“MENGAPA saudara menangis di kubur ibu saya?” Begitu bunyi dialog dalam satu adegan filem Ibu Mertuaku lakonan Tan Sri P. Ramlee.
Bukan kisah Kassim Selamat yang ingin saya nukilkan tetapi bagaimana kita menghargai pejuang kemerdekaan dengan menjaga pusara sebagai tempat terakhir arwah bersemadi.
Pernah tercetus di benak saya untuk menziarahi pusara kesemua pejuang kemerdekaan dan wira bangsa seperti Leftenan Adnan Saidi dan anggota polis yang meninggal dunia dalam peristiwa di Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 semasa darurat (1948-1960) setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos. Begitu juga pusara pejuang bangsa seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Tok Janggut, Rosli Dhobi dan anggota tentera yang terkorban semasa berjuang mempertahankan keamanan negara.
Kebimbangan saya, generasi muda lebih mengenali di mana bersemadi Elvis Presley, Kurt Cobain, Michael Jackson mahupun artis-artis tempatan.
Harus diingat, kemerdekaan bukan sekadar melaungkan merdeka tetapi menghargai jasa pemimpin yang kehilangan nyawa demi keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini.
Sambutan Hari Pahlawan setiap 31 Julai adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.
KHURAFAT
Namun harus diingat, pejuang bangsa sewajarnya dihargai secara fizikal, bukan sekadar mengenang dan mengingati jasa mereka semata-mata. Pusara pejuang kemerdekaan lama dan baharu harus dipelihara daripada kegiatan khurafat seperti pemujaan melampau.
Jika sudah diwartakan sebagai tapak yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri mahupun Persekutuan, ia sewajarnya dibenarkan diziarahi sebagai ibrah sebuah perjuangan. Jangan sampai pusara pejuang yang sudah lama pergi tidak dikenali cucu cicit sendiri. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Ingati pejuang yang berkorban nyawa dan masa berharga bersama keluarga demi sebuah kemerdekaan yang kita kecapi selama 65 tahun.
Terima kasih wira bangsa, bersemadi dengan tenang di pusaramu. Kami akan meneruskan perjuangan mengisi kemerdekaan ini dengan darah dan air mata. – UTUSAN











