TIDAK lama lagi, rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan ke-65 bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Inilah masanya untuk kita mengimbau kembali sejarah dan peristiwa-peristiwa penting yang telah mencorakkan negara kita pada hari ini.
Bermula daripada kemunculan kerajaan Melayu Awal berabad lalu, perkembangan Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah kepada pembentukan Malaysia. Juga, jangan dilupakan tentang sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kedaulatan negara yang kita cintai. Kita perlu tahu bahawa penggubalan Perlembagaan Persekutuan dibuat begitu teliti dan halus sekali dengan mengambil kira segala aspek yang dipersetujui demi kepentingan bersama.
Antara perkara yang menjadi inti pati Perlembagaan Persekutuan kita adalah berkaitan agama Islam dan agama serta kepercayaan lain.
Di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, agama Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan dan dijadikan teras dalam merangka dasar-dasar kerajaan. Kedudukan agama Islam sebagai Perlembagaan Persekutuan tidak terbatas dalam Perkara 3 sahaja, malah mencakupi beberapa klausa penting seperti Perkara 8, Perkara 11, Perkara 12, Perkara 121, Perkara 150 serta kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam.
Maka dapat dikatakan bahawa agama Islam adalah ideologi atau teras pentadbiran kerajaan Malaysia. Semangat permuafakatan dan toleransi antara pemimpin kaum terbesar, iaitu orang Melayu, orang Cina dan orang India memperkukuhkan kedudukan agama Islam dalam perlembagaan dengan jitu.
Ketika merangka perlembagaan, pemimpin bukan Melayu sedar bahawa agama Islam wajib dititikberatkan memandangkan majoriti rakyat Tanah Melayu adalah beragama Islam. Dalam masa sama, pemimpin Melayu turut memberikan konsiderasi sewajarnya terhadap agama dan kepercayaan kaum lain.
Dalam Islam, umatnya diseru untuk menjaga kepentingan dan kebajikan orang bukan Islam. Maka dalam peruntukan sama, dipersetujui bahawa agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai. Namun, sikap tolak ansur dan hormat-menghormati yang ditunjukkan oleh para pemimpin terdahulu ini nampaknya kian dilupakan oleh generasi kini.
Kehadiran pelbagai media sosial pada hari ini digunakan sebagai pelantar untuk meluahkan pandangan tanpa mengambil kira aspek sensitiviti dan perasaan banyak pihak. Antara isu yang semakin berleluasa adalah berkaitan menghina agama dan kepercayaan. Terlalu banyak penulisan dan provokasi bersifat menghina, tidak kira terhadap mana-mana agama dan kepercayaan berlegar di media sosial.
Antara Januari hingga Jun 2020, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaporkan agensinya menerima sebanyak 431 aduan berhubung isu menghina agama Islam di media sosial.
Bahkan baru-baru ini, tular video seorang wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.
Walaupun lebih separuh abad negara kita bebas daripada belenggu penjajah, namun masih ada segelintir daripada kita yang masih belum ‘merdeka’ dari segi pemikiran dan tingkah laku.
Pada pandangan saya, golongan ini gagal untuk menjiwai Perlembagaan Persekutuan sepenuhnya dan tersasar jauh dari landasan bangsa Malaysia.
JELIK
Bukan itu sahaja, tingkah laku jelik ini menggambarkan bahawa mereka ini seakan-akan lupa bahawa masyarakat Malaysia adalah sebuah masyarakat yang kaya dengan nilai, norma dan budaya ketimuran. Jangan cuba berubah menjadi sesuatu yang bukannya asal usul kita. Atau cuba menyuntik pemikiran moden dan liberal yang keterlaluan, yang tidak sesuai dengan acuan budaya dan adat Timur kita.
Walaupun negara kita memberikan hak dan kebebasan bersuara, tetapi ia tidak semestinya digunakan untuk mempermainkan perlembagaan. Untuk menangani isu ini, pihak berkuasa sememangnya mengambil pelbagai langkah untuk membendungnya. Antaranya ialah hukuman penjara dan denda. Tetapi adakah ia mencukupi? Kerana sehingga kini, tidak banyak perubahan yang dapat dilihat. Malahan keadaan ini menjadi-menjadi dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berhenti.
Bagi meletakkan titik noktah terhadap masalah ini, banyak pihak perlu duduk dan berbincang untuk mencari solusi yang lebih baik. Tanpa adanya satu penetapan yang kukuh, isu menghina agama akan terus berlaku.
Dalam pada itu, usaha untuk menimbulkan kesedaran terhadap betapa pentingnya menjaga sensitiviti agama terutama dalam kalangan anak-anak muda perlu dilakukan dengan lebih kuat.
Dalam hal ini, warga pendidik memainkan peranan penting untuk mendidik dan menerapkan sikap hormat-menghormati agama dan kepercayaan yang wujud di Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Di samping itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan mereka dengan lebih agresif. Tingkah laku dan aktiviti anak-anak perlu dipantau dengan kerap dan juga perlu dididik agar perbuatan sebegini tidak berlaku pada masa hadapan.
Konklusinya, perbuatan menghina agama dan kepercayaan perlu dilihat sebagai barah yang akhirnya memudaratkan keharmonian dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini. Janganlah kita kuburkan segala usaha pemimpin terdahulu yang telah berjaya membentuk sebuah masyarakat yang hidup bersatu padu, kendatipun mempunyai perbezaan ketara.
Marilah kita bersatu hati dan menolak sekeras-kerasnya perbuatan terkutuk ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita masih mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk negara yang masih muda ini. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










