Perginya tokoh besar hartanah negara - Utusan Malaysia

Perginya tokoh besar hartanah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, kita dikejutkan dengan kehilangan sebutir permata dalam bidang hartanah selepas Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, 73, disahkan meninggal dunia oleh anaknya, Felina.

Namanya tidak asing lagi, malah Menara MK Land Holdings Berhad (MK Land) yang terletak di Damansara Perdana, Selangor adalah bukti kejayaannya.

Jadi, tidak salah jika Allahyarham boleh digelar sebagai King of Damansara kerana beliau ialah insan yang berjaya meneroka Damansara Perdana yang lebih 20 tahun lalu dipanggil Bukit Lanjan dan menjadi penempatan Orang Asli.

Allahyarham mula berkecimpung dalam dunia hartanah selepas menjual semua sahamnya dengan nilai melebihi RM6 juta dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Markins Corporations Sdn. Bhd. dan Fairway Review Sdn. Bhd. pada 2003.

Hanya selepas itu, anak kelahiran Kampung Changkat, Pusing, Perak ini membangunkan kawasan-kawasan yang dahulunya terpencil dan tidak mendapat perhatian kepada kawasan elit melalui MK Land.

Malah, tokoh hartanah bumiputera ini merupakan individu yang meneroka dan memajukan Damansara Perdana, Damansara dan Cyberjaya sehingga menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk mendiami kawasan tersebut dengan tawaran gaya hidup bertemakan tempat peranginan, teknologi tinggi dan seni.

MK Land juga terlibat dalam industri perhotelan dan tempat peranginan seperti Bukit Merah Laketown Resort, Langkawi Lagoon dan Belum Rainforest Resort di Gerik, Perak.

Pengasas MK Land itu juga dikenali sebagai ‘Raja Rumah Mampu Milik’ kerana begitu penuh keazaman dan semangat membina rumah mampu milik terutama bagi pembeli rumah pertama. Sehingga 2018, syarikat hartanah itu telah membina lebih 60,000 unit kediaman, komersial, ruang pejabat dengan nilai pembangunan RM20 bilion.

Syarikat itu berjaya menjual lebih daripada 35,000 unit kediaman dengan harga bawah RM100,000 termasuk di Damansara Damai dan Bandar Baru Sungai Buloh di Selangor.

Mustapha Kamal ialah bekas penuntut jurusan Sejarah di Universiti Malaya dan menamatkan pengajiannya pada 1970. Kemudian, susuk hebat ini memulakan kerjaya sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor, Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian Selangor sebelum beralih ke sektor swasta dengan memegang jawatan Pengarah Urusan di Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

Semasa inilah Allahyarham mengumpul dan memperkukuhkan pelbagai kemahiran dalam pembangunan hartanah sebelum memulakan perniagaan sendiri. Atas keprihatinan Allahyarham terhadap kehidupan hutan, beliau melalui Yayasan MK Land, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Orang Utan menjalin kerjasama bagi memastikan pemuliharaan terhadap hidupan liar itu terus diberikan perhatian.

Bagi yang tidak mengetahui, MK Land pada asalnya merupakan syarikat pembekal dan pembuatan biskut dengan nama Perfect Food Industries Sdn. Bhd, namun namanya ditukar kepada MK Land selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 1999.

KONGSI ILMU, REZEKI

Sepanjang hidupnya, beliau turut menerima pelbagai anugerah sebagai penghargaan terhadap sumbangan besarnya termasuk Anugerah Fellowship Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) 2002 dan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah 2003.

Mustapha Kamal pernah mengatakan bahawa beliau bukan berasal daripada keluarga kaya raya sebaliknya hanya merupakan cucu kepada seorang penjual sayur.

Allahyarham juga pernah mendedahkan beliau bukan seorang pelajar cemerlang, namun segalanya berubah selepas bertemu dengan hartawan Cina yang rendah hati, lalu menyedari bahawa beliau ingin menjadi seorang usahawan.

“Saya bukan berasal dari latar belakang kaya. Datuk saya hanya seorang penjual sayur. Walaupun semasa saya belajar di sekolah, saya bukanlah di antara pelajar yang cemerlang, sekadar pelajar yang sederhana dalam pelajaran, namun laluan menjejakkan kaki ke universiti digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan tempat di sektor kerajaan.

“Tidak kira latar belakang dan dari mana asal anda tetapi jika anda menganggap saya seorang ahli perniagaan berjaya, maka saya ingin mengatakan bahawa sesiapa sahaja, termasuk anda juga boleh melakukannya,” kata Mustapha Kamal satu ketika dulu.

Kata-kata inilah yang banyak memberi inspirasi kepada ramai orang untuk berjaya. Antara perkongsiannya adalah kebahagiaan bukan hanya dipandang dari sudut harta sebaliknya kesejahteraan rohani, emosi, fizikal, mental dan kewangan.

Bagi yang mengenali lelaki hebat ini, Allahyarham ialah insan yang sangat bermurah hati dan tidak pernah berkira bab wang ringgit, malah gemar belanja rakan-rakan dan bersedekah. Bagi beliau, amalan bersedekah merupakan The Mysteries of Life.

Katanya, sekiranya seseorang itu memberikan RM1, mereka akan mendapat kembali RM10. Teruskan memberi, kerana pulangannya lumayan. Memberi dengan ikhlas, dan Tuhan pasti balas.

Kehilangannya pasti dirasai oleh ahli keluarga, kenalan dan kakitangan, namun legasinya akan terus utuh diwarisi oleh ahli keluarganya. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN