TANGGAL 12 Julai lalu menyaksikan peristiwa pengebumian seorang pemimpin dunia disegani selepas mati ditembak beberapa hari sebelum itu di bandar raya Nara, Jepun. Mendiang Shinzo Abe merupakan Perdana Menteri termuda memimpin negara tersebut dengan memegang rekod terlama melakukan sedemikian. Beliau juga terkenal dengan pelbagai langkah berani yang berjaya memulihkan semula kedudukan sosioekonomi negara di mata dunia.
Antara yang disebut-sebut adalah pendekatan berani yang digelar sebagai Abenomics. Ini selaras tindakan beliau tatkala memegang tampuk kuasa buat kali kedua mulai 2012. Ini julung kali bagi politik Jepun lebih-lebih lagi diakui berjaya menggalakkan pasaran pekerjaan di samping mengubah inflasi ke arah positif dalam memacu pertumbuhan walaupun agak sederhana selama lapan tahun sehingga 2020.
Dilahirkan pada 21 September 1954, beliau berasal dalam kalangan keluarga tersohor dari segi politik. Nendanya menjadi Perdana Menteri Jepun yang dikatakan kenamaan pertama melawat Malaya sejurus mencapai kemerdekaan pada 1957.
Bapanya pula menjadi Menteri Luar dari 1982 hingga 1986 dan kerap kali berhubung dengan Malaysia dalam banyak perkara dan memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Sayugia diingatkan, Dasar Pandang ke Timur tercetus pada awal 1982, empat abad lalu sehinggalah hari ini.
Abe merupakan anak kedua dalam keluarga tersebut dan mengulangi pengalaman datuk serta bapanya. Abe sewaktu mudanya pernah bekerja dengan bapanya sebagai pembantu serta sama-sama melawat puluhan negara yang secara beransur-ansur membentuk pandangan dalamnya dengan para pemimpin seluruh dunia, sekali gus membangunkan cita-cita untuk mengikut jejak langkah diturutinya.
Bapa Abe meninggal dunia pada usia 67 tahun, sepertimana juga mendiang anaknya pada 8 Julai tempoh hari. Maka tidak hairanlah apabila Abe waktu menerima ijazah kehormat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada awal tahun ini, beliau mengakui amat dekat serta meminati Malaysia ekoran teladan dan pengaruh bapa serta datuknya. Malah banyak mencontohi datuknya serta berpegang pada prinsip serupa. Lantas banyak memupuk pemikiran politik serta kepemimpinannya sebagai ketua negara generasi ketiga dalam keluarga sendiri.
Tidak hairan jugalah Abe dikatakan sering melawat Asia Tenggara dan negara-negara ASEAN dalam membina kesefahaman untuk membuka peluang kerjasama dalam sektor perniagaan, pertahanan, tenaga serta teknologi. Satu-satu kejayaannya adalah dalam bidang sukan apabila pada September 2013 berjaya menjadikan Tokyo sebagai pilihan tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020. Beliau turut berusaha membangunkan sukan sebagai salah satu pendekatan ke arah Abenomics bertujuan mengatasi kemerosotan yang sedang melanda Jepun.
ROBOT
Beliau berhasrat melakar acuan ‘olimpik robot’ dengan mempromosi teknologi serta industri robot berorientasikan sukan Olimpik. Apatah lagi, dengan tidak semena-mena hasrat tersebut didalangi pandemik Covid-19 sehingga menjadi kenyataan. Walaupun Olimpik terpaksa ditunda setahun kepada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 dan dilaksanakan dalam julat masa lebih singkat, namun Olimpik terjelma melalui teknologi termaju sebagai langkah bijak mendepani ancaman pandemik dengan jayanya.
Sungguhpun ada pihak yang tidak menyokong kegigihan Abe dalam hal ini, keunikan Olimpik Tokyo buat sekian kali tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Abe lagi sekali menonjolkan ketokohannya di mata dunia yang sedang dihimpit pelbagai serangan Covid-19 di samping ribuan kehilangan nyawa merata dunia.
Namun bagi Jepun, ia tidak seburuk negara-negara lain termasuk yang maju sekalipun. Apatah lagi Jepun menduduki tangga ketiga selepas Amerika Syarikat dan China dengan memenangi 27 pingat emas dan 58 keseluruhannya yang merupakan prestasi terbaik dalam sejarah Olimpik setakat ini.
Pun begitu bagi Malaysia, Abe akan lebih dikenang atas kegigihannya dalam meletakkan Dasar Pandang ke Timur di tempat paling sesuai untuk kali ke-40 tahun ini.
Sementara itu, anggaran 26,000 rakyat Malaysia mendapat pengalaman dari Jepun dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan serta latihan. Nilai pelaburan juga meningkat. Kesemua ini kemudian dialirkan kepada masyarakat umum khususnya dalam pembudayaan cara Jepun menyelesaikan masalah dan menambah baik lagi hasilan kerja di mana sahaja.
Apabila di Malaysia baru-baru ini sebelum akhir hayatnya, peranan Abe selaku wakil khas kerajaan Jepun ke Malaysia dalam ucapannya berazam untuk terus membantu Malaysia melalui perkasaan dasar ini. Mungkin juga memperluaskannya kepada jalinan yang lebih menyeluruh termasuk aspek-aspek tenaga, alam sekitar, perubahan iklim antara lain. Semua ini mempunyai implikasi masa hadapan yang terdekat seantero dan Jepun terkehadapan menerokainya. Maka adalah wajar ia disambut baik dengan harapan jalinan kedua-dua negara terus terselah melewati Malaysia dan Jepun, bahkan mencakupi rahmatan lil aamiin.
Jasa pemimpin seperti Abe jelas tidak dapat dilupakan walaupun kehilangannya akan amat dirasai ramai. Semoga hasratnya akan terus terkabul jua atas niat setia kawan yang luhur. Jelas tidak akan ada bentuk ucapan yang setimpal buat seorang negarawan seumpama Shinzo Abe. Budimu akan diabadikan dalam lipatan sejarah zaman bersama.
Sayonara, Abe-san! Bersemadilah kau. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










