TINDAKAN penjimatan kerajaan yang dibuat pada masa kini adalah langkah yang betul dalam suasana ekonomi tidak menentu. Tindakan ini mampu mengurangi bebanan kewangan kerajaan dan pada masa sama, kerajaan perlu melihat beberapa cadangan dalam pemerkasaan ekonomi negara.
Kerajaan kini kelihatan menampung subsidi agak tinggi dengan punca pendapatan yang semakin berkurangan disebabkan faktor ekonomi tidak menentu akibat impak ekonomi global.
Antara cadangan yang mampu meningkatkan pendapatan negara adalah mengurangi kebocoran pendapatan kerajaan.
Mungkin penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak tiga peratus boleh membantu meningkatkan pendapatan kerajaan secara efisien. Kerajaan juga boleh menstrukturkan semula kadar percukaian pendapatan dan keuntungan perniagaan yang fleksibel mengikut suasana ekonomi semasa.
Semakan semula ke atas levi pekerja asing dan percukaian ke atas warganegara yang bekerja di luar negara perlu dilihat semula supaya selaras dengan anjakan pendapatan negara.
Tindakan semakan levi ini bertujuan membenarkan hanya sektor kritikal memerlukan pekerja warga asing. Melalui langkah ini, majikan swasta perlu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing dan menggantikannya dengan warga tempatan. Akhirnya akan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.
Pada masa sama, kerajaan boleh memberikan insentif pelaburan dan kemudahan perniagaan bagi mereka yang terkesan. Bagi pelabur luar yang baharu pertama kali datang juga boleh diberikan satu insentif pelaburan selama lima tahun. Ini dapat menjamin pulangan pelaburan boleh dinikmati bersama melalui program kerjasama swasta dan awam.
Bagi menarik suasana yang kondusif untuk menarik pelabur luar mahupun dalaman, cadangan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.5 peratus daripada tiga peratus.
Matlamat tersebut bertujuan memberikan kemudahan pinjaman bagi meningkatkan suntikan aliran modal pelaburan dalam ekonomi.
Tambahan kerajaan boleh mengawal harga barangan pembinaan bagi memastikan sektor hartanah mampu menarik pelabur datang membina kilang dan lain-lain kemudahan perniagaan.
Matlamat ini bertujuan menstabilkan pulangan aset tetap dalam jangka masa panjang kepada pelaburan ekonomi dan mampu menjana peluang pekerjaan untuk sektor tersebut.
Cadangan bagi menerokai sektor ekonomi baharu seperti gabungan ekonomi hibrid Matlamat mewujudkan sektor ekonomi hibrid ini bertujuan menyediakan peluang kemampanan ekonomi sedia ada untuk ditransformasikan menjadi sektor ekonomi lebih berdaya saing. Contohnya, sektor ekonomi digital, pelancongan, pelancongan kesihatan dan sebagainya,
RINGGIT
Berkemungkinan cadangan menaikkan gaji penjawat awam antara tiga hingga 10 peratus adalah amat diperlukan dalam kemampanan mikro ekonomi negara. Melalui kenaikan gaji penjawat awam, kerajaan berkemungkinan boleh mengapungkan semula harga siling barangan keperluan. Pada masa sama, cadangan untuk menaikkan harga minyak petrol RON 95 sebanyak 20 sen iaitu daripada RM2.05 kepada RM2.25 dan harga minyak diesel sebanyak 15 sen daripada RM2.15 kepada RM2.30. Ini mampu menjimatkan bebanan subsidi kerajaan.
Melalui penjimatan ini, kerajaan mungkin boleh menambatkan semula pertukaran nilai mata wang ringgit dengan dolar Amerika Syarikat (AS) melalui nisbah RM4.20 kepada AS$1.
Tambatan pertukaran nilai mata wang ringgit dengan dolar AS perlu fleksibel mengikut zon pendapatan kerajaan. Zon pendapatan kerajaan ini perlu melihat kepada kaedah menguatkan nilai mata wang ringgit dalam pasaran wang antarabangsa.
Cadangan supaya mengutamakan pertukaran urus niaga antarabangsa kepada nilai mata wang ringgit dan bukannya berdasarkan kepada nilai mata wang dolar AS. Ini bagi mengelakkan inflasi berlaku dan kawalan kerajaan ke atas nilai mata wang ringgit dalam pasaran wang antarabangsa mampu direalisasikan. Contohnya, kerajaan boleh mengehadkan aliran keluar mata wang ringgit dalam pasaran wang antarabangsa dengan meletakkan nilai sebanyak RM10,000. Tujuan pengehadan aliran keluar wang ini adalah untuk mengawal kecairan nilai mata wang ringgit dalam pasaran wang antarabangsa.
Bagi memperkuatkan fundamental ekonomi negara ini, kempen beli barangan Malaysia perlu diperkasakan semula. Ini bagi meningkatkan perbelanjaan rakyat dalam menjana semula ekonomi tempatan. Cadangan ini juga mampu mengurangi kebergantungan kepada barangan import. Bagi merealisasikan usaha ini, kerajaan perlu menguatkan sektor komoditi pertanian, penternakan dan perikanan. Kawalan harga ke atas barangan keperluan perlu melibatkan semua aspek yang bukan sahaja ke atas harga ayam tetapi juga melibatkan harga daging seperti lembu, kambing dan sebagainya. Untuk mengelakkan peningkatan kos makanan haiwan, cadangan supaya mewujudkan stok penimbal bagi mengawal harga kos makanan haiwan seperti jagung, gandum dan sebagainya.
Bagi peringkat sektor awam, penjimatan ini boleh dilakukan dengan meluaskan akses kepada medium digital sama ada dari segi aduan, maklum balas dan lain-lain urus niaga. Ini mampu mengurangkan penyediaan kaunter kerajaan apabila setiap agensi kerajaan beralih kepada akses medium digital dan mengurangkan perjawatan baharu.
Di semua peringkat agensi kerajaan yang menggunakan sepenuhnya akses digital perlu memperkasakan kepada skil kemahiran kerja tinggi yang bakal memberikan produktiviti tinggi. Bagi menambahkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam, kestabilan politik dan pemantauan berterusan adalah amat diperlukan buat masa kini. Melalui sebuah kerajaan yang stabil seiring dengan kemampanan perkhidmatan awam, bakal menjayakan matlamat pembangunan ekonomi negara yang lebih stabil dan sihat. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










