‘Penguatkuasaan kita lemah’

‘Penguatkuasaan kita lemah’

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MALAYSIA adalah pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia selepas Indonesia yang menjadi pesaing utama negara dalam pengeluaran komoditi itu. Ketika ini terdapat 5.74 juta hektar kawasan penanaman sawit di seluruh negara menyaksikan Malaysia mengeluarkan purata 20 juta tan metrik minyak sawit setahun.

Malangnya isu kekurangan bekalan minyak masak di pasaran khususnya membabitkan minyak bersubsidi terus menghantui rakyat sehingga ada kawasan lebih dua minggu tidak memperoleh minyak masak peket satu kilogram walaupun kuota 60,000 metrik tan sebulan dikatakan sudah pun mencukupi.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemu bual Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), DATUK MOHD. FIRDAUS ABDULLAH di Kuantan, Pahang, baru-baru ini bagi berkongsi pandangan berhubung permasalahan tersebut yang dilihat seolah-olah tiada penyelesaian.

UTUSAN: Kenapa isu kekurangan minyak peket terus berlaku?
MOHD. FIRDAUS: YPNM berpendapat minyak masak peket bersubsidi RM2.50 satu kilogram yang diperuntukan kira-kira 60,000 metrik tan sebulan sebenarnya sudah mencukupi. Namun, ketika ini bekalannya sering berkurangan walaupun 60,000 metrik tan itu diapungkan.

YPNM melihat antara punca utama permasalahan ini adalah kerana kurangnya kecekapan dalam pengurusan pihak berkuasa disebabkan berlaku ketirisan di pelbagai peringkat termasuk unsur-unsur membabitkan rasuah. Apabila berlaku ketidakcekapan pengurusan, banyak pihak mengambil kesempatan untuk mendapatkan untung dengan cepat.

Siapa sindiket seleweng minyak peket?
Kartel dan sindiket seleweng minyak masak peket sudah lebih 20 tahun bermaharajalela di negara kita melibatkan perniagaan berbilion ringgit setahun dan bukan mudah membanteras rangkaian sindiket ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan perniagaan seperti kedai runcit, pembekal, pemborong, pembungkus, pengilang dan tentunya saudagar-saudagar minyak makan yang besar-besar.

Apa lagi dilakukan sindiket terbabit?
Selain minyak masak peket, kita lihat juga minyak masak terpakai dikutip dari sana-sini dan sumbernya diragui halal dan ia dikatakan cuma untuk kitar semula bagi kegunaan biodiesel, tetapi minyak ini juga boleh diapungkan dalam pasaran setelah ia dikitar semula, timbul keraguan kepada umat Islam berhubung halal dan haramnya. Sebagai contoh, minyak kitar semula, minyak masak terpakai yang mudah diperoleh di pasaran untuk kegunaan sembahyang bagi pengguna bukan Islam.

Adakah penguatkuasaan lemah?
Ini semua berlaku kerana penguatkuasaan lemah yang mana dua kementerian yang bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan berhubung pemberian lesen dan kawal selia masih samar-samar atas tugasan tersebut. Jadi, ia memberi ruang kepada kartel dan sindiket mengambil kesempatan dan turut bermaharajalela. Contohnya, minyak pukal dan terpakai, lesennya di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); Kementerian Perladangan, Perusahaan dan Komoditi dan bagi minyak masak bersudsidi berpeket satu kilogram dan tidak bersubsidi di bawah bidang kuasa lesen dan kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Perlukah kerajaan tambah bekalan minyak peket?
Pada pandangan YPNM, kerajaan tidak perlu menambah bekalan minyak masak peket kerana apa yang telah diperuntukkan masa kini, 60,000 metrik tan sebulan sudah pun mencukupi untuk golongan masyarakat pengguna Malaysia yang memerlukan.

YPNM juga menyarankan kerajaan supaya mengambil satu mekanisme baharu agar golongan yang layak sahaja diberikan kuota bulanan dengan memperkenalkan kad subsidi untuk setiap isi keluarga mengikut keramaian ahli dalam sesebuah keluarga terutama untuk golongan M40 dan B40 serta golongan sasar. Ini secara langsung kerajaan dapat membendung minyak masak peket bersubsidi dibolosi oleh kartel dan sindiket.

Pada masa sama, YPNM menyeru kerajaan memperbanyakkan kempen-kempen mengurangkan penggunaan minyak masak kepada orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat yang mana penggunaan dan pengambilan minyak masak secara berlebihan dalam semua jenis makanan dan hidangan boleh menjurus kepada pelbagai penyakit seperti obesiti, kolesterol tinggi dan sebagainya.

Bagaimana untuk atasi ketirisan?
Untuk mengatasi ketirisan, YPNM menyeru kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada Pejabat Perdana Menteri; KPDNHEP; Kementerian Kewangan; Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Pejabat Peguam Negara; Pejabat Akauntan; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NG0) kepenggunaan.

Jawatankuasa ini akan melakukan kaji selidik dan audit forensik secara keseluruhan terhadap semua pemain industri minyak masak sejak lima tahun di seluruh negara termasuk peruncit, pemborong, pengedar, pembungkus dan pengilang yang mana melalui tindakan ini kerajaan akan dapat mengenal pasti kartel-kartel dan sindiket-sindiket yang memonopoli minyak masak peket satu kilogram serta yang merosakkan sistem ekonomi negara dan jaminan keselamatan makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN