SEPERTI gunung berapi memuntahkan lavanya, usul yang dibawa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini menghangatkan kembali isu bahasa Melayu. Cadangan denda maksimum RM50,000 dan hukuman penjara kepada mana-mana pihak yang tidak menghormati bahasa Melayu melalui pindaan Akta DBP (1959) mengejutkan pelbagai pihak.
Hampir di setiap pelantar media sosial, usul ini tular bagaikan cekodok panas. Masing-masing melontarkan pandangan dan hujahan, mengikut perspektif mereka. Ada segelintir yang menyokong dan menyifatkannya sebagai satu tindakan berani dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Tidak kurang juga mengecam dan memperkecilkannya. Kata-kata kurang enak ditaburkan melalui hantaran dan ciapan di samping mempersoalkan usul tersebut secara terang-terangan.
Adakah dendaan dan pemenjaraan perlu dilaksanakan semata-mata untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu yang betul? Perlukah nilai hormat dipupuk terhadap bahasa kebangsaan dengan cara sebegitu? Malah ada menyuarakan usul ini seperti bakar air hendakkan abu, akhirnya terkubur jua.
Sindiran dan ejekan segelintir orang-orang ini jelas menggambarkan mereka tidak mampu melihat apa yang sebenarnya dihasratkan melalui usul tersebut. Bagi mereka, usul tersebut hanyalah membuang masa dan tidak mempunyai sebarang kepentingan serta membebankan.
Kalau kita lihat hari ini, segelintir masyarakat seolah-olah terlupa atau sengaja melupakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menyelitkan satu atau dua patah perkataan bahasa Inggeris menjadi satu kelaziman yang disengajakan semasa berkomunikasi. Mereka cuba menonjolkan ‘elit’ dan berpendidikan tinggi. Dalam program diskusi berbahasa Melayu misalnya, tetamu yang diundang menjawab pertanyaan dalam bahasa Inggeris diselitkan bahasa Melayu. Adakah apa yang ingin disampaikan tidak tercapai sekiranya bahasa Melayu digunakan?
Malahan iklan-iklan yang terpampang terutama dalam talian, penggunaan bahasa Inggeris dilebih-lebihkan untuk melariskan produk. Adakah rakyat Malaysia tidak memahami bahasa kebangsaan sendiri sehingga wujud keperluan untuk menggunakan bahasa Inggeris?
Apa yang lebih menyedihkan lagi, agensi-agensi kerajaan sendiri menggunakan nama atau kapsyen berbahasa Inggeris untuk memberikan faktor wow terhadap program-program yang dijalankan.
Adalah tidak wajar sama sekali selepas merdeka hampir 66 tahun, kita masih mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan. Jangan kita menjadi sebuah masyarakat bak kata peribahasa Melayu, laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan. Bahasa Melayu dipinggirkan, bahasa asing pula dimegah-megahkan.
Kurangnya rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan menyebabkan roh bahasa Melayu semakin menipis dalam kalangan kita. Apatah lagi, sikap dan minda segelintir daripada kita yang masih berpaksikan bahasa kolonial akan terus menjadi contoh buruk kepada generasi muda dan generasi seterusnya.
Berbalik kepada usul tersebut, ketika sambutan ulang tahun DBP ke-66, Pengerusi Jemaah Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Awang Sariyan menjelaskan, tujuan usul tersebut dikemukakan bukanlah menghukum mana-mana pihak, sebaliknya bagi menyuburkan rasa cinta pada negara.
Walaupun pahit pada dasarnya, ketegasan inilah akan membantu menyemai nilai atau norma yang ingin diterapkan dengan baik. Pendek kata, pembawaan usul tersebut pada ketika ini sememangnya kena pada masanya. Dengan adanya satu mekanisme yang jelas, langkah ke arah memartabatkan bahasa Melayu dapat diperkukuhkan.
Dalam masa sama, kita perlu sedar ketiadaan maklumat mencukupi tentang pindaan akta tersebut menyebabkan ramai yang membuat konklusi sendiri.
Satu cara yang boleh diambil ialah DBP perlu memperincikan setiap kesalahan berserta kadar denda di laman sesawangnya agar orang ramai dapat mengetahui dengan lebih lanjut.
Sebagai sebuah agensi yang bergandingan dengan DBP dalam soal pemartabatan bahasa Melayu, Pejabat Perdana Menteri juga boleh memainkan peranannya dalam soal ini.
Kejayaan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini menunjukkan agensi kerajaan selain DBP juga mampu melaksanakan inisiatif berkaitan bahasa Melayu. Dalam hal ini, Pejabat Perdana Menteri boleh mengumpulkan maklumat berkaitan syor dan pandangan orang ramai dan mencari jalan terbaik untuk memantapkan lagi pindaan akta tersebut.
Akhir kata, dalam mengangkat bahasa Melayu ke satu peringkat yang lebih tinggi, kita haruslah menyokong sepenuhnya usaha kerajaan. Tanpa sokongan kuat daripada rakyat, pasti usaha pemartabatan bahasa Melayu akan menghadapi banyak rintangan dan cabaran. Di tangan yang lain pula, kerajaan perlu memainkan peranan mendidik orang ramai dengan lebih jelas agar tidak timbul sebarang persoalan kelak. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Kedah.










