KUALA LUMPUR: Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana) membekalkan tenaga hijau kepada syarikat teknologi global, Intel Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. menerusi perjanjian pembekalan selama 15 tahun sekali gus memperkukuh peranan pemaju tempatan dalam memenuhi permintaan tenaga hijau sektor industri.
Menerusi kerjasama itu, Gading Kencana membekalkan 53,000 Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) setahun kepada Intel Malaysia yang dijana daripada ladang solar berkapasiti 43.12 megawatt puncak (MWp) di Bikam, Perak, hasil pelaburan pembangunan berjumlah RM136 juta.
Kerjasama itu membolehkan Intel Malaysia memperoleh atribut alam sekitar daripada penjanaan tenaga boleh baharu bagi menyokong komitmen penggunaan tenaga bersih syarikat.
Ia sekali gus membuka ruang kepada pemaju tempatan menyertai rantaian bekalan tenaga hijau bagi memenuhi keperluan syarikat multinasional.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerjasama dua syarikat itu mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam menjayakan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Peralihan tenaga bukan sahaja usaha mencapai sasaran dasar negara, malah membuka peluang ekonomi menerusi peningkatan keupayaan industri tempatan, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi dan penarikan pelaburan mampan.
“Peralihan tenaga bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya sedang direalisasikan menerusi pelaburan sebenar, kerjasama strategik dan peluang ekonomi kepada rakyat.
“Kerjasama sektor awam dan swasta penting bagi memastikan transformasi ini dapat diterjemahkan kepada projek, pelaburan serta manfaat ekonomi yang lebih besar,” katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi Ladang Solar Gading Kencana di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di sini semalam.
Beliau berkata, Malaysia menyasarkan 70 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu menjelang 2050, selaras dengan sasaran NETR.
“Ini selain perlu memastikan bekalan elektrik kekal stabil, mampu milik dan mampu memenuhi peningkatan permintaan daripada industri baharu seperti pusat data serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Projek di atas tanah perindustrian seluas 42.90 hektar di Ladang Bikam itu dijangka menjana 61.19 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga bersih setahun, sekali gus menyumbang kepada usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor korporat.
Selain menyokong peralihan tenaga negara, pembangunan berkenaan turut menjana peluang pekerjaan kepada sehingga 305 pekerja sepanjang tempoh pembinaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntur Tobeng berkata, tenaga elektrik yang dijana di Bikam disalurkan ke grid dengan setiap REC mewakili atribut alam sekitar bagi setiap satu megawatt-jam tenaga elektrik yang dijana daripada sumber boleh baharu.
“Penamatan penggunaan sijil berkenaan atas nama Intel Malaysia membolehkan syarikat itu menggunakan atribut tersebut bagi menyokong tuntutan penggunaan tenaga elektrik boleh baharu.
“Dari perspektif pemaju, komitmen pembelian tenaga bagi tempoh panjang menerusi CGPP memberikan kami gambaran lebih jelas mengenai hasil projek.
“Keadaan ini membantu kami merancang aliran tunai, menyusun pembiayaan serta membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin,” katanya.
Ladang solar berkenaan mempunyai kapasiti pemasangan sebanyak 43.12 megawatt arus terus (MWdc), bersamaan 30 megawatt arus ulang-alik (MWac), dengan menggunakan 70,112 modul fotovoltaik (PV) Astronergy berkapasiti 615 watt puncak (Wp) serta 35 penyongsang pusat Sungrow.
Dibangunkan menerusi kerangka CGPP yang diperkenalkan Suruhanjaya Tenaga dan diuruskan melalui platform New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA), projek itu memulakan operasi komersial pada 1 Mac 2026.
Sepanjang tempoh operasi selama 21 tahun, ladang solar itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon terkumpul sebanyak 828,598 tan setara karbon dioksida (tCO2e). – UTUSAN









