TAN Sri S. Subramaniam,78, yang meninggal dunia malam kelmarin pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari 1995 hingga 2004. Ketika itu kementerian terbabit diterajui oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan kemudiannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pencapaian kementerian berkenaan pada ketika itu adalah memperkenalkan skim penetapan harga barang pada musim perayaan dan mewujudkan Tribunal Tuntutan Pengguna.
Mendiang datang dari keluarga pekerja ladang yang kekurangan dari segi kewangan tetapi amat mementingkan pendidikan anak-anak. Beliau yang dilahirkan di Estet 15, Slim River, Perak melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Klang dan St John’s Institution, Kuala Lumpur.
Mendiang memperoleh ijazah sarjana muda sastera dari Universiti Malaya (UM) pada 1968 dan kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana dengan tesis bertajuk Politik Orang India di Malaya (1945-1955). Di UM, mendiang bergiat aktif sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Tamil.
Beliau menyertai MIC pada 1962 dan menjadi Setiausaha Eksekutif parti ketika diterajui Presiden ketika itu, Tun V.T. Sambanthan dan timbalannya, Tan Sri V. Manickavasagam.
Pada masa sama, beliau berkhidmat di Jabatan Sumber Manusia, Malaysia Airlines System (MAS) dan di situ bertemu jodoh dengan isterinya yang bekerja di jabatan sama.
Setelah Manickavasagam menjadi Presiden MIC, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung parti dan dalam pemilihan pada 1977 terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden. Mendiang menjadi Timbalan Presiden parti paling lama iaitu selama 27 tahun dari 1979 hingga 2006.
Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 1991 hingga 1995 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Buruh dan Tenaga Kerja dari 1974 hingga 1978.
Semua jawatan itu disandang ketika negara diterajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad and Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Subra’ juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan jawatan sama di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertanian.
Mendiang pernah menjadi Ahli Parlimen Segamat (1982-2004) dan sebelum itu Ahli Parlimen Damansara (1974-1982). Beliau yang bertanding pada 1974 di bawah tiket BN hanya berusia 29 tahun.
Karier politiknya berakhir berikutan hubungan tegang dengan Presiden MIC ketika itu, Tun S. Samy Vellu yang menyaksikan beliau tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2004 dan perkara itu hanya diketahui tiga hari sebelum hari pencalonan. Menurut Samy Vellu, Subramaniam telah lama menjadi ahli Parlimen, setiausaha Parlimen dan timbalan menteri dan ‘sekarang giliran orang lain pula.’
HATI KE HATI
Ketegangan hubungan itu bermula sejak 1979 setelah Samy Vellu menjadi Pemangku Presiden MIC. Pada 1981, Samy Vellu hampir memecat Subramaniam dari parti tetapi membatalkannya setelah diadakan perbincangan dari hati ke hati antara kedua-duanya selama 20 minit.
Pada 2006, beliau cuba mempertahankan jawatan Timbalan Presiden tetapi telah dikalahkan oleh Datuk Seri G. Palanivel yang mempunyai hubungan baik dengan Samy Vellu yang secara terbuka berkempen menyokong Palanivel.
Ketika PRU12 pada 2008 setelah hanya tiga daripada sembilan calon Parlimen MIC menang, Subramaniam cuba kembali dalam politik dengan penyokong beliau menyatakan masyarakat India tidak menolak MIC tetapi hanya menolak Samy Vellu dan kroni-kroninya. Kekalahan itu juga berpunca daripada gerakan Hindraf mengadakan perhimpunan pada 25 November 2007 di Kuala Lumpur menuntut 18 perkara berhubung diskriminasi terhadap etnik India yang terpinggir selama 50 tahun sejak Malaysia merdeka.
Dalam satu kenyataan Subramaniam berkata, pengalaman hidup sebagai anak pekerja estet membolehkan beliau lebih memahami perasaan kaum India di peringkat bawahan dan masalah hidup yang dialami mereka.
Ramai ahli cawangan bersetuju bahawa Subramaniam boleh menyelamatkan MIC tetapi Samy Vellu enggan mengosongkan jawatan Presiden dan hanya melepaskan jawatan itu pada 2010 dan digantikan oleh Palanivel. Sejak itu, ramai pemimpin India menyertai PKR atau DAP dalam Pakatan Rakyat dan pengaruh MIC merosot.
Mendiang Subramaniam meninggalkan isteri, Puan Sri Tina Subramaniam dan tiga anak. Beliau juga dikenang sebagai individu yang telah berjaya mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menukar nama Jalan Brickfields kepada Jalan Tun Sambanthan.
Mendiang bergiat aktif dalam sukan badminton dan tenis serta penyokong kelab bola sepak Inggeris, Arsenal. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










