Enam bulan yang kritikal

Enam bulan yang kritikal

BAJET 2023 merupakan platform dan pentas terbaik perlu diambil oleh kerajaan untuk mempersiapkan negara dalam berhadapan ketidaktentuan ekonomi global yang berpotensi berpanjangan. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAMBIL kira situasi semasa, negara memerlukan lebih banyak masa bagi memastikan pemulihan ekonomi berjalan sebagaimana dirancang. Keperluan ini juga mengambil kira ketidaktentuan ekonomi dunia sekarang yang tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

Ketika ini, ekonomi negara berada pada tahap pertumbuhan lebih baik yang mana pada suku kedua 2022 meningkat ke tahap 8.9 peratus berbanding suku pertama iaitu 5.0 peratus.

Bahkan pertumbuhan 8.9 peratus ini adalah lebih baik dari sebelum terjadi krisis kesihatan Covid-19 dengan mengambil contoh setiap suku tahun bagi 2019 iaitu suku pertama (4.5%), suku kedua (4.9%), suku ketiga (4.4%) dan suku keempat (3.6%).

Lebih menarik, pada ketika ini merupakan kali pertama dalam tempoh lima tahun, pertumbuhan positif ekonomi negara meningkat secara konsisten dalam tiga suku tahun ke belakang iaitu suku tahun keempat 2021 (3.6%), suku tahun pertama 2022 (5%) dan suku tahun kedua 2022 (8.9%).

Melihat kepada data ini, adakah kita boleh simpulkan bahawa ekonomi negara telah kembali pulih sepenuhnya? Sebenarnya, pemulihan sepenuhnya ekonomi negara perlu mengambil masa lebih panjang daripada diharapkan disebabkan oleh krisis yang berlaku sejak 2020 iaitu Covid-19. Pandemik ini adalah krisis berpanjangan ditambah pula pelbagai krisis global lain yang berlaku secara serentak dan berterusan termasuk peperangan Ukraine dan Russia, isu keselamatan makanan dan kenaikan harga barangan.

Negara perlu berhati-hati dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global termasuk peperangan Ukraine dan Russia yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat. Sekiranya keadaan tersebut berlarutan atau semakin meruncing, maka sedikit sebanyak boleh memberikan kesan kepada ekonomi negara. Peperangan ini memberikan impak besar kepada ekonomi dunia dan perkembangan luaran berisiko yang berpotensi mencetuskan kelembapan ekonomi dan tentu sekali ekonomi terbuka yang diamalkan oleh negara.

Terdapat keperluan teramat penting untuk meneruskan inisiatif dirangka oleh kerajaan yang mana ia merupakan satu kesinambungan terhadap semua inisiatif sebelum ini dan yang akan dan sedang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan akan datang. Ia juga bagi memastikan kita mampu untuk berhadapan dengan tekanan ekonomi global luar biasa ketika ini disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dunia.

Maka Bajet 2023 merupakan platform dan pentas terbaik yang perlu diambil oleh kerajaan untuk mempersiapkan negara dalam berhadapan ketidaktentuan ekonomi global yang berpotensi berpanjangan. Kerajaan perlu melaksanakan satu langkah konstruktif dengan memberikan tawaran dan inisiatif berfokus sebagai persediaan berhadapan dengan krisis ekonomi global. Antara perkara perlu diberikan perhatian adalah mengawal kadar inflasi, mengawal kenaikan harga barangan terutama barangan keperluan asas dan menawarkan pelbagai inisiatif akibat peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan rentan.

PRU15

Terdapat juga pandangan yang mengatakan keperluan untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada ketika ini. Namun persoalan yang timbul, adakah PRU15 akan dapat menyelesaikan isu kestabilan politik? Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos bagi pelaksanaan PRU15 adalah kira-kira RM1.01 bilion. Jumlah itu dua kali kos melaksanakan PRU14 iaitu sekitar RM500 juta manakala perbelanjaan bagi PRU13 adalah RM400 juta. Dengan perbelanjaan lebih RM1 bilion ini tidak memberikan satu jaminan bahawa kita akan memperoleh sebuah kerajaan yang benar-benar stabil sebagaimana diharapkan.

Bahkan kerajaan yang disebut tidak stabil ketika ini menunjukkan prestasi pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2022 (8.9%) adalah lebih baik daripada sebahagian besar negara jiran kita. Sebagai perbandingan, pertumbuhan ekonomi Indonesia (5.4%), Filipina (7.4%), Vietnam (7.7%) dan Singapura (4.8%). Ini membuktikan Malaysia merupakan salah satu ekonomi Asia Tenggara paling pesat berkembang pasca Covid-19.

Sungguhpun tidak dinafikan kestabilan politik akan dapat membantu pertumbuhan ekonomi termasuk memberikan kepercayaan kepada pelabur, namun dasar dan pelaksanaan polisi yang bertepatan dengan situasi semasa juga memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi. Pelbagai inisiatif yang diambil telah memberikan kesan positif kepada negara.

Sebagai contoh, nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan paras tertinggi sejak 2013, iaitu RM129.8 bilion setakat Mei 2022. Jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bagi 2021 ialah RM48.1 bilion, mengatasi tahun sebelum wabak Covid-19 melanda dunia. Malahan, kedudukan FDI di Malaysia berkembang sebanyak RM24.1 bilion iaitu RM836.2 bilion pada akhir suku kedua 2022 berbanding RM812.1 bilion pada suku pertama 2022. Semua data ini menunjukkan dengan jelas terdapat momentum kukuh pertumbuhan ekonomi negara.

Namun di sebalik pertumbuhan kukuh ekonomi, negara masih lagi berada dalam proses pemulihan dan terdapat keperluan untuk memastikan kesinambungan terhadap pelaksanaan semua inisiatif sedang dan bakal dilaksanakan yang akan dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara.

Oleh yang demikian, enam bulan ke hadapan merupakan satu tempoh masa amat kritikal untuk melaksanakan segala inisiatif yang mampu meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara. Kuncinya adalah Bajet 2023 yang diharapkan dapat memperkenalkan inisiatif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara secara konsisten ke tahap lebih baik.

Ia tentu sekali akan dapat membantu rakyat secara keseluruhan untuk melengkapkan diri dalam segala aspek diperlukan dalam berhadapan ketidaktentuan ekonomi global yang berkemungkinan berpanjangan. – UTUSAN

DR. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×