukan Seksyen 507A ke dalam Kanun Keseksaan yang mentakrifkan jenayah hendap sebagai, “Sesiapa yang berulang kali dengan sebarang gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui, atau sepatutnya tahu bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan merisaukan, ketakutan atau mencemaskan mana-mana orang tentang keselamatannya, melakukan kesalahan mengendap atau stalking.”

Tambahan lagi, di bawah Seksyen 2(2) yang dicadangkan turut menjelaskan apakah yang dianggap sebagai perbuatan gangguan yakni “Perbuatan termasuk yang berikut: (a) mengikut seseorang dalam apa-apa perbuatan atau dengan apa-apa cara; (b) berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dengan seseorang dalam apa-apa perbuatan atau dengan apa-apa cara; (c) berlegar-legar di tempat kediaman atau perniagaan seorang; (d) memberi atau menghantar apa-apa benda kepada seseorang dalam apa-apa perbuatan atau dengan apa cara sekalipun.”

Cadangan hukuman adalah seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 2(3) DR 33/2022, “Sesiapa yang melakukan kesalahan mengintai hendaklah dihukum penjara selama tempoh sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.” Sudah tentu bagi kesalahan di dunia maya, peruntukan ini akan dibaca secara bersama dengan Seksyen 233 Akta 588 yang membolehkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Melalui peruntukan yang dicadangkan, kesalahan membuli siber jika dilakukan dengan menghantar pelbagai jenis hantaran kepada sesiapa dengan berulang-ulang kali boleh dianggap sebagai suatu kesalahan mengendap atau stalking. Peruntukan ini harus disegerakan penggubalan bagi memastikan nilai hormat yang sudah ranap dalam kalangan pengguna media sosial dapat dikembalikan meskipun dengan cara yang keras sekali. Jika sudah ramai yang rosak adab dan akal, mungkin undang-undang tegas dapat mewaraskan mereka semula. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang- undang & Hak Asasi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN