UNTUK turut memimpin negara yang merupakan bumi Melayu-Islam ini, etnik bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, bukan sahaja perlu, malah wajib memahami dan menghormati adab serta budaya Melayu. Hal ini penting kerana orang Melayu merupakan penduduk asal, kumpulan majoriti dan kelompok dominan dalam negara ini.
Adab merujuk kepada budi pekerti, adat, nilai dan amalan yang diperlihatkan melalui kelakuan serta pertuturan. Dalam konteks masyarakat Melayu, adab melambangkan kesopanan dan ketertiban yang berlandaskan warisan serta budaya Melayu, yang tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Islam.
Dengan demikian, penghayatan adab bukan sekadar keperluan dalam kehidupan bermasyarakat, malah menjadi asas penting bagi sesiapa sahaja yang ingin menganggotai kepimpinan negara, sama ada pada peringkat bawahan mahupun nasional.
Apabila etnik Cina memahami dan mengamalkan adab Melayu-Islam, hal itu memperlihatkan penghayatan terhadap nilai serta warisan masyarakat Melayu dalam kehidupan mereka. Pada masa sama, keadaan tersebut mencerminkan kejayaan proses integrasi, khususnya dalam aspek sosiobudaya.
Namun, realiti yang berlaku masih jauh daripada harapan. Tindak-tanduk dan pertuturan sebahagian etnik Cina dalam pelbagai perkara, menurut pemerhatian penulis, belum memperlihatkan penghayatan yang sewajarnya terhadap adab Melayu.
Keadaan ini antara lain dapat dilihat melalui kelemahan proses integrasi yang sepatutnya menyatukan rakyat berbilang etnik, budaya dan agama. Setelah hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan pada 1957, usaha membentuk sebuah komuniti nasional yang mantap sepatutnya telah menunjukkan kemajuan lebih ketara.
Proses integrasi yang dirancang dengan menggabungkan kelompok bukan asal dengan masyarakat Melayu sebagai penduduk asal bertujuan membentuk kesatuan nasional tanpa menghapuskan kepelbagaian budaya. Dalam hal ini, setiap rakyat perlu mendukung identiti nasional sebagai asas kenegaraan dan identiti budaya yang mencerminkan warisan masyarakat masing-masing.
Kedua-dua identiti tersebut tidak boleh dibentuk dengan mengetepikan asas sejarah penubuhan negara sebagai bumi Melayu-Islam. Oleh itu, adab Melayu yang berteraskan ajaran Islam perlu terus dihormati dan didukung dalam kehidupan bernegara.
INTEGRASI MEMERLUKAN PERUBAHAN SIKAP
Kegagalan mencapai integrasi yang diharapkan, antaranya dikaitkan dengan keengganan sebahagian etnik Cina untuk mendekati dan memahami struktur sosiobudaya Melayu. Sikap ini perlu diberikan perhatian kerana hubungan antara kaum tidak akan menjadi kukuh sekiranya wujud prasangka dan ketidakpercayaan yang berpanjangan.
Sebenarnya, masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan. Tanpa integrasi yang benar-benar berkesan, jurang sosial dan budaya akan terus melebar sehingga menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan negara.
Langkah pertama yang perlu diberikan perhatian ialah mengubah sikap dan mengikis prasangka terhadap etnik Melayu. Prasangka perkauman yang berpanjangan hanya akan menjadi penghalang kepada usaha membina hubungan yang lebih baik.
Menariknya, etnik Cina Malaysia yang berhijrah ke negara lain didapati lebih bersedia menyesuaikan diri dengan struktur sosiobudaya masyarakat setempat. Namun, kesediaan yang sama dilihat belum menyerlah dalam konteks hubungan mereka dengan masyarakat Melayu di negara ini, tempat mereka telah lama bermastautin.
Penulis berpandangan bahawa prasangka terhadap etnik Melayu yang masih wujud dalam kalangan sebahagian masyarakat Cina menjadi antara punca keadaan ini. Walaupun pandangan tersebut boleh dipertikaikan, tingkah laku dan interaksi antara kaum perlu dinilai secara terbuka bagi memahami sejauh mana prasangka berkenaan mempengaruhi hubungan masyarakat.
Sehubungan itu, kesedaran sahaja tidak mencukupi. Sikap yang menghalang integrasi perlu diubah melalui usaha memahami budaya, adat dan cara hidup masyarakat lain.
Antaranya termasuklah mengambil perhatian terhadap titah yang menyentuh kepentingan integrasi nasional. Masih terdapat dalam kalangan generasi hari ini yang kurang memahami cara hidup kaum lain, termasuk budaya Melayu dan adab yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tersebut.
Lebih membimbangkan, terdapat juga pihak yang tidak menunjukkan kesediaan untuk mempelajari dan memahami adab Melayu. Sikap sedemikian tidak wajar dibiarkan kerana keharmonian masyarakat memerlukan kesediaan semua pihak untuk saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain.
Kualiti kepimpinan perlu disertai penghayatan adab
Selagi usaha memperbaiki hubungan dan integrasi tidak diberikan perhatian sewajarnya, penerimaan terhadap penyertaan etnik Cina dalam kepimpinan negara akan terus menjadi perkara yang diperdebatkan.
Hujah bahawa seseorang pemimpin hanya perlu memiliki ciri-ciri kepimpinan berkualiti tinggi juga belum memadai. Kualiti kepimpinan perlu disertai pemahaman dan penghormatan terhadap adab serta nilai yang menjadi asas kehidupan masyarakat setempat. Prinsip ini terpakai bukan sahaja di Malaysia, malah di mana-mana negara.
Antara perkara penting dalam konteks adab Melayu ialah penghormatan terhadap kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri. Institusi ini merupakan sebahagian daripada asas kenegaraan yang perlu difahami serta dihormati dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Oleh itu, ciri kepimpinan yang berkualiti perlu berjalan seiring dengan penghayatan terhadap adab Melayu, termasuk budi pekerti dan nilai kesopanan yang menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat tersebut.
Petua untuk memahami keperluan ini cukup mudah, iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ungkapan ini membawa maksud bahawa setiap individu perlu menghormati budaya, adat, peraturan dan undang-undang di tempat mereka menetap.
Perkara ini bukan sekadar soal mematuhi peraturan, tetapi turut mencerminkan penghormatan terhadap masyarakat dan budaya setempat. Justeru, setiap pihak perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, khususnya dalam memahami dan menghormati adab Melayu.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











