Bahaya perceraianterhadap anak-anak

Bahaya perceraian terhadap anak-anak

LEBIH mengejutkan apabila perceraian bukan hanya memberi kesan kepada generasi kedua keluarga berkenaan, malah generasi ketiga walaupun belum lagi wujud. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini tersebar perkongsian artis terkenal, Janna Nick, mengenai kesan perceraian ibu bapa terhadap kehidupannya. Bukan hanya dirinya yang masih kanak-kanak pada ketika itu perlu membentuk karakter tanpa bimbingan, sambutan Hari Raya Aidilfitri pun tidak memberi sebarang makna buatnya.

Beliau mendedahkan pernah dua kali membuat percubaan bunuh diri pada usia 14 dan 15 tahun dan sehingga kini menghadapi gangguan bipolar serta terpaksa mengambil ubat antikemurungan.

Daripada kajian dilakukan terhadap 669 kes pembubaran perkahwinan di Selangor, 491 pasangan atau 73 peratus memiliki anak yang secara keseluruhannya berjumlah 1,153 orang.

Daripada jumlah tersebut, 198 pasangan mempunyai nisbah anak perempuan lebih ramai, 196 pasangan memiliki anak lelaki lebih ramai manakala 97 pasangan mempunyai nisbah anak kedua-dua jantina yang sama.

Lebih menyedihkan apabila kategori umur anak antara tujuh hingga 12 tahun melibatkan pasangan bercerai 307 orang, diikuti anak-anak kurang 4 tahun (214 orang), 4 hingga 6 tahun (193 orang), 13 hingga 17 tahun (185 orang) dan 18 hingga 23 tahun serta lebih 23 tahun masing-masing berjumlah 127 orang.

Dapatan ini berbeza dengan hasil kajian di negara-negara Asia Selatan seperti Bangladesh dan India. Ketiadaaan anak lelaki atau bilangan anak lelaki yang kurang dalam sesebuah keluarga menjadi salah satu punca perceraian. Malah perceraian pasangan yang memperoleh zuriat selepas enam bulan perkahwinan juga lebih rendah berbanding yang tidak dikurniakan zuriat dalam tempoh tersebut.

Begitu juga kajian di Amerika Syarikat (AS) dan Sweden menunjukkan faktor kelahiran anak mempengaruhi kestabilan sesebuah keluarga.

Dapatan tersebut juga selari dengan hasil kajian di Australia apabila keberadaan anak-anak berusia enam tahun ke bawah mengukuhkan lagi hubungan suami isteri dan kecenderungan untuk bercerai menjadi kurang.

Kajian pada 2019 di Belanda terhadap 142 orang kanak-kanak berusia antara enam hingga 18 tahun mendapati kesan trauma adalah tinggi terhadap anak yang ibu bapanya sedang menghadapi pertelingkahan.

Malah secara puratanya kesan tersebut turut berpanjangan walaupun selepas perceraian.

TENGGELAM
Kajian Bierman mendapati anak lelaki yang ‘tenggelam’ dalam konflik ibu bapa mengalami dua hingga empat kali ganda gangguan emosi dan tingkah laku. Anak perempuan yang dijaga oleh ibu dan bapa secara jagaan bersama selepas perceraian pula mempunyai tingkah laku lebih rendah nilaiannya.

Kajian yang dilakukan di AS dan Eropah juga mendapati perceraian turut menyebabkan kemerosotan terhadap pembelajaran anak-anak. Paul R. Amato dalam kajiannya pada 2012 menganggarkan sekiranya kadar stabiliti institusi kekeluargaan di negara terbabit kekal sepertimana pada 1960-an, maka pengulangan gred oleh pelajar di sekolah akan berkurang sebanyak 750,000 kes, pelajar digantung persekolahan berkurang 1.2 juta kes, salah laku remaja berkurang 500,000 kes, kanak-kanak mengikuti sesi terapi berkurang 600,000 kes, malah kes bunuh diri juga akan berkurang 70,000 kes.

Pakar psikologi, Sara McLanahan dan Gary Sandefur pula mendapati 31 pelajar pelajar yang ibu bapanya bercerai tidak menghabiskan persekolahan (sama ada berhenti atau diberhentikan oleh pihak sekolah), remaja hamil (33 peratus) dan anak lelaki yang berada dalam krisis perceraian kedua ibu bapanya meringkuk dalam penjara sebelum usia 32 tahun (11 peratus).

Selain kadar jenayah oleh anak-anak hasil perceraian semakin meningkat, ketidakpercayaan terhadap konsep perkahwinan, kelewatan umur semasa memasuki alam perkahwinan, penurunan kadar kesuburan, pertambahan kelahiran luar nikah dan pertambahan bilangan kes bersekedudukan juga merupakan antara impak perceraian terhadap masyarakat.

Perceraian bukan hanya memberi kesan kepada generasi kedua keluarga berkenaan, malah generasi ketiga walaupun belum lagi wujud.

Begitu juga, kajian mendapati perkahwinan ibu bapa dengan pasangan baharu tidak membantu anak-anak untuk pulih daripada kesan perceraian. Andrew Cherlin yang merupakan seorang pakar psikologi mendapati anak-anak yang ibu bapanya berkahwin dengan pasangan baharu tidak mempunyai tahap keperibadian lebih tinggi berbanding anak yang dipelihara oleh ibu/bapa tunggal. Ini kerana anak yang berada dalam situasi tersebut terpaksa menyesuaikan diri dengan pasangan baharu ibu atau bapanya, adik beradik tiri, persekitaran asing dan kadangkala memerlukan tahap kompromi yang tinggi serta memaksa mereka bergelut dengan emosi semata-mata untuk mencapai kestabilan dalam keharmonian berkeluarga.

Sama ada pembubaran perkahwinan membawa kesan negatif ataupun positif, yang pasti badan perundangan, kehakiman dan agensi kemasyarakatan perlu memberikan perhatian lebih serius terhadap golongan rentan terutama kanak-kanak dalam rancangan untuk membangunkan sebarang polisi, meminda undang-undang, mahupun menggubal peruntukan baharu melibatkan institusi kekeluargaan.

Bagi ibu bapa pula, usahlah mudah membuat konklusi untuk bercerai apabila diuji. Dapatkanlah bantuan pihak ketiga seperti ahli keluarga, perunding keluarga ataupun kaunselor agar keharmonian rumahtangga dan kemaslahatan anak-anak dapat terus dipelihara.-UTUSAN

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×