NARATHIWAT (THAILAND): Insiden keganasan dibimbangi merebak di luar kawasan utama konflik dan dikhuatiri akan menjejaskan sektor ekonomi serta pelancongan di beberapa bandar di Selatan Thailand.
Jawatankuasa Senat mengenai Ketenteraan dan Keselamatan Negara itu kemudian menggesa Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mempertingkatkan langkah pencegahan bagi memulihkan keyakinan orang ramai dan pelancong.
Jurucakapnya, Senator Chaiyong Maneerungsakul berkata, sebelum ini keganasan lebih banyak tertumpu di Wilayah Narathiwat, Yala, Pattani dan empat daerah iaitu Sabayoi, Thepa, Chana dan Nathawi di Wilayah Songkhla.
Katanya, bagaimanapun pada 11 November lalu insiden keganasan bukan sahaja telah merebak di luar kawasan itu, malah turut berlaku di daerah yang menjadi ‘zon penampan’ bagi bandar utama pelancongan.
“Daerah Na Mom, Chana dan Sadao di Songkhla adalah zon penampan yang berfungsi sebagai barisan hadapan mencegah keganasan daripada merebak ke zon ekonomi dalaman, khususnya Hat Yai.
“Demikian juga insiden di Daerah Khuan Kalong dan Thung Wa di Wilayah Satun telah menjejaskan ekonomi apabila ramai pelancong membatalkan lawatan mereka. Wilayah ini agak jauh daripada kawasan utama konflik, tetapi kini turut menjadi sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Chaiyong berkata, jawatankuasa berkenaan menyokong usaha Panglima Wilayah Tentera Darat ke-4 yang juga Pengarah ISOC 4, Leftenan Jeneral Chakrit Ucharattana memperkemaskan kawalan sempadan Thailand-Malaysia di sepanjang sempadan dari Daerah Waeng, Sungai Golok dan Tak Bai di Wilayah Narathiwat.
Katanya, kawasan itu mempunyai banyak titik lintasan semula jadi yang berfungsi sebagai laluan keluar masuk antara Thailand dan Malaysia, dan kerap digunakan anggota kumpulan bersenjata untuk berulang-alik antara kedua-dua negara.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Wilayah Selatan Thai berkata, kawasan itu juga adalah laluan utama penyeludupan barang haram, pengedaran dadah, dan pemerdagangan manusia yang merupakan punca kepada banyak masalah berkaitan.
“ISOC 4 juga telah diminta memperkemaskan bahagian perisikan supaya sebarang rancangan untuk mencetuskan keganasan dapat dipintas lebih awal,” jelasnya. – UTUSAN











