SEJAK kerajaan Thailand ‘menghalalkan’ ganja, 9 Jun lalu, banyak cara digunakan oleh penduduk negara Gajah Putih itu untuk mempelbagaikan penggunaannya daripada perubatan sehingga kulinari, iaitu sebagai bahan perisa dalam makanan dan minuman. Lantas makanan dan minuman yang mengandungi bahan terlarang ini baik dalam bentuk cecair mahupun kering menjadi trend terutama di bandar-bandar seperti Bangkok dan Hatyai.
Bayangkan, sudah ada minuman teh berperisa ganja sehingga kuih-muih dan kek menggunakan ramuan bahan terlarang ini serta dijual secara meluas.
Seorang kenalan Facebook saya dari Thailand baru-baru ini menasihatkan, “Jadi, hati-hati kalau melawat Thailand dan ingin menjamu selera di sini. Takut-takut ada ganja.”
Walaupun kerajaan Thailand menetapkan peraturan bahawa setiap makanan atau minuman harus dilabelkan dengan kandungan bahan itu termasuk kuantiti yang dibenarkan sahaja, namun kecuaian anda barangkali boleh memudaratkan diri. Apatah lagi pihak berkuasa tempatan negara itu sudah awal-awal lagi memberi amaran supaya tidak membawa pulang ganja mahupun menyalahgunakannya kerana pemeriksaan di sempadan termasuk ujian saringan urin menanti mereka.
Kandungan ekstrak ganja yang dibenarkan oleh kerajaan Thailand adalah tidak lebih daripada 0.2 peratus tetrahydrocnnabinol (THC), iaitu zat aktif dalam tumbuhan ini. Bagaimanapun, walaupun kandungannya sangat rendah berbanding kebenaran ganja di negara lain, ia masih mampu memberi efek pada tubuh.
ZAT
Banyak pakar kesihatan menjelaskan, sekali pengambilan ganja menyebabkan bahan itu bertahan dalam urin antara lima hingga lapan hari.
Berbanding dadah jenis lain, ganja dikatakan mempunyai efek paling lama kerana kandungan THC akan melekat dalam lemak tubuh untuk satu tempoh yang lama iaitu sehingga sebulan.
Pakar kesihatan dunia juga memberi amaran bahawa zat aktif THC sangat berbahaya kepada kanak-kanak untuk jangka pendek mahupun panjang. Malah ada kajian menjelaskan, penggunaan ganja melalui makanan dan minuman mampu menyebabkan ketagihan melampau jika tidak dikawal.
Begitu juga, lupakan hasrat jika ada yang ingin ke sana untuk menyalahgunakan bahan terlarang itu kerana kerajaan Thailand sendiri melarang keras perkara tersebut. Namun, bayangkan jika anda secara tidak sengaja termakan dan terminum sesuatu yang mempunyai ganja, ia juga memudaratkan.
Nasihat rakan saya itu lagi, soalan utama yang harus ditanyakan kepada peniaga makanan dan minuman jika berkunjung ke Thailand ketika ini, “Bebas ganja tak?”
Atau perhatikan juga label pada makanan dan minuman, adakah ia mengandungi ganja atau tidak. Begitu juga jangan sesekali memberanikan diri membawa makanan atau minuman mengandungi ganja kembali ke Malaysia atau anda berdepan hukuman. – UTUSAN











